Wednesday, May 2, 2007

Pemuda PAS digesa elak budaya 'syok sendiri'

Mohd Sabri Said Thu May 03, 07 01:20:00 PM
PERMATANG PAUH, 3 Mei (Hrkh) - Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub mahu semua Dewan Pemuda seluruh negara bergerak lebih agresif ke tengah masyarakat dengan merangka strategi lebih berkesan untuk mengelak budaya 'syok sendiri' yang boleh melemahkan penonjolan PAS.

Katanya, budaya 'syok sendiri' bukan sahaja melemahkan penonjolan bahkan menjadikan kepimpinan yang menerajuinya tidak ke mana kerana asyik berlakon di gelanggang sendiri.
"Budaya syok sendiri hendaklah dihindarkan jauh dari prinsip perjuangan kerana ia memusnahkan parti. Tambahan lagi ia tidak sesuai digunapakai di zaman global yang memerlukan kesepakatan bersama parti lain jika mahu memerintah, " tegasnya ketika berucap merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang yang ke-27 di Dewan Haji Yusof Rawa, Sama Gagah, Permatang Pauh baru-baru ini.
Sebaliknya, era kini memerlukan perbincangan yang luas dengan lain-lain parti pembangkang, Badan Bukan Kerajaan (NGO), pertubuhan Islam atau bukan Islam yang wujud di negara ini,katanya.
Semua itu sambungnya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, PAS mempunyai potensi untuk memerintah bersama pakatan Barisan Alternatif (BA) jika rakyat memberi peluang dalam pilihan raya umum ke-12 nanti.
"Jangan ada kepimpinan pemuda yang rasa sudah puas hati dengan cara terkini tanpa mahu berfikir atau mempelajari taktik pendekatan menawan hati masyarakat, " jelas beliau.
Tambahnya, sikap jaguh di gelanggang sendiri juga tidak boleh melonjakkan peranan pemuda kerana globalisasi memerlukan kesungguhan dan prihatin dengan isu semasa.
Justeru katanya, pemuda harus mencari alternatif bagaimana mahu memperbaiki serta mempertajamkan minda ke arah yang lebih mencabar supaya menjadi jaguh di gelanggang orang lain.
"Sikap syok sendiri dan jaguh di gelanggang sendiri tidak boleh melonjakkan peranan pemuda selari dengan zaman ini sebaliknya kena bertindak memperbaiki dan tajamkan minda agar kita boleh menang di gelanggang orang lain, " katanya.
Muktamar kali ini menyaksikan tiga nama dipertandingkan untuk merebut jawatan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri setelah ketua sesi lalu, Azizi Ayob sudah melewati usia pemuda.
Ustaz Hafiz Nordin dipilih sebagai Ketua Dewan Pemuda yang baru, timbalannya disandang oleh Ustaz Yusni Mat Piah manakala Helmi Harun diamanahkan sebagai Naib Ketua sessi 2007-2009.
Buat pertama kalinya penggunaan komputer e-undi diguna pakai dalam proses pemilihan oleh semua perwakilan.
Turut hadir dalam Muktamar Pemuda PAS Negeri itu ialah Setiausaha PAS Negeri, Zulkifli Mohd Akhir dan Ketua Penerangan PAS Negeri, Omar Hasan. - mks.

No comments: