Saidah Hairan Thu May 03, 07 11:10:58 AM
IJOK, 3 Mei (Hrkh) - Walaupun sudah lebih lima hari perjalanan Pilihan Raya Dun Ijok berlalu dan keputusannya berpihak kepada Barisan Nasional (BN) namun semangat pengundi di Dun itu terus subur untuk menyokong segala perjuangan yang dibawa oleh KeADILan.
Sambutan dan sokongan yang berterusan terbukti melalui perjumpaan pengundi Dun Ijok bersama Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim; Tan Sri Abd Khalid Ibrahim serta pimpinan KeADILan dan DAP di Pekan Ijok, Batang Berjuntai yang diakhiri dengan jamuan dan ceramah di Kampung Ijok Batu 8, malam semalam.
Dalam ceramah dan pertemuan dengan pengundi, Anwar bertegas mengatakan KeADILan tidak kalah dalam pilihan raya jika BN tidak menjalankan penipuan,rasuah serta menggunakan segala jentera kerajaan.
Katanya, hari Khamis kelak media elektronik BBC akan berjumpa menemubualnya minta penjelasan perkara sebenar yang berlaku di Ijok.
Beliau berjanji dan menegaskan akan mengatakan KeADILan tidak kalah dalam pilihan raya Dun Ijok.
Ketika pertemuan dengan pengundi Cina di Pekan Ijok, beliau bangga dengan sokongan dan kehadiran masyarakat Cina walaupun calon KeADILan tidak berjaya merebut kerusi di Dun itu daripada BN.
Katanya, apakah pimpinan BN tidak malu untuk mengakui kemenangan kerana mengamalkan rasuah paling besar sehingga menjadikan pilihan raya kecil itu sebagai pilihan raya paling kotor di Malaysia.
Menurut beliau, masyarakat Cina pun tahu tentang kewujudan pengundi hantu hanya Pemuda Umno saja yang tidak tahu kerana mereka rela menjadi `balaci' pimpinan BN.
Sepanjang kempen pilihan raya jika dalam Umno di mana ada Khairy Jamaluddin di situ ada provokasi tetapi dalam BA di mana ada Anwar di situ ramai orang yang menyerbu ke arahnya.
Ketika beliau bersama Tan Sri Khalid menemui pemilik kedai di sepanjang Pekan Ijok, ternyata semua pengundi di situ Cina, India dan Melayu tanpa mengira umur keluar, bersalaman, berbual, berpelukan serta bergambar.
Ramai orang Cina yang ditemui meluahkan; "Kita sokong, kita undi. Ada masa lagi, jangan putus asa, datang lagi,"kelihatan mereka gembira bertemu dengan Anwar dan Khalid.
Anak-anak muda yang menunggang motor membunyikan hon dan menjerit reformasi, begitu juga dengan pemandu kereta turut membunyikan hon apabila melihat rombongan KeADILan yang diketuai Anwar.
Reformasi Ijok
Beliau menegaskan pilihan raya Dun Ijok akan masuk dalam sejarah politik tanah air dan semangat yang ditunjukkan oleh pengundi Ijok akan dijadikan contoh untuk diikuti oleh seluruh rakyat Malaysia.
Sehubungan itu beliau akan melancarkan `semangat Ijok' dalam ceramah yang akan menjelaskan tentang kejadian sebenar di Ijok di Dewan Dato' Fadzil Noor, Taman Melewar, 4 Mei nanti.
Walaupun BN menang tetapi PM, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan TPM, Dato' Seri Najib Tun Razak tidak akan senang hati kerana banyak isu yang dibangkitkan oleh Anwar khususnya kes pembunuhan gadis Mongalia, Altantuya Shaaribu dan rasuah masih belum berjawab.
Menurut beliau, walaupun BN menghantar 500 SB, duit RM1 juta tetapi pengundi KeADILan tetap bersama-sama dan terus menyokong perjuangannya.
Superstar
Beberapa hari sebelum dan selepas Pilihan Raya, TV3 dan RTM sentiasa mengulang tayang tarian Anwar dan ucapan Khalid supaya pengundi menyokong BN.
"Saya menari sikit TV3 dan RTM tunjuk banyak kali. Saya macam superstar. Mana TV3 mana RTM ambil gambar saya tengah menari. Saya bukan Islam ke kalau saya menari," katanya dalam pertemuan bersama pengundi di Kampung Ijok.
Serentak itu penyokong KeADILan menyahut dengan mengatakan TV3 bodoh lantas Anwar menjawab bukan bodoh tetapi celaka. Penyokong dan hadiri menyambut dengan tepukan gemuruh.
"Hang dah tahu pemimpin hang penyangak, yang ambil gambar itu pasal apa. Kenapa TV3 dan RTM tidak dedah kes pembunuhan Altantuya, curi komisen, rasuah mana siasatan," tegasnya.
Sebelum itu dalam ceramah di Kampung Batu 8 Ijok, beliau menyampaikan sumbangan kewangan kepada tiga Pemuda PAS yang dipukul teruk oleh Pemuda Umno, pagi 28 April di Simpang Tiga Ijok.
Enam Pemuda PAS Hulu Langat yang sedang membetulkan bannar Anwar di Simpang Tiga Ijok, diserbu lebih 20 Pemuda Umno dan dibelasah. Seorang daripadanya dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.
Anwar mempersoalkan, seorang Pemuda PAS cedera di kepala dengan 16 jahitan tetapi tidak dilaporkan dalam suratkhabar, tidak masuk TV3 dan RTM dan tidak ada siasatan dijalankan.
Ketua Pemuda Air Mata
Beliau turut diajukan soalan daripada wartawan Berita Harian atas arahan Ketuanya terhadap penolakan hasratnya untuk menyertai Umno.
Katanya, "Saya tidak pernah menyebut minat untuk menyertai Umno dan perkara ini tidak berbangkit."
Sehingga kini beliau tetap teguh bersama KeADILan, PAS dan DAP dan itu merupakan keputusan yang paling ditakuti oleh pimpinan Umno.
"Yang paling takut kalau saya masuk Umno, Najib dan Dato' Seri Hishamuddin Hussein, Ketua Pemuda yang paling kuat menangis. Saya gelar dia Ketua Pemuda air mata,"katanya.
Dalam ceramah malam itu beliau berkata, Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang serta Timbalannya, Ustaz Nasharuddin Mat Isa dan petugas-petugas PAS bekerja bersungguh-sungguh seolah-olah calon PAS yang bertanding di Dun Ijok.
Begitu juga dengan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang cukup kuat bekerja dan berkempan hebat bersama KeADILan. - mks.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment