Wednesday, May 30, 2007

Penubuhan jawatankuasa WPI bukti kerajaan jual kedaulatan negara

Azamin Amin Thu May 31, 07 12:26:41 AM
KOTA BHARU, 31 Mei (Hrkh) – Penubuhan Jawatankuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) yang disertai oleh menteri kedua-dua buah negara Malaysia dan Singapura dianggap sebagai salah satu bukti kerajaan dalam ‘proses’ menjual kedaulatan Negara. -->
AJK PAS Pusat, Haji Mahfuz Omar yang sangsi akan penubuhan itu memberi contoh pelaksanakan kad pintar yang mana Malaysia perlukan persetujuan daripada kerajaan Singapura.
“Apa perlunya persetujuan Singapura sedangkan kita boleh benarkan dan abaikan mengikut kehendak kita sendiri tanpa merujuk kepada mereka kerana kawasan tersebut merupakan wiulayah kita,” katanya sewaktu ditemui di Kediaman Rasmi Menteri Besar Kelantan di JKR 10 dekat sini.
“Dengan sikap yang ada ini, terbukti kita lemah dan dalam proses mengadaikan kedaulatan negara,” katanya lagi.
Sebelum ini menurut laporan akhbar Timbalan Perdana Menteri berkata, jawatankuasa tersebut tidak mempunyai kuasa eksekutif kerana kuasa terletak di tangan Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Jemaah Menteri Malaysia.
‘‘Mereka (jawatankuasa) tiada kuasa eksekutif tetapi membincangkan langkah yang difikirkan perlu dan wajar untuk mengembangkan WPI secara positif.
‘‘Ini (penubuhan jawatankuasa) tidak bererti serah kedaulatan kita kepada Singapura,” katanya lagi.
Bagaimanapun Mahfuz menyelar sikap putar belit kenyataan Timbalan Perdana Menteri berhubung isu itu.
“Jika tiada kuasa eksekutif mengapa hal ini tidak diserahkan sahaja di peringkat para pegawai sahaja,” katanya lagi.
Dengan adanya penubuhan dan perlunya persetujuan tersebut daripada Singapura seolah-olah membayangkan ada agenda tertentu dan tersirat bahawa negara luar iaitu Singapura sedang mencorakkan kawasan Negara Malaysia ini.
Sikap berbelit kenyataan dan penafian demi penafian oleh Perdana Menteri dan Timbalannya membuktikan bahawa rakyat semakin hilang kepercayaan terhadap kerajaan yang sedia ada yang boleh diharap membela kedaulatan negara

No comments: