Wan Nordin Wan Yaacob Thu May 31, 07 03:23:31 PM
KOTA BHARU, 31 Mei (Hrkh) - Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi digesa memecat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Dr Abdullah Mat Zin atas kegagalan menangani kemelut murtad yang cukup serius di negara ini. -->
Gesaan itu dibuat oleh wakil Pemuda Pahang, Mohd Fadzli Mohd Ramli yang membacakan usul dari Pemuda Pahang untuk dibahas dan diterima perwakilan Pemuda PAS ke Muktamar Dewan Pemuda PAS Kali Ke-48 di Pusat Tarbiyah Islam Kelantan (Putik) hari ini.
Ketika membacakan usul tersebut Mohd Fadzli melahirkan kebimbangan dengan gejala murtad yang membelenggu umat Islam di negara ini dengan sokongan oleh pihak-pihak tertentu.
Lebih membimbangkan katanya, kemelut murtad yang berlaku di negara ini tidak berkesudahan kerana undang-undang murtad yang diwartakan di setiap negeri tidak pun dilaksana atau dimantapkan.
Malah, ada negeri yang tidak memiliki undang-undang ini yang akhirnya menjadi tumpuan kepada golongan yang mahu murtad memudahkan proses tersebut tanpa sebarang tindakan tegas.
Dalam isu Lina Joy (Azlina Jailani) yang telah diputuskan kesnya semalam, meskipun kemenangan kepada Islam namun tiada tindakan ke atas pesalah murtad dari sudut undang-undang Islam yang boleh mengerunkan golongan ini, katanya.
Beliau juga menyeru Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayob membawa usul memperkuat undang-undang murtad ini di Parlimen untuk dibahaskan, katanya.
Selain itu beliau menyeru kepimpinan pemuda negeri agar bertindak dan bergerak menghentikan gerakan memurtadkan umat Islam yang kini ditaja oleh kumpulan tertentu yang mula menapak di negara ini.
Usul beliau itu kemudiannya disokong oleh wakil Pulau Pinang, Hafiz Nordin dengan menyatakan usul ini perlu disokong kerana gejala murtad kini amat membimbangkan.
Baginya, setiap mereka yang berada dalam gerakan Islam perlu berada dalam gerakan memusnahkan gerakan murtad ini yang kini mula mendapat pengiktirafan badan-badan tertentu yang kononnya berjuang atas nama hak asasi.
Usul ini juga turut disokong oleh Pemuda PAS Negeri Sembilan, Mohd Khairul Anwar Mohd Wafa dengan meminta pemuda berusaha 'counter attack' dengan gerakan Islamkan kalangan bukan Islam.
"Kita sibuk dengan cadangan tetapi usaha menyerang tiada.Kita patut ada benteng di luar untuk kukuhkan kekuatan.Usaha dakwa ini perlu dijalankan, kerja ketuk pintu rumah ke rumah untuk berdakwah macam Nabi Muhammad lakukan dahulu,"katanya.
Usul ini akhirnya diterima dengan sebulat suara oleh sidang muktamar Pemuda PAS yang berbahas sebentar tadi. - mks.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment