Salmiyah Harun Wed May 23, 07 08:17:42 PM
KOTA BHARU, 23 Mei (Hrkh) – Muktamar PAS Pusat kali ke-53 yang akan berlangsung pada 1 hingga 3 Jun ini bakal dihadiri tetamu dari lebih 10 negara sebagai pemerhati khas.
Antaranya dari Australia, Amerika Syarikat, Singapura, Switzerland, Thailand, Indonesia, Cambodia dan beberapa wakil dari negara Asean.
Pengarah Muktmar PAS kali ke-53, Dato’ Takiyuddin Hassan berkata, muktamar penuh akan diadakan pada 1 hingga 3 Jun bertempat di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa.
Menurutnya, perasmian muktamar itu akan dilakukan Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Manakala perasmian muktamar Dewan Pemuda dan Dewan Ulamak akan berlangsung pada 30 Mei iaitu Pemuda di Putik, serta ulamak di Markaz Dewan Ulama (Madu) di Machang.
“Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa dijangka merasmikan Dewan Pemuda, manakala Dewan Ulama pula akan dirasmikan ketuanya, Dato’ Harun Taib.
“Bagi perasmian dan muktamar Dewan Muslimat pula akan berlangsung pada 31 Mei ini bertempat di Hotel Perdana yang akan dirasmikan Timbalan Presiden,” katanya pada sidang media di Kota Darulnaim hari ini.
Menurut Takiyuddin jumlah perwakilan yang dijangka hadir pada muktamar kali ini seramai 1,125 orang daripada 170 PAS kawasan di seluruh negara.
Selain itu, katanya, pelbagai program diadakan sepanjang muktamar yang bermula 30 Mei iaitu ekspo perdagangan akan diadakan bersebelahan kompleks Putik.
Pameran disertai PAS Pusat, PAS negeri-negeri dan agensi kerajaan Kelantan. Pada 29 Mei hingga 4 Jun pula diadakan kempen menderma darah.
Program ceramah perdana pula akan diadakan pada 2 Jun yang menampilkan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden PAS, Penasihat KeADILan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Gabenor Acheh bertempat di Stadium Sultan Muhamad Ke-IV.
Mengenai kemudahan kepada petugas media, Takiyuddin berkata, satu bilik media disediakan dengan lima komputer yang dilengkapi kemudahan internet.
“Persiapan muktamar kali ini bermula sejak tiga bulan lalu. Kali ini kita ubahsuaikan sesetengah bahagian untuk memberi keselesan kepada perwakilan dan pemerhati,” katanya.
Katanya juga sepanjang muktamar ini pihak urusetia menawarkan penginapan ‘homestay’ secara percuma kepada perwakilan daripada seluruh negara.
“Kita buat konsep homestay kepada mereka nak duduk di kawasan Pengkalan Chepa dan Kota Bharu. Selain itu “muslim hotel” iaitu masjid dan surau boleh digunakan,” katanya. - mj
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment