Wednesday, May 23, 2007

Nik Aziz: Pusat tiada mekanisma atasi kenaikan harga barang

Salmiyah Harun
Wed May 23, 07 06:47:48 PM
KOTA BHARU, 23 Mei (Hrkh) – Kerajaan perlu membuat sesuatu yang boleh menyenangkan perasaan rakyat kerana berdepan dengan kenaikan harga barang ekoran kerajaan menaikkan gaji kakitangan awam.

Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, di samping menggembirakan kakitangan kerajaan dengan kenaikan gaji, kerajaan juga harus mengambil kira kegelisahan rakyat.

“Apa yang saya lihat kegelisahan rakyat makin kuat apabila berlaku kenaikan harga barang. Nampaknya belum ada program yang dibuat kerajaan Pusat untuk menyenangkan perasaan rakyat mengenai perkara itu,” katanya selepas mesyuarat Exco hari ini.

Dalam pada itu beliau mengesahkan lebih 5,000 kakitangan kerajaan negeri akan dinaikkan gaji selaras dengan pengumuman yang dibuat Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini.

“Kita terima arahan Perdana Menteri, gaji kakitangan kerajaan negeri juga akan dinaikkan,” katanya.

Oleh itu beliau juga berharap kerajaan Pusat akan memberi tambahan peruntukan kepada Kelantan bagi menampung perbelanjaan negeri ini ekoran berlaku pertambahan gaji.

Katanya, kerajaan negeri akan menanggung tambahan peruntukan kenaikan gaji sebanyak RM2 juta sebulan.

“Kita harap apa-apa sahaja tambahan peruntukan daripada kerajaan Pusat, bukan sahaja negeri ini malah negeri-negeri lain juga mengalami bebanan yang sama apabila berlaku kenaikan gaji,” katanya. - /mj

No comments: