Salman Hussin Wed May 16, 07 08:29:54 AM
MERSING, 16 Mei (Hrkh) – PAS berasa kesal dengan sikap berdolak-dalik Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Mersing, berhubung pertandingan Karaoke anjuran Pemuda Umno Mersing yang akan diadakan di Sekolah Menengah Ungku Husin Endau, 19 dan 20 Mei ini.
“Kita melihat kenyataan beliau yang mendakwa kononnya beliau langsung tidak tahu menahu berkaitan program ini sebagai alasan untuk melepaskan diri semata-mata," kata Ketua Penerangan PAS Johor, Mazlan Aliman, di sini.
Mazlan bersama pimpinan PAS Mersing bertemu dengan Haji Mohamad untuk mendapatkan penjelasan dengan isu penganjuran karaoke di sekolah.“PPD sewajarnya mengetahui sebarang kegiatan yang berlaku di sekolah-sekolah di bawah pentadbirannya, ini kerana sebarang kegiatan yang dijalankan di sekolah-sekolah perlu dimaklumkan kepada PPD, jadi mustahil beliau tidak mengetahui perkara ini,"tambahnya lagi.
Oleh sebab itu alasan kononnya beliau tidak mempunyai maklumat berhubung pertandingan karaoke yang akan diadakan di sekolah tersebut tidak boleh diterima sama sekali,katanya.
Mazlan berkata demikian ketika diminta mengulas pertandingan karaoke perdana anjuran Pemuda Umno Mersing, yang akan diadakan di Sekolah Menengah Ungku Husin Endau, 19 dan 20 Mei ini.
Terdahulu Mazlan bersama pimpinan PAS Mersing mengadakan pertemuan serta menyerahkan memorandum bantahan berhubung pertandingan karaoke ini kepada Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Mersing, Haji Mohamad Jantan, di pejabatnya, di sini.
Pertandingan karaoke ini diadakan sebagai daya penarik untuk mendaftarkan golongan anak muda Melayu sebagai pengundi, difahamkan terdapat 4.9 juta golongan ini masih tidak mendaftar sebagai pengundi.
Oleh kerana pemuda Umno sudah ketandusan idea serta tidak mempunyai kreativiti untuk mendekati golongan ini maka mereka terpaksa menggunakan saluran hiburan bagi menarik golongan muda ini.
Menurut Mazlan lagi, sekolah yang merupakan gedung ilmu tidak sewajarnya dicemari dengan kegiatan-kegiatan yang tidak bermoral kerana sebarang unsur negatif yang dibawa ke sekolah sudah tentu akan mempengaruhi pelajar.
“Sekiranya ibu bapa atau masyarakat tidak sensitif dalam hal ini maka tiada siapa lagi dapat menghalang penganjuran program ini dan kita sangat bimbang program seumpama ini akan terus diadakan pada masa depan bahkan mungkin mereka akan mengadakan program-program mungkar lainnya kerana mereka beranggapan rakyat bersetuju dangan apa yang mereka buat,"katanya.
Sehubungan itu, Mazlan yang juga Naib Ketua Pemuda PAS, seterusnya berkata, PAS masih menggunakan pendekatan diplomasi dalam isu ini maka diharapkan pihak terbabit faham dan mengambil langkah untuk membatalkan program ini.
“Seandainya mereka gagal berbuat demikian maka jalan terakhir yang akan kita ambil untuk menghalang program ini ialah dengan mengajak seluruh rakyat mengadakan demonstrasi aman bagi membantah pertandingan karaoke ini,"katanya. - mks
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment