Wednesday, May 16, 2007

Jangan bohong ekonomi baik jika harga barang asyik naik

Intan Abdullah Wed May 16, 07 02:10:59 PM
KUALA LUMPUR, 16 Mei (Hrkh) - Dakwaan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan menantunya, Khairy Jamaluddin bahawa ekonomi negara berada dalam keadaan yang baik adalah satu pembohongan yang besar kerana mereka sendiri gagal mengawal harga barangan yang melambung tinggi mutakhir ini.

Hal ini secara tidak langsung mencerminkan kelemahan kerajaan yang tidak menjaga kebajikan rakyat sehingga membiarkan rakyat terpaksa menanggung beban kenaikan tersebut yang disumbangkan oleh kenaikan harga minyak terdahulu.
Pengerusi Lajnah Pengguna damn Alam Sekitar PAS Pusat, Mahfuz Omar menggambarkan satu keadaan yang akan menyebabkan berlakunya inflasi yang memberi kesan kepada krisis ekonomi yang lebih buruk.
"Saya melihat keadaan tersebut akan mengurangkan kuasa beli pengguna kerana duit tidak akan berpindah tangan yang secara tidak langsung ia akan menjejaskan ekonomi pada jangka masa panjang," katanya lagi.
Menurut beliau harga barangan bukan kawalan turut menjangkiti simptom kenaikan ini sedangkan ia masih belum diumumkan secara rasmi oleh pihak kerajaan.
"Saya bimbang kemungkinan akan berlaku kenaikan secara melambung selepas pengumuman secara rasmi dibuat," katanya ketika dihubungi oleh Harakahdaily
"Kecuali kerajaan BN memberi resepi 'rebus batu' dan 'goreng tahi kambing' yang tidak menggunakan bahan-bahan asas yang tidak mengalami kenaikan harga sebagai penyelesaian kepada masalah ini," guraunya lagi.
Beliau menempelak tindakan kerajaan yang dilihat lebih memihak kepada pengilang dan pengusaha industri tanpa mempedulikan implikasi kepada masyarakat pengguna sedangkan beliau berpendapat penggunalah yang menentukan pertumbuhan ekonomi negara.
Ini kerana, ujarnya kerajaan lebih melayan kehendak pengeluar dan pengusaha industri walaupun hakikatnya kuasa membeli terletak di tangan pengguna.
Dalam pada itu, apabila ditanya tentang tindakan yang akan diambil oleh pembangkang beliau berkata mereka hanya boleh mengaturkan tindakan dengan membuat bantahan tetapi pihak yang berkuasa menyelesaikan keadaan ini ialah kerajaan sendiri.
Mahfuz turut mencadangkan agar peniaga kecil dan persatuan pengguna melakukan bantahan secara lebih menyeluruh bagi memastikan sesuatu akan dilakukan oleh mereka.
Kerajaan katanya, tidak pernah mengendahkan bantahan serta tuntutan yang dibuat oleh pihak Barisan Alternatif bahkan mereka hanya takut kepada bantahan daripada masyarakat industri tidak peduli apa yang rakyat rasa kerajaan yang tidak punya rasa peduli kepada rakyat
Kenaikan harga barang semakin keterlaluan
Sementara itu Penasihat Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Prof Datuk Dr Hamdan Adnan, merasakan kenaikan harga barang pada tahap yang keterlaluan.
"Kesan kepada pengguna adalah apabila kerajaan mengumumkan gaji kakitangan kerajaan akan dinaikkan, maka peniaga-peniaga berlumba-lumba menaikkan harga barangan secara tidak waras sedangkan gaji belum pun diperolehi, tapi harga sudah naik kerana tidak semua pengguna adalah kakitangan kerajaan," katanya yang juga bekas Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia(suhakam).
Menurut beliau, apa yang penting pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna memantau hal ini, kerana barangan yang naik harga bukan sahaja barangan kawalan, bahkan barangan yang tidak berada dalam kategori itu.
Dr Hamdan turut mencadangkan agar kerajaan mengadakan pertemuan dengan dewan perniagaan melayu, cina ataupun kesatuan peniaga-peniaga supaya tidak keterlaluan dalam keghairahan menaikkan harga setelah khabar kakitangan awam akan dinaikkan gaji.
Di samping itu, Fomca menyarankan agar pengguna menggunakan kuasa mereka untuk menunjukkan kepada peniaga bahawa mereka sangat berkuasa dalam menentukan harga barangan di pasaran.
"Kalau berbelanja secara berhemah, insha Allah apa yang berlaku tidak mendatangkan kesan kepada pengguna," kata beliau semasa dihubungi pagi tadi.
Justeru katanya, peniaga diingatkan agar dapat mengawal kenaikan harga tersebut tanpa memperlihatkannya secara tidak waras dan drastik.
Dr Hamdan juga menyatakan bahawa pengguna pada kebiasaanya bersifat pendek ingatan, iaitu pada peringkat awal sahaja mereka mengambil sikap berjimat cermat seperti membawa bekalan makanan bagi mengurangkan perbelanjaan.
Untuk itu, mereka disarankan supaya mengamalkan sifat bestari dan lestari yakni mengamalkan gaya hidup yang tidak membebankan alam sekitar bagi membantu pertumbuhan ekonomi negara.
Sungguhpun begitu, harapan beliau agar semua pihak harus turut sama berperanan untuk menetapkan harga yang waras di pasaran. - mr

No comments: