Monday, May 21, 2007

Tuan Guru Nik Aziz rasmikan bangunan baru PAS di Jalan Raja Laut

Harakahdaily Mon May 21, 07 06:19:37 PM
KUALA LUMPUR, 21 Mei (Hrkh)- Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat sebentar tadi merasmikan bangunan Pejabat Agung PAS yang baru di Jalan Raja Laut dekat sini sebagai mercu tanda baru bagi membuktikan komitmen PAS untuk terus unggul di persada politik negara. -->
Majlis yang penuh dengan gilang gemilang tersebut dihadiri oleh Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Dato' Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa, wakil-wakil NGO dan kedutaan asing.
Hari ini Bangunan PAS yang terletak di tengah-tengah nadi bandaraya Kuala Lumpur dengan secara rasminya diisytiharkan sebagai asas penggerak Islam dan demokrasi dalam negara.
Tuan Guru Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan dalam ucapannya memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah dan melahirkan kegembiraan beliau kerana PAS berjaya melangkah kehadapan dengan membawa obor Islam yang relevan sepanjang zaman.
Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran disusuli dengan ucapan aluan Bendahari PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli.
Sejurus selepas Tuan Guru Nik Aziz memberikan ucapan, ditayangkan persembahan multimedia yang menyorot sejarah penubuhan bangunan PAS.
Selepas daripada itu, Tuan Guru Nik Aziz diiringi oleh Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Dato' Seri Anwar membuka tirai plak papan perasmian dan disertakan dengan doa yang dibacakan sendiri oleh Mursyidul Am.
Presiden PAS, dalam kata aluannya dalam buku cenderamata sempena perasmian bangunan PAS berkata pemilikan bangunan tujuh tingkat yang tersergam di tengah kota bakal menjadi tatapan dan kebanggaan penyokong PAS seluruh negara.
Beliau berkata, seharusnya bangunan baru PAS menjadi panduan kepada wargakota yang selama ini asing daripada PAS, untuk mendekati PAS.
Sementara itu, Pengerusi Lajnah Bangunan dan Pengurusan Harta PAS, Dr Mohd Hatta Ramli berkata usaha untuk memiliki sebuah Pejabat Agung PAS di ibukota dimulakan dengan penubuhan Tabung Bangunan PAS sejak tujuh tahun lalu.
Katanya, hasil sumbangan berterusan ahli PAS, penyokong dan para dermawan, akhirnya pihak beliau memulakan usaha sejak dua tahun lalu untuk mencari lokasi yang sesuai sebagai peranan PAS sebagai sebuah parti politik nasional dan gerakan Islam yang terbesar di negara.
Beliau turut memberikan komitmen menjadikan bangunan baru sebagai pusat menggerakkan penyuburan demokrasi dan aktiviti parti pembangkang dalam negara.
Bangunan tujuh tingkat itu menempatkan semua organisasi PAS di peringkat pusat di bawah satu bumbung dengan dekorasi dalaman yang eksklusif dan canggih.
Bagi Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar, kewujudan bangunan baru PAS melebarkan syiar Islam di kawasan strategik yang penting dan memberikan kesan imej jangka panjang tentang iltizam PAS untuk memainkan 'centre-stage role' dalam mengemukakan dasar alternatif berteraskan Islam kepada rakyat Malaysia

No comments: