Azamin Amin dan Saadon Aksah Thu May 31, 07 12:36:42 PM
KOTA BHARU, 31 Mei (Hrkh) - Segala usaha bersungguh-sungguh Dewan Muslimat PAS selama ini dalam mengangkat martabat dan memperjuangkan di samping membela nasib wanita negara ini amat dihargai. -->
Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa berkata sungguhpun peranan wanita di Malaysia menjadi semakin mencabar dan PAS berbangga kerana Dewan Muslimatnya kelihatan sentiasa responsif dan proaktif bergerak memartabatkan golongan wanita dalam kerangka Islam yang merupakan salah satu prinsip perjuangan parti.
"Usaha Dewan Muslimat untuk memberikan nafas baru kepada pendekatan PAS melalui engagement dan repackaging ternyata telah membuahkan hasil dan menguntungkan perjuangan," katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS ke-47 di Hotel Perdana dekat sini pagi tadi.
Antara yang turut hadir sama dalam Muktamar Muslimat ini ialah Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa dan Haji Mohamad Sabu; Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar dan Pengarah Pilihan raya' Dato' Mustafa Ali termasuk pimpinan PAS yang lain.
Tambah Ustaz Nasharudin lagi, gerak kerja Muslimat mendekati golongan yang telah tergelincir ke jalan maksiat sebagai salah satu contoh membuktikan bahawa PAS bersedia mendekati mana-mana pihak sahaja asalkan di sana ada peluang dan ruang untuk berdakwah dan membawa mereka kembali ke arus perdana Islam.
Sambil beliau mengambil kesempatan mengucapkan syabas kepada Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat dan rombongan Muslimat baru-baru ini yang bergerak pantas 'terjun' ke tengah golongan masyarakat yang 'terlanjur' di Lorong Haji Taib sejurus selepas majlis perasmian Bangunan PAS Pusat yang baru di Jalan Raja Laut.
"Ini perlu diteruskan bukan hanya di Lorong Haji Taib tetapi di setiap ceruk dan sudut untuk melebarkan luaskan dakwah.
"Di samping mendekati masyarakat yang selama ini dipinggirkan oleh Umno dan BN," katanya lagi.
Dalam masa yang sama katanya Umno telah melahirkan pula Puteri Umno untuk turut melangsungkan agenda kebatilan mereka dan PAS meletakkan harapan besar kepada Nisa supaya dapat menghalang agenda tersebut diteruskan.
Nisa katanya diharap dapat mengambil pendekatan yang lebih bertanggungjawab, lebih mesra dan beradab berlandaskan syariat Islam, yang jauh dicicirkan oleh Puteri Umno itu, bagi membela dan memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat.
"Syabas diucapkan kepada Nisa kerana berani dan terkehadapan dalam menganjurkan Nisa Games 2007 baru-baru ini di Kota Bharu," katanya.
"Ini telah membuka mata rakyat jelata akan kemampuan Muslimat muda PAS dalam banyak hal serta tanggunjawab," katanya lagi termasuk dalam menganjurkan sukan berkelas kebangsaan, yang dapat memberikan pilihan bersukan kepada wanita Islam khasnya dan wanita lain secara amnya. - mks.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment