Tuesday, May 8, 2007

Rakyat patut hormati mesej Dr Mahathir kepada Kelantan

Rizal Tahir Wed May 09, 07 02:33:17 PM
KOTA BHARU, 9 Mei (Hrkh) - Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat mengalu-alukan kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang memberi mesej secara tidak langsung menggambarkan rakyat wajar terus memberi sokongan kepada PAS di Kelantan.

Naib Presiden PAS, Dato’ Husam Musa berkata, Menteri Besar memberitahunya mengenai perkara itu selepas meneliti ucapan Dr Mahathir melalui laporan internet yang membayangkan hasrat tersebut.
“Sebagai negarawan saranan Tun harus dihormati rakyat kerana ia diluahkan dari hati kecil beliau sendiri,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Ketika menyampaikan ucapan pada syarahan perdana anjuran Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) di sebuah hotel di sini, Ahad lalu Dr Mahathir menegaskan sekiranya Umno tidak menunjukkan kepemimpinan secara serius di Kelantan, ia boleh memberi ruang kepada pembangkang (PAS) untuk terus mempertahankan kerajaan.
Menurutnya, kalau kita terpaksa hendak tunjuk kepada orang tertentu bahawa orang mereka (Umno) tidak pimpin dengan baik, kita perlu tunjuk bahawa kalau awak tidak buat betul-betul parti lawan (PAS) akan menang.
Syarahan Perdana Tahunan itu bertajuk ‘Cabaran Kepimpinan Melayu Di Era Globalisasi: Memperkasakan Bangsa dan Kedaulatan Negara’ yang turut dihadiri veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah, Tan Sri Hussien Ahmad dan Tan Sri Abdullah Ahmad.
Husam yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, PAS tiada pesefahaman dengan Dr Mahathir dalam apa-apa pendapat berkaitan politik. Oleh itu, kenyataan tersebut adalah pandangan peribadinya sendiri.
Beliau juga berharap rakyat mengambil tindakan politik yang bijak berdasar kepada saranan seorang bekas Perdana Menteri.
Husam juga membidas kenyataan pemimpin Umno yang mahu mewujudkan pembangkang sifar di negara ini.
“Sedangkan kewujudan pembangkang penting bagi menegur kepincangan yang dilakukan kerajaan,” ujarnya.
Menurutnya juga, pemilihan jawatankuasa PAS Pusat pada mukhtamar yang akan diadakan awal Jun ini tetap mengekalkan perpaduan dalam parti kerana ahli-ahli telah ditarbiyah dengan Islam.
Sebaliknya kata beliau parti lawan terpaksa menangguh pemilihan dalam parti kerana mereka tidak mempunyai kekuatan dalaman di mana sering berlaku perebutan jawatan utama. - /mj

No comments: