23-05-2007 05:12:23 PM
KOTA BARU: Lebih 5,000 kakitangan kerajaan negeri di Kelantan akan turut menikmati kenaikan gaji seperti yang dinikmati lebih sejuta kakitangan awam yang lain Julai ini, kata Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Beliau berkata kerajaan Kelantan sudah membuat keputusan yang sama, seperti kerajaan negeri yang lain, untuk menaikkan gaji kakitangan awam negeri.
"Apa yang disebut oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) tentang kenaikan gaji itu akan diikuti langkahnya oleh kerajaan Kelantan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Kota Darul Naim di sini, hari ini.
Abdullah mengumumkan pada perhimpunan Hari Pekerja sektor awam 2007 Isnin lepas, kenaikan gaji bagi 1.02 juta kakitangan awam antara 7.5 dan 35 peratus serta kenaikan 100 peratus kadar bantuan sara hidup (Cola).
Selain itu anggota Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia menerima kenaikan tambahan 20 peratus daripada peratusan kenaikan gaji untuk angggota sektor awam itu menjadikan kenaikan gaji mereka antara 9 peratus dan 42 peratus.
Nik Aziz berkata dengan keputusan itu, kerajaan negeri akan menanggung tambahan kos pembayaran gaji sebanyak RM2 juta, menjadikan pembiayaan setiap bulan sebanyak RM9.978 juta.
Dalam hal ini kerajaan negeri meminta kerajaan pusat membantu menampung kekurangan (daripada tambahan bayaran gaji) sebanyak RM2 juta ini kembali dalam apa cara sekali pun, katanya.
Beliau juga meminta kerajaan pusat dapat menangani dengan berkesan masalah kenaikan harga barang yang dikatakan berlaku ketika ini.
"Tenangkanlah hati rakyat tentang kenaikan harga ini kerana kegembiraan kenaikan gaji tidak bermakna (jika berlaku kenaikan harga)," katanya. BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment