Roy Rasul Tue May 29, 07 01:22:09 PM
KUALA LUMPUR, 29 Mei (Hrkh) – Semua umat Islam dalam dan luar negara diminta melakukan solat hajat pada malam ini untuk memohon doa kepada Allah SWT supaya memberi kemenangan kepada Islam berhubung kes Lina Joy yang akan diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan Putrajaya, esok. -->
Pengerusi Badan Bertindak Anti Murtad (Forkad), Ustaz Ridzuan Mohd Noor berkata, umat Islam juga diminta supaya datang beramai-ramai ke mahkamah berkenaan pagi esok untuk memberi sokongan kepada Islam.
“Kesan kes Lina Joy amat besar bahkan beliau didokong oleh empat belas peguam. Oleh itu kita minta umat Islam mendoakan kemenangan kepada Islam,” katanya kepada Harakahdaily, hari ini.
Pada 30 Mei ini Mahkamah Persekutuan akan memutuskan permohonan Lina Joy, atau nama asalnya Azlina Jalani, 42, seorang wanita Melayu yang mengaku murtad sejak 1998 untuk menggugurkan perkataan Islam daripada kad pengenalannya.
Sementara itu, Ustaz Ridzuan berkata, mereka berharap kes tersebut tidak memihak kepada kegiatan dan tindakan menentang Islam dan memudahkan murtad di negara ini.
“Sebab implikasi keputusan itu akan menyebabkan semakin ramai yang ghairah untuk murtad.
“Contohnya di Sabah dan Sarawak sekarang ini saya difahamkan ramai yang murtad, maknanya murtad menjadi satu fenomena di negara kita,” dakwanya.
Menurut beliau, Forkad berasa kecewa dengan kepimpinan kerajaan Barisan Nasional di bawah kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi yang dilihat bersifat apologetik dengan gerakan mempromosi murtad di negara ini.
Tambahan pula dakwanya, isu murtad di negara ini juga diketahui dunia.
“Kita harap sangat kerajaan menentang wabak murtad dan gerakan mempromosi murtad demi kesejahteraan umat dan agama Islam,” katanya lagi. - mns
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment