Friday, May 18, 2007

Rakyat berhak tahu semua fakta mengenai tragedi 13 Mei

Anis Nazri
Sat May 19, 07 11:54:49 AM
KUALA LUMPUR, 19 Mei (Hrkh) - Bagi mematangkan bangsa Malaysia yang kini berusia 50 tahun setelah merdeka, rakyat seharusnya diberi peluang untuk meneliti kesemua fakta berhubung tragedi 13 Mei yang dikemukakan pelbagai pihak, bersesuaian dengan perkembangan arus maklumat dunia.

Walaupun pelbagai versi mengenai tragedi berdarah itu diperkatakan dan dibukukan, pelbagai pihak perlu mengetahui versi-versi berkenaan dan membahaskan isu sejarah seumpama ini agar ia boleh dijadikan tauladan dan sempadan kepada rakyat bagi mengorak langkah membina bangsa bersatu, progresif, berbudaya ilmu dan bertoleransi.

"Biarpun topik rusuhan 13 Mei sering dikatakan sebagai isu sensitif tetapi ia tidak wajar ditutup daripada dibincangkan secara terbuka. Usaha menyemak semula fakta-fakta sejarah dan memberikan tafsiran baru berdasarkan kajian terkini perlu dilakukan ," tegas wakil Komunite Seni Jalan Telawi (KsJT), Fathi Aris Omar, di Chinese Assembly Hall, pagi tadi.

Beliau yang juga merupakan wartawan dan penulis bebas, bersama beberapa aktivis NGO mengadakan sidang media membantah rampasan buku buku 13 Mei, tulisan Dr Kua Kia Soong oleh pihak Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN), beberapa hari lalu.

Penulis kolum di Malaysiakini, Lee Ban Chen, berkata buku tulisan Pengarah Suaram itu mengandungi dua versi. Satu versi merupakan fakta kes daripada kerajaan, manakala satu lagi versi berdasarkan kajian dan analisis yang dilakukan Dr Kua terhadap dokumen yang diklasifikasikan semula di British dan juga negara-negara Commonwealth.

"Isu sebenar di sini bukanlah sama ada buku itu mengandungi nilai sensitif atau menggugat ketenteraman negara, tetapi isu mengenainya perlu diberi ruang untuk diperbincankan dan diperhalusi bagi tujuan menjelaskan kekaburan yang bersarang di pemikiran rakyat," tegas beliau.

Lee turut menggesa semua pihak yang prihatin, khususnya Suhakam supaya tampil proaktif untuk memastikan KKDN tidak memutuskan bahawa buku ini diharamkan, di samping mendesak kerajaan agar membatalkan akta-akta yang tidak mendatangkan faedah seperti ISA, dan Akta Hasutan.

Sementara itu, wakil Angkatan Muda KeADILan, Hasmi Hashim, berkata beliau akan membuat petisyen dengan mengambil tanda tangan beberapa pihak di kongres parti itu, di Negeri Sembilan, penghujung bulan ini.

Katanya, petisyen itu melibatkan dua perkara iaitu menyatakan bantahan terhadap rampasan yang dilakukan KDN ke atas buku berkenaan dan petisyen menyokong agar data mengenai 13 Mei dibukukan.

"Kita tidak mahu rakyat negara ini dibayangi fakta-fakta yang kurang tepat, tanpa meneliti fakta-fakta daripada pihak lain untuk pertimbangan mereka. Perbincangan mengenai isu ini perlu diadakan bagi menjernihkan kekeliruan di kalangan rakyat," kata beliau.

Dalam pada itu, beliau turut meminta agar PAS turut membincangkan isu ini dalam Muktamar Agung PAS yang akan diadakan di Kota Bharu, Kelantan, awal Mei ini.

Pegawai KKDN merampas 10 nashkah buku bertajuk 'May 13 – Declassified Documents on the Malaysian Riots of 1969' tersebut dari kedai buku MPH di Kuala Lumpur, 16 Mei lalu.

Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan Dan Teks Al-Quran, Che Din Yusoh berkata, buku itu belum diharamkan tetapi dilarang untuk dijual.

Che Din berkata, bahagian itu akan mengkaji buku tersebut terlebih dahulu dan jika didapati ia mengancam ketenteraman dan keselamatan awam, pihaknya akan mengesyorkan ia diharamkan.

Buku itu merupakan kompilasi pelbagai laporan asing dan laporan sulit pada masa itu – yang telah diklasifikasikan baru-baru ini dan boleh didapati di Pejabat Rekod Awam di London.

Tindakan KDN itu dibuat mengikut AMCP yang memperuntukkan larangan pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil pengeluaran yang memudaratkan kemoralan atau ketenteraman awam adalah dilarang secara mutlak di seluruh Malaysia.

Pada akhir tahun lalu, Dr Kua membuat kajian selama tiga bulan untuk meneliti rekod dan dokumen di Pejabat Rekod Awam di London mengenai tragedi 13 Mei yang telah diklasifikasikan selepas luputnya tempoh 30 tahun dokumen berkenaan diklasifikasi sebagai rahsia. - mns

2 comments:

fathi aris omar said...

Kenyataan Rasmi & Lengkap
Komunite Seni Jalan Telawi (KsJT)

Bantahan terhadap Rampasan Buku tentang 13 Mei

Rampasan buku “May 13: Declassified Documents on the Malaysian Riots of 1969” karangan Dr Kua Kia Soong oleh pihak Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN) beberapa hari lalu sangat memprihatinkan kami.

Apatah lagi terdapat desakan daripada beberapa pihak di Dewan Negara agar buku ini diharamkan.

Langkah-langkah seumpama ini bukan sahaja boleh dianggap tidak demokratik, tetapi juga tidak mempunyai sikap yang beradab dalam kehidupan masyarakat yang terbuka dan menghargai perbezaan pandangan.

Kami berasa sangat kesal terhadap tindakan seumpama ini yang kami anggap sudah ketinggalan zaman.

Walaupun topik “rusuhan kaum 13 Mei” sering dikatakan isu sensitif tetapi ia tidak wajar ditutup daripada dibincangkan secara terbuka. Usaha menyemak semula fakta-fakta sejarah dan memberikan tafsiran-tafsiran baru berdasarkan kajian terkini haruslah sentiasa digalakkan, bersesuaian dengan perkembangan arus maklumat dunia dan ke arah mematangkan bangsa Malaysia yang kini berusia 50 tahun sejak merdeka.

Kami berpendapat, masanya sudah tiba untuk masyarakat Malaysia membahaskan isu-isu sejarah seumpama ini agar ia boleh dijadikan tauladan dan sempadan kepada kita bagi mengorak langkah membina bangsa Malaysia yang bersatu, progresif, berbudaya ilmu dan bertoleransi.

Kami juga bimbang, selagi isu “rusuhan 13 Mei” tidak dibuka untuk dikaji dengan mendalam, dan selagi ia enggan dibincangkan secara ilmiah seumpama buku “May 13: Declassified Documents on the Malaysian Riots of 1969”, maka tragedi malang ini akan selama-lamanya boleh diperalatkan untuk menimbulkan buruk sangka dan keresahan antara kaum di negara ini.

Selama ini, ingatan “13 Mei” sering diperalatkan oleh orang politik -- baik pemimpin parti kerajaan atau pemimpin parti pembangkang -- dan juga kumpulan-kumpulan Islam setiap kali apabila muncul perbahasan tentang isu-isu yang melibatkan pergeseran kepentingan kaum dan agama.

Tanggal “13 Mei” telah dijadikan momok, telah dijadikan lembaga jahat, untuk menakut-nakutkan orang ramai daripada membahaskan isu-isu penting tertentu. Tarikh “13 Mei” telah disebut-sebut sebagai amaran, khususnya kepada kaum bukan Melayu dan penganut agama bukan Islam.

Sebab itu, kami yang bertandatangan di bawah, yang sebahagian besar kumpulan aktivis, penulis, seniman, dan wartawan muda Melayu berasa terpanggil agar isu “13 Mei” dibenarkan dibincangkan secara terbuka, ilmiah dan tenang.

Sekian, terima kasih.

Komunite Seni Jalan Telawi (KsJT),
Bangsar Baru, Kuala Lumpur
18 Mei 2007

Yang benar:

Hasmi Hashim, jurucakap Komunite Seni Jalan Telawi (KsJT)
Amir Sari, koordinator Institut Kajian Dasar (IKD)
Mustaqeem Mahmood Radhi, pengarah Middle Eastern Graduates Center (MEGC)
Fathi Aris Omar, wartawan & penulis buku
Khairul Anam Che Mentri, penterjemah buku
Firdaus Isa, penyelaras MEGC
Ammar Gazali, pegawai penyelidik MEGC

Pesanan Keramat said...

Jangan kita terlalu mudah menerima buta sesuatu buku itu tanpa bersikap kritikal.

Demi keterbukaan, saya bersetuju tetapi kemungkinan sekali orang terlalu asyik dengan teori konspirasi tanpa mahu berlaku objektif. Ramai juga yang terlalu asyik mahu mendengar dan didengari tanpa kebijaksanaan dan objektif yang jelas.

Team Blog pelbagai parti "13 Mei: Dari Kacamata Melayu" mahu juga kehadapan mencari kebenaran. Sila mampir.

Muga kita tidak mudah menjadi seorang apologis, tanpa memahami sejarah tanahair dan perjuangan bangsa kita yang tertindas.