Roy Rasul Sun May 20, 07 12:24:58 PM
KUALA LUMPUR, 20 Mei (Hrkh) – Keputusan sama ada berlaku pemilihan ataupun tidak untuk jawatan kerusi Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) hanya akan diketahui selepas 27 Mei ini.
Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub berkata, ini kerana semua pencalonan diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Muktamar Tahunan DPPP tahun ini.
“Tentang pencalonan itu, kita serahkan kepada SPR dan sekarang ini SPR sedang menghantar surat tawaran pencalonan.
“Jadi kita tunggu selepas 27 haribulan ini baru tahu sama ada berlaku pertandingan atau sebaliknya,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan mesyuarat Pemuda di pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini, semalam.
Bagaimanapun katanya, akhir-akhir ini pemuda PAS berjaya mengekalkan tradisi tiada pertandingan tiga jawatan utama dalam parti iaitu jawatan ketua, timbalan dan naib ketua.
“Sejak akhir-akhir ini nampaknya tradisi itu diterima pakai dan ia merupakan satu pengalaman yang baik dan sihat kepada pemuda,” katanya lagi.
Beliau berkata, pada tahun ini semua pencalonan dihantar kepada SPR kerana itu katanya hanya SPR yang tahu siapa yang dicalonkan.
Mengulas mengenai tiga jawatan utama yang tidak dipertandingkan setakat ini beliau berpandangan, ia menjadi satu tradisi yang subur dalam pemuda.
Namun katanya, jika ada pertandingan, itu hak individu.
“Sesiapa yang hendak bertanding kita tidak boleh halang. Cuma saya boleh sebut pengalaman pemuda kita boleh selesaikan melalui permuafakatan syura,” katanya lagi.
Sebelum itu, beliau berkata, fokus utama ucapan yang akan dibincang dalam muktamar tahunan pemuda di Kota Bharu, Kelantan pada 30 dan 31 Mei ini ialah mengenai persiapan pilihan raya umum.
“Ucapan pada kali ini, pertama sekali untuk menggerakkan jentera pilihan raya pemuda semaksimum mungkin kerana kita menjangka pilihan raya akan diadakan pada hujung tahun ini,” katanya.
Selain itu katanya pemuda akan memberi fokus kepada tuntutan untuk memulihkan demokrasi.
Katanya ini disebabkan pemuda mahu pilihan raya diadakan secara adil dan bersih.
“Kita akan menggerakkan rakyat dengan satu kesedaran yang tinggi mengenai demokrasi yang bersih.
Bahkan katanya, mereka akan memastikan bahawa tuntutan tiga perkara yang menjadi tuntutan pembangkang dipenuhi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Terutama katanya, tentang pembersihan daftar pemilih, penghapusan undi pos dan proses mencelup jari dengan dakwat.
“Kita minta supaya ia menjadi satu kenyataan dalam pilihan raya yang akan datang,” katanya.
Dalam muktamar itu juga katanya, mereka akan mengutarakan pembelaan yang sewajarnya kepada golongan belia termasuk mengenai isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Perkara lain katanya yang turut menjadi fokus dalam ucapan muktamar itu ialah merakyatkan perjuangan PAS agar dapat mendekati semua golongan dalam masyarakat. - mns
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment