Thursday, May 31, 2007

PAS cadang letak lebih ramai calon Muslimat

31-05-2007 03:18:26 PM
KOTA BARU: PAS bercadang meletakkan lebih ramai calon wanita untuk bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di setiap negeri pada pilihan raya umum akan datang.
Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa berkata langkah itu dilakukan kerana menyedari bahawa 50 peratus daripada pengundi terdiri daripada golongan wanita.
"Sayap Nisa' (sayap wanita) yang PAS tubuhkan dua tahun lepas juga mendapat penyertaan hampir 5,000 orang yang menunjukkan semakin ramai golongan wanita menyokong parti ini.
"Saya sendiri secara peribadi menyokong supaya diperbanyakkan calon muslimat dalam pilihan raya akan datang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS ke-47 di sini hari ini.
Beliau berkata terpulang kepada pencalonan yang dilakukan setiap kawasan dan negeri sebelum ia diluluskan di peringkat pusat.
Sementara itu, Ketua Dewan Muslimat PAS Azizah Khatib Mat berkata senarai nama calon wanita yang dicadangkan untuk bertanding dalam pilihan raya umum akan datang sudah ada dan jumlah itu dikatakan lebih banyak berbanding dengan bilangan yang bertanding pada pilihan raya 2004.
Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan jumlah calon wanita yang akan diletakkan untuk bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.
Mengenai kes Lina Joy yang memohon menggugurkan perkataan Islam daripada Mykad, Nasharuddin berkata keputusan Mahkamah Persekutuan menolak tuntutan itu adalah tepat dengan memberikan bidang kuasa bagi memutuskan perkara itu kepada Mahkamah Syariah.
Sementara itu, dalam ucapan, Azizah berkata PAS bercadang memberikan elaun khas kepada suri rumah sekiranya parti itu memenangi pilihan raya umum akan datang.
Katanya cadangan itu jika dilaksanakan akan menggalakkan suri rumah menumpukan sepenuh masa mereka dalam soal pengurusan rumahtangga terutama bagi mendidik anak-anak.
Beliau berkata, ia bukan hanya sekadar polemik yang diadakan untuk pilihan raya semata-mata tetapi sebagai tanda prihatin Dewan Muslimat PAS terhadap pengorbanan yang dilakukan suri rumah. BERNAMA

No comments: