Friday, May 18, 2007

Pahang hampir muflis di bawah pemerintahan BN - Tuan Ibrahim.

Basiron Abdul Wahab
Sat May 19, 07 11:27:07 AM
TEMERLOH, 19 Mei (Hrkh) – Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man mendedahkan kegagalan kerajaan Barisan Nasional (BN) Pahang mengurus khazanah negeri dengan baik menyebabkan Pahang hampir muflis.

Katanya, Pahang kaya dengan pelbagai sumber tetapi kerajaan BN gagal menjana kekayaan negeri secara berkesan.

Beliau berkata, suatu ketika dahulu beliau mendapat maklumat mengenai beribu tan balak tersadai di dalam hutan dan apabila beliau pergi ke lokasi, memang terdapat kayu balak yang sudah ditebang

Apabila disiasat, rupa-rupanya syarikat yang menjalankan kerja pembalakan itu tidak memperolehi lesen yang sah kerana lesen yang diperolehi sebelum ini sudah tamat tempoh menyebabkan balak-balak yang sudah ditebang itu tidak dapat dikeluarkan.

Apa yang menghairankan kata beliau, bagaimana syarikat berkenaan boleh melakukan kerja pembalakan tanpa terlebih dahulu mendapatkan lesen daripada Jabatan Perhutanan Negeri sehingga akhirnya kerajaan negeri terpaksa menyambung semula lesen kepada syarikat terbabit.

“Ini adalah suatu contoh bagaimana lemahnya pengurusan kerajaan negeri dalam menangani isu pembalakan yang melibatkan hasil kerajaan,” ujarnya ketika berucap di Darul Hikmah, Kerdau, dekat sini.

Beliau turut mendedahkan, bagaimana tindakan kerajaan negeri Pahang melalui Jabatan Bekalan Air (JBA) mengenakan sewa meter air kepada rakyat semata-mata untuk mendapatkan wang secara mudah.

“Saya fikir inilah satu-satunya kerajaan di dunia yang menyewakan meter air kepada rakyatnya,” sinis beliau.

Turut berucap pada majlis yang sama ialah Naib Presiden PAS, Dato' Dr Hassan Ali. Dr Hassan dalam ucapannya berkata rakyat negara ini tidak memperolehi kebebasan demokrasi sebagaimana yang nikmati oleh rakyat Amerika Syarikat.

Katanya, di Amerika rakyat berpeluang mendengar bakal presiden yang bertanding dalam pilihan raya negara berdebat secara terbuka melalui televisyen.

“Bilakah di Malaysia rakyat berpeluang mengikuti perdebatan calon pilihan raya di televisyen?” soalnya. - mns

No comments: