Wednesday, May 28, 2008

Peruntukan RM16 billion 'nyaris' dibatalkan, ahli parlimen BN kelam kabut

Azamin Amin Wed May 28, 08 3:23:59 pm MYT
KUALA LUMPUR, 28 Mei (Hrkh) - Akibat tidak cukup 'korum' dan tidak ramai ahli parlimen Barisan Nasional (BN), peruntukkan tambahan Kementerian Kewangan sejumlah RM16 billion 'nyaris' dan kemungkinan dibatalkan kerana tidak cukup undi berbanding ahli parlimen Pakatan Rakyat.
Sebelum ini Speaker hanya membuat keputusan berdasarkan suara yang lebih kuat daripada ahli dewan sama ada bersetuju atau tidak bersetuju atas satu-satu usul yang dibangkitkan malah dilihat sentiasa 'percaya' ahli parlimen BN yang dilhat lebih ramai berbanding ahli parlimen pembangkang.
Namun kali ini Mohamed Azmin Ali (KeADILan-Gombak ) bangun mencadangkan agar tindakan �Belah Bahagian� dibuat yang turut disokong lebih dari 15 ahli dewan dan akhirnya Speaker, Dato' Wan Junaidi Tuanku Jaafar membenarkan proses �Belah Bahagian� iaitu undi sulit untuk menentukan bersetuju atau tidak bagi meluluskan peruntukkan tambahan Kementerian Kewangan itu.
Situasi tersebut menimbulkan kebimbangan ahli parlimen BN yang kurang bilangannya di dalam dewan ketika itu jika dibandingkan dengan ahli parlimen Pakatan Rakyat, malah sejak pagi tadi kelihatan begitu banyak kerusi-kerusi ahli parlimen BN yang kosong.
Akibat daripada itu, loceng dibunyikan kira-kira lima minit bagi memastikan bilangan ahli parlimen cukup untuk membuat undi dan ketika itu kelihatan ahli Parlimen BN kelam kabut bergegas masuk ke dalam dewan.
Dalam suasana kelam kabut itu, beberapa ahli parlimen Pakatan Rakyat meminta Speaker menetap tempoh tamat untuk mengira undi.
"Sampai bila nak tunggu masuk. Sudah cukup tempohkah?" kata ahli parlimen Ipoh Barat dan tiada tindak balas daripada Speaker
Mahfuz (PAS-Pokok Sena) mencelah menyatakan siapa yang masuk untuk mengundi bermakna mereka mengundi untuk pembaziran manakala Azmin secara bersahaja meminta supaya undian dikira betul dan tepat supaya tidak ada 'undi hantu' berlaku dalam dewan yang mulia.
Nazri dilihat berdiri membilang ahli-ahli parlimen dan antara mereka yang keluar semula dari Dewan Rakyat bagi 'mencari' rakan-rakan mereka yang hilang.
Kejadian ini merupakan kali pertama berlaku pada sidang dewan kali ini dan tepat jam 11.50 pagi undian dibuat untuk menunggu kedatangan wakil BN ke dewan menyebabkan undian tersebut berpihak kepada BN yang bersetuju sebanyak 92 undi berbanding 60 undi tidak setuju dan 1 berkecuali.
Mengulas kejadian itu Khalid Samad (PAS-Shah Alam) menyatakan bahawa ahli-ahli parlimen BN kali ini terkejut dan tidak menyangka insiden ini akan berlaku memandangkan sebelum ini ahli pembangkang sangat sedikit berbanding sekarang.
"Kali ini mereka tak boleh ambil sikap lewa lagi. Kita mempunyai kemampuan menggagalkan sebarang usul atau peruntukan yang disifatkan membazir kerana jumlah kita sudah ramai.
"Jadi kali ini mereka kena berhati-hati dan memberi perhatian serius kepada isu yang dibahas dan dibangkitkan dalam dewan. Tidak sewenang-wenangnya boleh tinggalkan dewan begitu sahaja," katanya ketika ditemui Harakahdaily.

Pilihan raya semula bertentangan dengan Perlembagaan - Aziz Bari

Harakahdaily Wed May 28, 08 3:19:40 pm MYT
KUALA LUMPUR, 28 Mei (Hrkh) - Professor Undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Dr Aziz Bari berkata, tindakan membubarkan parlimen bagi membolehkan pilihan raya umum diadakan semula sekarang adalah bertentangan dengan peruntukan dan semangat Perlembagaan.
"Segala peruntukan yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan perlu diterokai terlebih dahulu sebelum mengadakan pilihan raya sekali lagi," katanya kepada Harakah, mengulas kemungkinan berlakunya pilihan raya umum tergempar ekoran keadaan politik yang tidak menentu dalam negara sekarang.
Pakar Perlembagaan itu berkata, prosedur yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan mesti terlebih dahulu digunakan dan ini merupakan salah satu alasan mengapa pilihan raya bukan cara terbaik untuk diambil sekarang.
Bahkan katanya, pilihan raya bukanlah kaedah yang sesuai untuk keadaan sekarang.
Baru-baru ini, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) Dato' Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi berkemungkinan besar akan mengadakan pilihan raya umum tergempar.
Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Haji Wan Ahmad Wan Omar pula dilaporkan berkata, pilhan raya tergempar boleh diadakan bila-bila masa daripada sekarang.
Dua minggu lepas menteri kabinet, Dato' Shahrir Abdul Samad memberitahu ahli Umno supaya bersiap sedia menghadapi pilihan raya baru berikutan kejutan yang dibuat oleh bekas presiden parti itu, Tun Dr Mahathir Mohamed keluar parti.
Aziz tidak bersetuju dengan pandangan Wan Ahmad kerana biarpun Perdana Menteri mempunyai kebebasan untuk memohon supaya parlimen dibubarkan, namun kata putus adalah pada tangan Yang di-Pertuan Agong.
"SPR telah mewujudkan pandangan yang salah bahawa kerajaan mempunyai kebebasan untuk sewenang-wenangnya mengadakan pilihan raya umum," katanya.
Beliau memberikan dua alasan mengapa pembubaran parlimen dan pilihan raya tidak perlu diadakan.
Pertama katanya, buat masa ini wujud kerajaan alternatif yang berpotensi iaitu Pakatan Rakyat. Agong perlu tunggu sehingga proses melompat parti selesai dan kemudian mengarahkan kerajaan sekarang melepaskan kuasa seperti yang diperuntukkan di bawah Artikel 43(4). Dan kemudian Agong akan melantik kerajaan baru di bawah Artikel 43(2)(a) dan (b).
Kedua katanya, pilihan raya umum baru sahaja diadakan iaitu pada Mac lalu. Walaupun kerajaan berada dalam keadaan terumbang-ambing, Agong perlu menggalakkan ia dibentuk semula melalui parlimen sedia ada. - mns

Kerajaan Perak disaran halang program Islam Hadhari

Anis Nazri Wed May 28, 08 3:18:38 pm MYT
KUALA LUMPUR, 28 Mei (Hrkh) - Kerajaan Pakatan Rakyat Perak disaran agar mengikuti langkah kerajaan Pakatan Rakyat Selangor dan Pulau Pinang yang tidak mengizinkan sebarang program yang berkaitan konsep Islam Hadhari di negeri terbabit.
Saranan itu diutarakan Pemuda PAS Ipoh Timur dan Pemuda PAS Pasir Salak sebagai respons kepada pendirian kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang berhubung konsep Islam Hadhari ciptaan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Ketua Pemuda Ipoh Timur, Salman Saleh dan Ketua Pemuda Pasir Salak, Zamarul Aini Abd Malek, dalam kenyataan bersama mereka berkata, langkah itu perlu diikuti bagi menyatakan pendirian agar mengembalikan ajaran Islam yang sebenar.
"Bagi kami, Islam Hadhari amat menyalahi prinsip sebenar Islam kerana ajaran Islam sekarang sudah sempurna keseluruhannya. Kami yakin, bahawa Islam yang diamalkan dari dulu dan hari ini tidak berubah, sekali gus cukup sempurna," tegas mereka kepada Harakahdaily, hari ini.
Dalam pada itu, Salman dan Zamarul Aini turut menyarankan supaya semua masjid dan surau tidak dibenarkan mengadakan program, termasuk khutbah yang menyentuh atau mempunyai hubung kait dengan Islam Hadhari.
"Kami juga menegaskan agar semua pihak menghormati keputusan yang akan dibuat oleh kerajaan Pakatan Rakyat Perak kelak untuk memastikan agama Islam didaulatkan di tempat yang terbaik," tegas mereka lagi.
Pada 26 Mei lalu, ketika menggulung perbahasan pada sidang Dun, di Shah Alam, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri Selangor, Dato' Dr Hasan Mohamed Ali, mengumumkan kerajaan negeri Selangor tidak mengizinkan sebarang bentuk program berkonsepkan Islam Hadhari, memandangkan Islam yang selama ini sudah cukup sempurna. - mns

'Saran ubah gaya hidup tetapi kerajaan belanja besar'

Azamin Amin Wed May 28, 08 3:17:07 pm MYT
KUALA LUMPUR, 28 Mei (Hrkh) - Kerajaan hari ini sekali lagi dikritik berikutan sikap dan tindakannya yang sering kali memperuntukan jumlah wang negara yang banyak kepada perkara-perkara yang tidak memberi kepentingan kepada negara dan rakyat jelata.
Malah dilihat menyalurkan wang kepada projek-projek yang tertentu seperti penganjuran kejohanan yang tiada kaitan dengan keperluan rakyat khususnya yang sangat memerlukan.
Dato' Kamaruddin Jaffar (PAS-Tumpat) mempersoalkan sikap kerajaan yang pandai menasihati dan memberi saranan kepada rakyat agar berjima cermat berhubung peningkatan kos sara hidup yang semakin tinggi tetapi dalam masa sama memberi peruntukan yang besar kepada syarikat-syarikat swasta yang menganjurkan kejohanan sukan seperti Le Tour de Langkawi yang tidak ada kena mengena dengan kerajaan.
"Pandai suruh rakyat ubah gaya hidup, jimat cermat...suruh makan nasi sikit tetapi kerajaan sanggup memberi peruntukan jutaan ringgit kepada syarikat-syarikat yang tidak ada kena mengena dengan kerajaan," katanya sewaktu meminta penjelasan kepada ucapan Dato' Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) yang membangkitkan isu peruntukan penganjuran lumba basikal itu.
Beliau mencadangkn agar satu semakan semula dibuat ke atas akaun dan laporan syarikat-syarikat yang menganjurkan kejohanan itu untuk memastikan dan mempertimbangkan sama ada sudah sampai masanya penganjur 'berdikari' tanpa melibatkan peruntukan kerajaan.
Sementara itu Tian Chua (Batu-KEADIlan) turut menambah bahawa kerajaan perlu sedar dan tidak membantu lagi syarikat yang menganjurkan Le Tour de Langkawi ini kerana menghadapi masalah kewangan malah kes mereka sedang dibicarakan di mahkamah.
Dalam pada itu Ibrahim Ai menambah bahawa perlu diteliti dengan lebih terperinci supaya ianya tidak dilihat membazir wang kerajaan dan bersetuju dengan pendapat Kamarudin supaya mengkaji semula laporan kewangan syarikat terbabit.
"Monsoon Cup di Terengganu menelan belanja sampai RM300 juta. Le Tour de Langkawi juga jutaan ringgit setiap kali kejohanan.
"Apa kata kalau jumlah wang yang banyak itu kerajaan berikan kepada mereka yang berhak mendapat biasiswa kerajaan untuk melanjutkan pelajaran. Ramai yang layak untuk dapat biasiswa tetapi kerajaan hanya mampu beri kepada sedikit sahaja," katanya yang dilihat membidas ucapan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Dato' Seri Nazri Aziz sebelum ini yang menyatakan bahawa kerajaan hanya mampu memberi biasiswa kepada seramai 2,000 orang sahaja.

Tuesday, May 27, 2008

Ketuanan bangsa, strategi terdesak Umno - Presiden PAS

Wan Nordin Wan Yaacob Tue May 27, 08 03:16:44 pm MYT
KUALA LUMPUR, 27 Mei (Hrkh) - Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan konsep ketuanan bangsa Malaysia yang dikemukakan Timbalan Presiden Umno, Dato' Seri Najib Razak adalah strategi terdesak Umno tatkala parti itu semakin tidak diterima umum.
Bercakap kepada Harakah di Pejabat Pembangkang di Parlimen semalam, Presiden PAS berkata, konsep yang diperkenal Umno itu sebenarnya usaha terdesak untuk memenangi semula hati rakyat.
PAS melihat Umno gagal menjadi pembela kepada rakyat pelbagai bangsa, malah 'Ketuanan Melayu' yang diagungkan Umno sejak dahulu tidak mampu membela nasib bangsa Melayu sendiri.
Pada pilihan raya umum lalu, Umno menerima tamparan hebat selepas parti tunggak kepada BN itu tidak menjadi pilihan kepada rakyat yang akhirnya bertukar kepada Pakatan Rakyat, ujarnya.
Kini katanya perpecahan dalam Umno dengan keluarnya Tun Dr Mahathir Mohamad menambah kemelut dalaman parti itu yang akhirnya hanya akan menyebabkan parti itu tidak lagi relevan kepada rakyat Malaysia.
Melihat kepada sokongan rakyat kepada Pakatan Rakyat semakin tinggi, Umno dilihat terpaksa menggunakan istilah baru (Ketuanan Bangsa Malaysia) untuk menarik kembali sokongan rakyat, ujarnya.
Sementara itu Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa menyifatkan slogan yang dilaungkan Najib itu sebagai satu lagi strategi politik Umno.
Umno terdesak tatkala parti itu berhadapan dengan masalah dalaman yang cukup serius yang menyebabkan rakyat kurang yakin dengan kepimpinan Umno, ujarnya. - mr

Selangor sedia peruntukkan bantu keluarga mangsa ISA

Saidah Hairan Tue May 27, 08 3:14:13 pm MYT
SHAH ALAM, 27 Mei (Hrkh) - Keprihatinan kerajaan negeri Selangor mengeluarkan peruntukkan membantu isteri-isteri dan keluarga mangsa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) membuktikan satu lagi kesungguhan dan kejayaan kerajaan Pakatan Rakyat yang baru tiga bulan memerintah.
Menteri Besar, Tan Sri Dato' Abdul Khalid Ibrahim menyatakan kesungguhan itu selepas menerima memorandum penyerahan lencana `Malaysia bebas daripada ISA' daripada Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA, Syed Ibrahim Syed Noh di lobi Avenue, SUK.
Beliau berkata, kerajaan di bawah tanggung jawab Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail akan mengeluarkan peruntukkan tersebut secepat mungkin.
Dalam penyerahan memo itu Khalid turut berjanji akan berusaha memansuhkan ISA dan OSA kerana ia merupakan salah satu janji Pakatan Rakyat.
Menurut beliau, kehadiran isteri tahanan dan ahli Gerakan Mansuhkan ISA merupakan kesinambungan usaha kerajaan Pakatan Rakyat mendesak memansuhkan ISA.
"Perjuangan mendesak memansuhkan ISA akan diteruskan bagi menjamin kesejahteraan rakyat," katanya.
Beliau menjelaskan, kerajaan negeri akan membiayai kos perjalanan isteri-isteri dan keluarga untuk melawat tahanan di kem kemunting, Perak.
Selain itu katanya, beberapa usaha akan dilaksanakan seperti memberi biasiswa untuk anak-anak meneruskan pelajaran dan membuat satu perusahan supaya isteri-isteri dan keluarga mangsa dapat bekerja bagi meneruskan kehidupan.
"Saya mempunyai Adun bekas tahanan ISA yang faham dan menghayati kesengsaraan keluarga dan mangsa ISA. Saya yakin mereka akan terus menyokong perjuangan yang paling penting dalam demokrasi sekarang," tegasnya.
Sementara itu, Rodziah ketika ditemui berkata, kerajaan akan memberi bantuan kepada 16 keluarga mangsa ISA yang tinggal di Selangor.
Katanya, bantuan yang diutamakan seperti membayar yuran tertunggak dan perbelanjaan keluarga khusus bagi keluarga yang berada di paras kemiskinan.
Menurut beliau, kerajaan juga akan mengkaji cadangan mewujudkan projek usahawan bagi membantu isteri-isteri tahanan meneruskan kehidupan.
Kandungan memo itu menyatakan enam keluarga mengesahkan suami dan bapa mereka telah dtahan di bawah ISA melebihi enam tahun.
Mereka Mat Sah Mohd Satray suami kepada Norlaila Othman; Abdullah Minyak Silam suami Siti Normah Ismail; Yazid Sufaat suami Chomel Mohamad; Shahrial Sirin suami Fatma Masrum; Suhaimi Mokhtar suami Jurainah Basari dan Shamsuddin Sulaiman suami Fatimah Shamsuddin. - mns

BN bakulsampahkan usul Batu Puteh

Abdul Halim Mohd Rashid Tue May 27, 08 3:09:36 pm MYT
KUALA LUMPUR, 27 Mei (Hrkh) - Rakyat yang mempunyai semangat patriotisme boleh menilai dan menghakimi sendiri sikap dan gelagat Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional ketika usul mengenai kehilangan Pulau Batu Puteh dibentangkan di Dewan Rakyat pagi ini.
"Ketika saya menggunakan peraturan yang memerlukan sekurang-kurangnya 15 Ahli Parlimen bangun untuk menyokong supaya usul itu dibahaskan, ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) bangun beramai-ramai sebagai tanda sokongan.
"Malangnya, ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), khususnya yang mewakili Umno Johor, enggan bangun untuk menyokong supaya usul itu dibahaskan. Hebat Umno Johor.
"Saya sangat kagum dengan semangat patriotisme mereka sehingga enggan menyokong supaya isu kehilangan Pulau Batu Puteh dibincangkan!" kata Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub yang membentangkan usul tersebut.
Hakikat bahawa usul tersebut tidak dibentangkan bukan untuk kepentingan PAS atau PR, sebaliknya demi kedaulatan negara, menambahkan kekaguman Ahli Parlimen Kubang Kerian itu kepada semangat patriotisme ahli-ahli Parlimen BN itu.
"Usul itu tidak bersifat politik kepartian dan yang pertama mengenai Pulau Batu Puteh dalam sesi Parlimen kali ini. Sepatutnya semua ahli Parlimen BN menyokong usul itu," kata Bendahari PAS, Dr Mohd Hatta Mat Ramli.
Tetapi, kata Ahli Parlimen Kuala Krai itu, sikap divisif yang memandang pembangkang sebagai lawan menyebabkan isu tersebut sekalipun menjadi isu yang dibakulsampahkan.
"Kalau ahli-ahli Parlimen BN bangun untuk menyokong supaya usul itu dibahaskan tadi, saya yakin keputusan Yang DiPertua dewan boleh berubah," kata Ketua Penerangan PAS, Haji Mahfuz Omar yang juga amat kagum dengan semangat patriotisme ahli-ahli Parlimen BN itu.
Lebih mengkagumkan, kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu, ialah sikap ahli-ahli Parlimen BN yang hanya menjadi tukang angguk walaupun dalam isu membela kedaulatan negara yang telah tercalar dengan kehilangan Pulau Batu Puteh.
Walaupun mengakui semua pihak bersedih atas kecuaian yang berlaku sehingga negara kehilangan Pulau Batu Puteh tetapi Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia tetap dengan keputusannya menolak usul Salahuddin untuk membincangkan kehilangan Pulau Batu Puteh.
Beliau sebelum itu menolak usul tersebut kerana berpendapat usul tersebut tidak perlu disegerakan kerana Malaysia telahpun bersetuju dengan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Setelah usul itu ditolak untuk dibahaskan, Salahuddin kemudiannya menggunakan peruntukan dengan meminta sekurang-kurangnya 15 ahli Dewan Rakyat untuk bangun menyokong usul tersebut.
Kesemua Ahli Parlimen PR bangun untuk menyokong usul itu supaya dibahaskan.
Ketika itu, Mahfuz berkata kepada ahli-ahli Parlimen BN "sebelah sana tak bangun!"
Terdengar juga suara Ahli Parlimen PR yang berkata "takutkah, larikah?".
Meskipun begitu, Yang Dipertua dewan tetap dengan keputusannya yang menolak usul itu dibahaskan.
Ketika itu, beliau ditanya "macam mana tak puas hati?"
Sambil membangkitkan keputusan ICJ itu telah dipersetujui oleh kerajaan Malaysia, Pandikar Amin menjawab: "Ada kala saya puas hati (untuk dibahaskan) umpamanya dalam isu beras".
Ketika itu, Salahuddin terus merayu agar usul itu dibahaskan kerana usul tersebut adalah isu keselamatan dan kedaulatan negara.
"Saya menghormati, saya merayu, saya merayu atas nama negara, saya merayu atas nama rakyat, saya merayu atas nama kedaulatan ngara, saya merayu agar dibahaskan.
"Ini bukan isu PR, ini isu negara!" Ahli Parlimen Kubang Kerian itu merayu.
Ketika itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat menyatakan beliau juga merasa sedih dengan kehilangan Pulau Batu Puteh itu.
"Perasaan Yang Berhormat adalah perasaaan kita semua, saya setuju kita ambil iktibar.
"Kalau itu kesilapan kita semua, kita ambil iktibar, di masa akan datang simpan rekod dengan cara baik.
"Mohon maaf kerana tidak dapat layan," kata beliau sambil mencadangkan Salahuddin mengemukakan usul di bawah Peraturan 43 Dewan Rakyat.
Salahuddin menjawab, kalau dibahaskan di bawah peraturan 43 akan hilang kesegeraan.
"Apa salahnya Parlimen yang mulia merakamkan apa sebab kita kalah?" tanya beliau sambil menekankan jawapan menteri mengenai kekalahan di dalam ICJ itu sepatutnya dirakamkan oleh Dewan Rakyat.
Pandikar Amin kemudiannya menerangkan bahawa sebelum beliau menolak usul itu, beliau telah "ambil kira dengan baik" dan kalau dibahaskan sekalipun, katanya lagi, hanya iktibar sahaja yang boleh diambil.
Salahuddin mencelah, "kita ada banyak lagi pulau yang kita berhadapan dengan Singapura!"
Yang Dipertua dewan kemudiannya bertanya, tidak cukupkah dengan mengambil iktibar kerana "kalau bahas pun keputusannya juga ambil iktibar".
"Kita ambil iktibar bahawa perkara seperti ini tidak harus berlaku, saya cukup bersimpati, saya faham perasaan Kubang Kerian. Kita semua mempunyai perasaan yang sama seperti Kubang Kerian," katanya.
Memandangkan Yang Dipertua dewan bersungguh-sungguh merayu dan menyarankan pula Salahuddin agar membahaskannya dalam perbahasan tambahan, Ahli Parlimen Kubang Kerian itu akhirnya beralah.
Ketika membentangkan usulnya, Ketua Pemuda PAS itu menekankan bahawa keputusan ICJ melenyapkan kedaulatan negara ke atas pulau tersebut.
Hakikat bahawa pulau itu diserahkan kepada British dengan kebenaran Sultan Johor ketika itu, kata beliau, menunjukkan Pulau Batu Puteh milik Malaysia.
Memandangkan begitu banyak isu tertunggak dengan Singapura termasuk isu pembekalanair ke pulau itu, isu Pulau Api di Pulau Pisang dan lain-lain, beliau mahu kehilangan kedaulatan negara itu menjadi pengajaran yang amat besar bagi menjaga kedaulatan negara.
Beliau menyarankan Dewan Rakyat membahaskan apakah punca kekalahan Malaysia di ICJ.
Adakah kekalahan itu akibat "kelemahan hujah" atau "kelemahan persediaan".
"Rakyat Malaysia amat meragui kemampaun pasukan yang diketuai oleh Peguam Negara," kata beliau sambil menekankan perlunya usul itu dibahaskan kerana ia melibatkan kedaulatan negara.

Monday, May 26, 2008

MB Perak rasmi pelepasan konvoi Kembara Zakat 2008

Ekmal Yusof Mon May 26, 08 3:25:09 pm MYT
IPOH, 26 Mei (Hrkh) - Menteri Besar Perak, Dato� Seri Mohammad Nizar Jamaluddin merasmikan pelepasan peserta konvoi Program Kembara Zakat 2008 di Kompleks Islam dekat sini pagi tadi.
Beliau mengibarkan bendera negeri Perak sebagai perasmian upacara pelepasan tersebut kepada setiap sebuah daripada 20 buah kereta yang kesemuanya dijadualkan melakukan expedisi menjelajah seluruh Perak selama tiga hari bermula pagi ini.
Sebelum itu, dalam ucapan perasmiannya beliau berharap Jabatan Zakat Agama Islam Perak dapat mengumpul sebanyak RM200 juta kutipan wang zakat pada tahun ini bukannya RM50 juta seperti yang diramalkan oleh Pegawai Pentadbir Zakat Perak.
Pasukan Kembara Zakat 2008 tersebut terdiri daripada 40 orang Pegawai dan Kakitangan Kutipan Zakat Pejabat Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perak yang beribu pejabat di Komplek Islam di sini.
Aturcara pertama kembara tersebut adalah menziarahi dua buah rumah fakir miskin di Kampung Seri Jaya, Batu Gajah dan kemudianya mengedarkan risalah zakat di Lumut, Seri Manjung dan Seri Iskandar.
Hari kedua, peserta kembara akan mengadakan pelbagai program bersama masyarakat di Masjid Daerah Manjung.
Manakala pada hari ketiganya, menziarahi Rumah Anak Yatim Kg. Jarum Mas, Sungai Nyior, penyampaian bantuan zakat, modal, bot, barangan bengkel dan pukat serta penerangan motivasi kepada asnaf penerima bantuan zakat oleh Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam (Zakat), Ustaz Mohd. Latiff bin Talib di Masjid An-Nawawi Pengkalan Bharu. - mns

Isu doktor ada 'lesen untuk membunuh' gamatkan Dewan Rakyat

Azamin Amin Mon May 26, 08 3:22:57 pm MYT
KUALA LUMPUR, 26 Mei (Hrkh) - Gara-gara kesilapan Timbalan Menteri Kesihatan Dato' Dr Abdul Latif Ahmad (BN-Mersing) menyatakan bahawa kecuaian para doktor boleh ditakrifkan dan dikhuatiri menjadi sebagai 'license to kill' (lesen untuk membunuh) menyebabkan Dewan Rakyat hari ini menjadi gamat dan kecoh.
Kegawatan Dewan itu adalah disebabkan oleh bantahan daripada ahli parlimen yang terdiri daripada Pakatan Rakyat yang menyelar kenyataannya itu sekali gus menggesa supaya ia ditarik balik.
Abdul Latif berkata demikian ketika menjawab soalan lisan yang dimajukan oleh Alexander Nanta Linggi (BN-Kapit) berkaitan sebab-sebab mengapa masih ada masalah kekurangan doktor yang berkhidmat bagi semua hospital dan klinik di luar bandar di negeri Sarawak.
Situasi ini mengundang protes hampir keseluruhan ahli parlimen yang bergelar doktor termasuk yang masih menjalankankan khidmat perubatan.
Dr Hatta Ramli (PAS-Kuala Krai) yang bangun beberapa kali menyatakan kenyataannya itu jelas mencemar nama baik profesion kedoktoran yang ada dalam negera ini.
"Kecuaian tidak boleh ditakrifkan sebagai 'lesen untuk membunuh'. Ini kenyataan bahaya dan saya minta Yang Berhormat tarik balik kenyataan itu," katanya.
Protes yang sama dibuat oleh Dr Wan Azizah Ismail (KeADILan-Permatang Pauh), Dr DZulkifli Ahmad (PAS-Kuala Selangor), Dr Lo' Lo' Ghazali (PAS-Titiwangsa)
Speaker Dewan Rakyat, Yang Dipertua Tan Sri Pandikar Amin ketika menenangkan keadaan dilihat cuba membela ahli parlimen Mersing itu dan berpendapat ia bukanlah kenyataan yang bersifat prejudis atau salah sangka malah berjanji bahawa ahli parlimen terbabit tidak akan mengulangi ayat yang bersifat offensive.
"Saya mengikut pendapat Kepong supaya ia jangan diulangi lagi," katanya yang merujuk kepada teguran Dr. Tan Seng Giaw (DAP-Kepong)
Bagaimanapun perkara ini dibantah oleh Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) dan menggesa ia ditarik bailk kerana akan mengundang kemarahan ramai para doktor yang menjalankan tugas di seluruh negara.
"Jangan lupa dengan begitu sahaja. Perkara ini mesti ditarik balik. Adakah kita mahu tunggu sehingga para dokotor seluruh negara membuat protes di Parlimen ini," katanya.
Perkara itu dibantah sama oleh Lim Guan Eng (DAP- Bagan) bahawa adalah salah menunjukkan seolah-olah para dokotor seumpama 'James Bond' yang boleh melakukan pembunuhan sesuka hati dan perkara ini juga tidak adil kepada semua dokor termasuk yang ada dalam dewan yang mulia ini.
Sementera itu Gobala Krishnan (KeADILan-Padang Serai) dengan tegas menyatakan insiden yang sama telah berlaku ke atas dirinya minggu lepas sewaktu Dewan bersidang yang mana beliau diarahkan oleh Yang Dipertua untuk menarik balik kenyataannya yang dianggap tidak berdisplin.
"Beberapa hari sudah saya diminta untuk tarik bailk dan atas dasar menghormati Parlimen, saya tarik balik.
"Hari ini berlaku kepada ahli parlimen BN, kenapa tidak diarah tarik bailik? Perlukah saya menghormati Parlimen jika keadaan macam ini," katanya yang sedikit berang.
Dalam suasana tegang itu Mersing yang ketika itu masih mempertahankan hujah dan tidak mahu menarik balik kenyataannya itu.
Kedegilannya membuatkan Dewan semakin kecoh dengan bantahan daripada ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat sehingga Spekaer Dewan terpaksa menenangkan keadaan.
Suasana gamat yang mengambil masa kira-kira 25 minit itu, membuatkan Speaker yang pada awalnya berbolak-balik dengan arahan beliau, akhirnya mengarahkan Mersing menarik balik perkataan itu.
"Saya tidak minta maaf tetapi saya tarik balik kenyataannya itu," kata Mersing menamatkan polemik yang dicetusnya awal tadi. - mns

PAS akan usulkan isu Pulau Batu Puteh di Parlimen esok - Timbalan Presiden

Wan Nordin Wan Yaacob Mon May 26, 08 3:17:24 pm MYT
KUALA LUMPUR, 26 Mei (Hrkh) - PAS akan mengusulkan isu Pulau Batu Puteh yang terlepas kepada Singapura di Dewan Rakyat melalui Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub, kata Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa.
Menurut Ustaz Nasharudin, PAS kesal dengan kelemahan hujah yang disampaikan oleh pasukan pembela Malaysia menyebabkan Pulau Batu Puteh diserahkan kepada Singapura.
Sambil menyifatkan kelemahan itu suatu yang tidak boleh diterima, beliau berkata PAS menyedari keputusan itu telahpun dibuat namun PAS kesal dengan kelemahan yang sepatutnya tidak berlaku itu.
"Berbanding kumpulan pembelaan Singapura, bahan-bahan yang dibawa Malaysia tak kuat untuk pertahankan tanah milik negara kita.
"Kita kesali tindakan itu tetapi perkara ini dah berlaku, dan kita minta penjelasan dibuat atas kelemahan itu kerana ia akan melibatkan nasib nelayan-nelayan Johor yang menangkap ikan di situ," kataya.
Bagi Ahli Parlimen Bachok itu, kelemahan penghujahan pihak kerajaan Malaysia dalam membela hak itu juga menunjukkan kelamahan Umno dalam mempertahankan kedaulatan negara.
Justeru PAS akan mengemukakan satu usul di bawah perkara 18 (1) dan surat pemberitahuan akan disampaikan kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Panglima Amin Mulia hari ini. - mns

Umno pupus tahun 2013 jika Abdullah masih PM - Sanusi Junid

Azamin Amin Mon May 26, 08 3:15:40 pm MYT
Eksklusif KUALA LUMPUR, 26 Mei (Hrkh) - Bekas Naib Presiden Umno, Tan Sri Sanusi Junid mendakwa bahawa Umno bakal pupus dan lenyap pada tahun 2013 sekiranya tampuk pemerintahan negara masih dipegang oleh Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi. -->-->
Beliau menegaskan, kerana alasan itulah juga yang menyebabkan, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed bertindak keluar daripada Umno.
"Tun Mahatir tidak mahu lihat Umno ini hapus. Kalau macam sekarang, habis pilihan raya kita tengok macam mana perlantikan menterinya, kita lihat bahasa-bahasa yang digunakan dan komentar-komentar mereka.
"Jika ianya berlanjutan, pada tahun 2013, Umno akan pupus," katanya kepada Harakah dalam wawancara eksklusif dengan beliau di kediamannya dekat sini petang semalam.
Di tanya alasan beliau yang turut mengisyhtiharkan diri keluar parti, Sanusi berkata, tidak ada faedahnya beliau terus dalam Umno, jika tidak ada menampakkan sebarang perubahan bahkan beliau tidak sanggup berada dalam parti yang mencaci bekas pemimpinnya seperti Tun Mahathir.
"Kalau dia (Mahathir) tunggu dalam Umno dan tunggu sehingga 2013, maka dia adalah sebahagian daripada kemusnahan Umno dan dia adalah sebahagian daripada pemimpin yang tak mampu pertahankan Umno," kata Sanusi yang pernah memegang jawatan sebagai Menteri Pertanian dan Menteri Besar Kedah.
Beliau menegaskan, lebih baik pihak lain (merujuk kepada Tengku Razaleigh Hamzah) yang menggalas tugas sebagai Perdana Menteri berbanding Abdullah kerana individu tersebut masih belum ada kepentingan keluarga dan peribadi.
Katanya, sudah terbukti dalil-dalil yang menunjukkan dasar kepimpinan Abdullah begitu lemah sehingga situasi terkini orang mula mempersoalkan Raja-raja Melayu dan Dasar Ekonomi Baru.
"Waktu Tun lantik itu sebab nampak dia baik, bersih. Itu tak salah Tun Mahahtir. Rakyat juga percaya di 'Mr Clean' sehingga 2004, kita menang rekod kemenangan manakala pada 2008 kita pegang rekod kekalahan pula.
"Masa menang 2004, dia kata faktor dia sahaja tetapi bila kalah 2008, dia kata bukan salah dia seorang. Kenapa dia tak mengaku pula?" kata Sanusi.

Thursday, May 22, 2008

Rakyat Pahang akan untung besar jika Pakatan Rakyat memerintah

Hashim Abdullah Thu May 22, 08 4:01:50 pm MYT
TEMERLOH, 22 Mei (Hrkh) - Rakyat Pahang telah mengalami kerugian besar kerana tidak memilih PAS dan parti dari Pakatan Rakyat memerintah negeri menyebabkan mereka ketinggalan daripada menikmati arus kebajikan sebagaimana rakyat di negeri lain, kata Pemangku Ketua Dewan Pemuda PAS Pahang, Ustaz Suhaimi Md Saad. -->-->
Sebaliknya kata Suhaimi, rakyat Pahang kini dibebankan dengan pelbagai isu dan konflik politik kepimpinan negeri atas perbalahan terbuka kepimpinan Umno negeri termasuk membabitkan Menteri Besar, Dato' Seri Adnan Yaakob dengan bekas Setiausaha Badan Perhubungan Umno Pahang, Dato' Tajuddin Sulaiman atas isu penjualan tanah balak kepada bukan Melayu.
Pada ceramah anjuran PAS Temerloh, di Darul Amin, Sungai Gau, dekat sini, baru-baru Suhaimi menambah, selagi Umno diberikan kekuasaan bermakna semakin jauh rakyat menikmati kebajikan kerana amalan kronisme dan kepuakan dalam Umno terlalu menebal.
"Kalau pemimpin Umno kata nak bela Melayu, nak bela rakyat itu satu pembohongan. Kita tengok di Pahang ini pemimpin Umno perintah negeri dia beri tanah pada parti dia tak bagi pada rakyat. Kita perintah negeri, kita tak bagi pada parti kita bagi pada rakyat. Umno susah nak bagi pada rakyat.
"Kita boleh tengok berapa banyak tanah milik Umno. Sekarang ini dia berbalah kita dapat tengok dengan jelas berapa banyak tanah Umno. Kalau tak kroni tak dapat, dia bagi harta pada puak dia," katanya.
Menurut Suhaimi, perbezaan ketara dalam corak pemerintahan antara kerajaan yang dikuasai Umno BN dengan kerajaan yang diterajui Pakatan Rakyat atas isu memberikan kebajikan perlu dinilai rakyat dengan bijak.
"Di Selangor rakyat Selangor dapat air percuma bulan Jun ini tetapi pemimpin Umno kata itu satu pembaziran. Kita tak tahu macam mana otak pemimpin Umno bila kita bantu rakyat dia kata pembaziran. Ini pasal tak ada dalam otak dia nak bantu rakyat.
"Di Kedah, bila kita, PAS dan Pakatan Rakyat perintah, Menteri Besar Kedah umumkan penurunan cukai tanah 25-75 peratus. Di Pulau Pinang guru agama naik gaji sebab itu kita katakan rakyat akan untung besar jika berani buat perubahan," katanya. - mns

Wednesday, May 21, 2008

Bersih buat laporan polis ke atas PM, Musa, Ghani dan Rashid

Wan Nordin Wan Yaacob Thu May 22, 08 2:29:48 pm MYT
KUALA LUMPUR, 22 Mei (Hrkh) - Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih) telah membuat laporan polis ke atas Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan tiga lagi individu berikutan isu pembatalan penggunaan dakwat kekal pada pilihan raya umum yang lalu.
Setiausaha Sekretariat Bersih, Faisal Mustaffa yang membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi (Tun H.S. Lee) dekat Jalan Stadium hari ini menegaskan, empat individu tersebut harus bertanggungjawab di atas pembatalan penggunaan dakwat itu.
Tiga lagi yang disenaraikan dalam laporan polis yang dibuat itu ialah, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail; Ketua Polis Negara, Musa Hassan dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman.
Turut serta semasa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Dang wangi pagi tadi ialah, calon KeADILan bagi Parlimen Rembau, Badrul Hisham Shaharin dan Jurucakap National Institute For Electroral Integrity (NIEI), Amin Iskandar.
Empat hari sebelum pilihan raya umum pada 8 Mac lalu, SPR telah mengumumkan pembatalan penggunaan dakwat dengan alasan keselamatan dan ada pihak yang telah membeli dakwat itu bagi tujuan penyelewengan, ujar Faisal.
SPR dikatakan telah menggunakan RM2.4 juta wang rakyat untuk membeli dakwat kekal dari India untuk digunakan pada pilihan raya lalu, katanya.
Bagaimanapun kata Faisal, SPR baru-baru ini memberitahu media bahawa kabinet Abdullah Ahmad Badawi yang sebenarnya membantah penggunaan dakwat kekal pada pilihan raya umum yang lalu.
Sementara katanya, Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Syed Hamid Albar pula mendedahkan di Parlimen yang laporan polis berasakan kepada khabar angin mengenai pembelian dakwat kekal oleh parti-parti politik untuk tujuan penyelewengan pilihan raya.
Baginya, jelas sebenarnya pengumuman pembatalan penggunaan dakwat itu hanyalah helah untuk menyelamatkan kerajaan BN tumbang pada pilihan raya umum lalu.
Jelaslah di sini bahawa kebinet Abdullah Badawi tahu yang mereka akan kalah dalam pilihan raya ke 12 yang lalu jika dakwat kekal digunakan, katanya.
"Jelas juga yang SPR hanyalah alat Barisan Nasional untuk menipu rakyat dalam pilihan raya umum," ujarnya.
Dengan laporan polis yang dibaut itu, Bersih mendesak kesemua terbabit meletakkan jawatan sebagai tanggungjawab terhadap rakyat Malaysia oleh kerana bersekongkol
Bagi Bersih, Polis dan Peguam Negara hanya dijadikan alat untuk membantu BN memanipulasi pilihan raya yang lalu, ujarnya.
Sementara itu Jurucakap National Institute For Electroral Integrity (NIEI), Amin Iskandar yang turut serta bersama Bersih membuat laporan itu mengecam tindakan berupa penipuan yang dilakukan SPR, Perdana Menteri, Musa dan Peguam Negara.
"Selepas membazirkan wang rakyat sejumlah RM2.4 juta, mereka akhirnya menipu rakyat terang-terang selepas mereka mendapat maklumat akan kalah pada pilihan raya umum lalu," kata Amin yang juga pernah membuat pemantauan pilihan raya dibeberapa buah negara termasuk Afghanistan dan Nepal.
Beliau menyatakan bahawa penggunaan dakwat kekal di negara ini tidak akan mendatangkan ancaman kepada kerajaan atau keselamatan negara.
Alasan yang diberikan SPR dan pihak berkuasa sebelum pilihan raya lalu amat dangkal, dan ia mengesahkan bahawa polis sebenarnya yang gagal mengawal keselamatan negara.
Justeru beliau mendesak siasatan dibuat ke atas Perdana Menteri, Peguam Negara, Ketua Polis Negara dan Pengerusi SPR berikutan pembohongan tersebut.
"Kita mahu mereka bertanggungjawab dan meletak jawatan segera," tegasnya

"PAS perlu beri perhatian kepada pengundi bukan Islam"

Rabu, 21 Mei 2008
KOTA BHARU: Kerajaan Pas Kelantan disarankan memberi perhatian sewajarnya terhadap masalah pengusaha restoran Cina berhubung kesukaran mendapatkan lesen menjual bir kepada pelanggan bukan Islam.
Sebahagian besar pengusaha restoran bukan untuk Islam keliru dengan peraturan Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) yang tidak membenarkan mereka menjual bir sedangkan restoran mereka hanya untuk bukan Islam.
Pengerusi Kelab Penyokong Pas Kebangsaan, Hu Pang Chaw berkata berdasarkan aduan yang beliau terima, ramai pengusaha restoran seperti itu sering dikenakan tindakan merampas stok bir dan dikenakan kompaun oleh MPKB berikutan gagal mendapatkan lesen khas untuk menjual bir.
Menurutnya, peraturan di Kelantan sekarang agak mengelirukan kerana restoran yang menjual makanan tidak halal termasuk babi perlu memohon satu lesen lain jika pengusahanya ingin menjual bir.
“Apa bezanya jual babi dengan bir, kedua-duanya bukan makanan halal untuk Islam. Babi haram bagi Islam, begitu juga bir, jadi kenapa restoran yang dibenarkan jual babi tidak boleh jual bir?
“Maknanya mereka (pengusaha) kena mohon lesen Restoran Cina (Bir) baru boleh jual bir, tapi masalah besar sekarang ialah kerajaan mengehadkan pengeluaran lesen tersebut, ada kuota. Bukan semua permohonan mendapat lesen tersebut.
“Dalam sekian banyak restoran Cina yang jual makanan tidak halal, hanya 25 sahaja yang ada lesen untuk jual bir dan cadangan kerajaan tiga tahun lalu untuk menambah menjadi 35 belum jadi kenyataan,” katanya pada sidang akhbar di sini, kelmarin.
Hu berkata, Pas tidak boleh merasa selesa dengan kejayaan pada pilihan raya umum lepas yang turut menyaksikan Datuk Anuar Tan Abdullah menang di kawasan yang mempunyai 46 peratus pengundi bukan Islam dengan majoriti 5,206.
:Katanya, jika Pas Kelantan mengabaikan keperluan kala-ngan pengundi terbabit, maka tidak hairan sekiranya parti itu akan hilang banyak sokongan bukan Islam pada pilihan raya umum akan datang.
“Melihat kepada kemenangan pakatan pembangkang di lima negeri, ternyata kerajaan Kelantan kurang peka dalam perkara ini. Masalah seperti ini tidak berlaku di negeri-negeri tersebut.”
Beliau berkata, peraturan mengenakan lesen menjual bir terhadap restoran Cina (makanan tidak halal) di Kelantan boleh dipertikaikan kerana mengikut undang-undang di negara ini, penjualan bir di restoran tidak memerlukan lesen.
Sehubungan itu, Hu berkata sekiranya Pas menghargai sokongan bukan Islam, maka adalah perlu ia merealisasikan pengeluaran 10 lesen tambahan sebagaimana yang dicadangkan itu dalam tempoh tiga bulan.

Kelantan tingkatkan kesedaran masyarakat tentang IT

Muhammad Yusri Amin Wed May 21, 08 3:40:30 pm MYT
KOTA BHARU, 21 Mei (Hrkh) Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri akan bekerjasama Darul Digital Multimedia Solution Sdn Bhd (Darul Digital) bagi mempertingkatkan kesedaran masyarakat terhadap bidang teknologi maklumat (IT).
Darul Digital merupakan pusat latihan animasi pertama di negeri ini. Ia ditubuhkan pada 29 Januari 2007 bagi memberi kemahiran teknik penghasilan animasi dan perfileman.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi, Dr Mohd Fadzli Hassan berkata, bagi mencapai hasrat tersebut Urusetia Penerangan dan Darul Digital perlu bergerak bersama.
?Pelbagai program boleh dilaksanakan bagi tujuan itu termasuk juga semasa persidangan Dewan Undangan Negeri boleh disiarkan secara langsung melalui kemudahan teknologi yang sedia ada.
?Kita juga boleh menghasilkan VCD untuk diedarkan kepada orang ramai,? katanya ketika melawat Darul Digital di KB Bazar di sini, baru-baru ini.
Beliau juga berkata, golongan belia, pelajar sekolah dan graduan lepasan universiti yang berminat dalam bidang animasi boleh mendalami ilmu melalui program latihan yang disediakan.
?Mereka yang mempunyai bakat dan kebolehan dalam teknologi perkomputeran dan multimedia boleh mengasah bakat menghasilkan produk bermutu yang boleh menjadi sumber pendapatan mereka,? katanya.
Darul Digital mensasarkan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia dan institusi pengajian tinggi bagi menimba kemahiran di pusat latihan tersebut.
Antara kursus yang ditawarkan termasuk pengenalan animasi 2D dan 3D, asas perfileman, asas senilukis, penulisan cerita, rekaan kartun dan penyediaan jalan cerita.
Sementara itu, sempena musim cuti sekolah ini Darul Digital mengadakan hari terbuka yang memuatkan pelbagai aktiviti antaranya pertandingan melukis kartun, dialog animasi dan ceramah peluang-peluang kerjaya dalam bidang animasi membabitkan pengiklanan dan rekabentuk bangunan.
Kartunis tersohor dari luar negeri dijangka diundang pada program tersebut. - mj

MP Tumpat gesa mutu perkhidmatan kereta api diperingkatkan

Roy Rasul Wed May 21, 08 3:37:08 pm MYT
KUALA LUMPUR, 21 Mei (Hrkh) - Sesi soal jawab dalam Persidangan Dewan Rakyat hari ini dimulakan dengan soalan oleh Dato' Kamarudin Jaffar (PAS-Tumpat) kepada Menteri Pengangkutan berhubung rancangan terkini Kementerian untuk menaikkan taraf perkhidmatan kereta api ke negeri-negeri pantai timur Semenanjung Malaysia.
Dalam ucapan beliau terhadap soalan tambahannya, Kamarudin berkata, kereta api adalah pengangkutan yang amat penting dari dulu hingga sekarang dan ahli-ahli parlimen diberikan pas percuma untuk menaikinya.
Katanya, pada hari ini pengangkutan kereta api di seluruh dunia dianggap cukup penting tetapi pengakutan kereta api di Malaysia tarafnya menurun.
"Dari statistik yang saya ada menunjukkan penumpang bagi perkhidmatan Ekspres Rakyat pada tahun 1990 ialah 833,000 tapi pada tahun 2004 hanya 270,000 yang menggunakan perkhidmatan Ekspres Rakyat.
"Masa dari Tumpat ke Kuala Lumpur ialah di antara 13-14 jam sedangkan pada hari ini hanya memerlukan lima hingga enam jam.
"Ini membuktikan perkhidmatan keretapi amat rendah nilai dan mutunya, tol tinggi dan sebaginya amt menyusahkan rakyat," katanya.
Begitu juga katanya di Terengganu, walaupun wang royalti Petronas RM7 juta tetapi tidak ada satu pun stesen kereta api di sana.
Sehubungan itu katanya, bilakah perubahan besar-besaran akan berlaku dalam sistem pengangkutan Kereta api Tanah Melayu di negara ini.
Dalam pada itu, Timbalan Menteri Pengangkutan, Dato' Seri Panglima Lajim Ukin semasa menjawab soalan berkenaan berkata, perkhidmatan kereta api rugi disebabkan jalan raya cukup baik dan kerana itu penumpang tidak menggunakan kereta api lagi.
Katanya, kerugian perkhidmatan kereta api dari tahun 2001 ialah RM188 juta setahun, 2002 meningkat RM140 juta. Pada tahun 2003 RM131 juta dan 2004 turun RM87 juta. Tahun 2005 balik kepada RM131 juta dan tahun 2006 turun RM104 juta serta tahun 2007 RM116 juta.
Dengan itu katanya kementerian bercadang untuk memperbaiki perkhidmatan terutamanya untuk menggantikan coach-coach atau kereta api lama.
"Namun demikian permohonan untuk mendapat dana bagi membeli coach baru, kementerian belum menerima jawapan sama ada lulus atau tidak," katanya.
Sementara itu menjawab soalan asal, Lajim berkata, kementerian pengangkutan sedang melaksanakan projek bagi meningkatkan tafar kemudahan penumpang di dua buah stesen sedia ada iaitu di stesen Tanah Merah dan Kuala Krai.
Katanya, kementerian membina tiga buah stesen baru di Kelantan iaitu di Wakaf Bharu, Pasir Mas dan Gua Musang dan ia dijangka siap pada suku keempat 2008 ini. - mns

128 kanak-kanak masih hilang sejak Januari 2008 - Timbalan Menteri

Anis Nazri
Wed May 21, 08 3:36:25 pm MYT
KUALA LUMPUR, 21 Mei (Hrkh) - Sebanyak 128 daripada 242 kanak-kanak masih hilang sepanjang ia direkodkan sejak Januari hingga Mac 2008 lalu, dan hanya 114 kanak-kanak hilang ditemui semula.

Statistik itu dinyatakan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, kementerian terbabit diminta menyatakan punca sebenar kanak-kanak berumur 14 hingga 17 tahun kerap hilang, selain kajian terperinci mengenainya serta sejauh mana nasihat yang diberikan, memandangkan mereka yang berusia 14 hingga 17 tahun itu ialah pelajar.

Persoalan itu dibangkitkan Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang), di Dewan Rakyat, hari ini.

Menjawab soalan tersebut, Timbalan Menteri Noriah Kasnon berkata, program yang dilaksanakan antaranya pasukan pelindung peringkat daerah iaitu sebanyak 131 kumpulan, yang melibatkan golongan profesional dan pemimpin masyarakat, masuk ke sekolah-sekolah untuk menyampaikan kempen kesedaran di kalangan pelajar.

"Kita juga berharap ibu bapa bekerjasama supaya memantau perkembangan dan aktiviti anak-anak sendiri bagi mmastikan anak-anak tidak terpengaruh dengan anasir luar yang boleh menyebabkan kehilangan mereka," kata beliau.

Dalam soalan asal kepada kementerian terbabit, Nancy Shukri (BN-Batang Sadong) meminta kementerian menyatakan langkah-langkah yang diambil bagi membendung masalah kehilangan kanak-kanak yang semakin hari semakin berleluasa.

Menjawab soalan tersebut, Noriah berkata kementerian melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat melaksanakan pelbagai program untuk membanteras isu ini dengan kerjasama PDM, Jabatan Imigresen, dan NGO.

Azalina berbohong di Dewan Rakyat

Harakahdaily Wed May 21, 08 3:34:14 pm MYT
KUALA LUMPUR, 21 Mei (Hrkh) - Menteri Perlancongan, Dato' Seri Azalina Othman Said dinasihat supaya meneliti tuduhan yang hendak dibuat sebelum mengeluarkannya kepada umum.
Saranan dibuat Dato' Wan Abdul Rahim Wan Abdullah (Kota Bharu-PAS) yang kesal dengan dakwaan tidak berasas menteri berkenaan kononnya Kerajaan PAS Kelantan gagal membayar gaji kakitangan Majlis Tindakan Perlancongan negeri selama tiga bulan.
"Saya yang pernah berkhidmat sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan selama tiga penggal serta bersama-sama kepimpinan Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat selama 18 tahun tidak pernah gagal membayar gaji kepada kakitangan kerajaan negeri walaupun selama sebulan," katanya ketika ditemui selepas sidang Dewan Rakyat, semalam.
Tegas beliau, tuduhan Azalina itu bersifat tohmahan dan finah terhadap kerajaan Kelantan apatah lagi ia dijadikan alasan untuk membatalkan perjanjian persefahaman program pelancongan di negeri-negeri Kerajaan Pakatan Rakyat yang lain.
"Menteri tidak sewajarnya mengeluarkan kenyataan tersebut secara terbuka kerana ia boleh memberi kesan kepada semua pihak yang mendengar hal ini, seolah-olah ingin menggambarkan kerajaan negeri Kelantan telah menganiayai staf pelancongan.
"Saya sudah merujuk isu ini kepada lima orang individu yang berkaitan iaitu Exco Perlancongan negeri Kelantan, Dato' Takiyuddin Hasan; Exco Perlancongan negeri sebelumnya, Dato' Anuar Tan; Pengarah Pusat Penerangan Pelancongan, Haji Mohd Arif Mohd Nor; Pengerusi Persatuan Pelancongan Negeri Kelantan, Nik Azman Nik Ahmad dan Pengarah Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Kelantan, Haji Sulaiman," katanya.
Berdasarkan penjelasan kelima-lima individu ini jelasnya, kes ini telah berlaku enam tahun yang lalu iaitu pada tahun 2002.
"Mana mungkin Dato' Azalina boleh bangkitkan hal ini sedangkan beliau baru berkhidmat sebagai menteri Perlancongan selama dua bulan, kerana pada ketika itu menteri yang bertanggungjawab adalah Dato' Seri Abdul Kadir Syeikh Fadzir yang kemudian diambil alih oleh Dato' Tengku Adnan Tengku Mansor," ujarnya.
Azalina yang diminta penjelasan mengenai sumber maklumat yang diperolehi beserta maklumat yang lengkap mengenai isu tersebut pula menyatakan bahawa beliau hanya mendapat maklumat itu menerusi pegawainya tanpa meneliti kesahihan maklumat tersebut.
Beliau mengakui tidak pasti dengan maklumat tersebut dan akan memastikannya selepas ini.
Mengulas mengenai senario tersebut Wan Abd Rahim melahirkan kekecewaan dengan sikap yang ditunjukkan oleh menteri itu yang disifatkan sebagai tidak profesional kerana mengambil maklumat yang bersifat khabar angin untuk dijadikan hujah.
"Sudah tentu beliau tidak mendapat maklumat yang jelas mengenai hal tersebut dan tidak wajar beliau menyatakan hujah untuk menolak perjanjian persefahaman pelancongan di lima buah negeri Pakatan Rakyat dengan bersandarkan kepada faktor yang beliau sendiri pun tidak jelas puncanya," ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Siti Zailah Mohd Yusof (PAS - Rantau Panjang-) menyifatkan tuduhan yang dilemparkan Azalina itu sebagai melampau dan tidak berasas.
"Ini kerana Majlis Tindakan Perlancongan Negeri (MTPN) terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan dan bukan kerajaan negeri.
"Menteri yang berkenaan hendaklah meneliti terlebih dahulu hujah yang hendak dikemukakan sebelum menuduh pihak yang tidak bersalah dengan merujuk kepada sumber yang bersifat khabar angin, ini menunjukkan kelemahan pihak kerajaan," tegasnya.
Beliau juga mendapat maklumat bahawa Exco Kerajaan Negeri tidak dijemput dalam majlis perasmian Pameran Unggas anjuran kementerian yang diadakan di Kelantan.
"Kita dimaklumkan ia adalah program kerajaan persekutuan yang terkandung di dalam kalendar kerajaan tetapi kenapa tidak mahu menjalinkan kerjasama dengan kerajaan negeri?
"Siapa yang tidak mahu bekerjasama dan siapa yang mengamalkan diskriminasi?" tegasnya lagi.
Menceritakan situasi sebenar yang berlaku enam tahun lalu, Wan Abdul Rahim berkata pada 1 September 2002 Kerajaan Persekutuan bersetuju melantik exco perlancongan negeri Kelantan ketika itu sebagai Pengerusi MTPN.
Akan tetapi, ujarnya persetujuan itu gagal diteruskan apabila mendapat bantahan Umno Kelantan.
"Jadi mereka pun membuat lantikan sendiri tanpa menerima keputusan Kementerian Pelancongan ketika itu, dengan melantik pegawai tadbir negeri sebagai Pengarah MTPN, menyebabkan Kelantan menjadi satu-satunya negeri yang pengarah MTPN-nya di kalangan bukan Exco pelancongan negeri.
"Ini sekaligus menyebabkan peruntukan yang sepatutnya disalurkan kepada kerajaan negeri itu sebanyak RM2 juta tidak dapat dibayar kepada kakitangan MTPN daripada tahun 2002 sehingga kini kerana pengarah MTPN yang ada sekarang tidak boleh menggunakan peruntukan tersebut memandangkan beliau bukan exco kerajaan negeri," ujarnya.
Persoalan tentang pembayaran gaji pegawai MTPN dibangkitkan Azalina ketika menjawab soalan Fong Poh Kuan (DAP-Batu Gajah) yang memohon penjelasan mengenai alasan Kementerian Pelancongan membatalkan perjanjian persefahaman dengan negeri-negeri Pakatan Rakyat.
Azalina mendakwa pengalaman menjalinkan kerjasama dengan kerajaan negeri Kelantan sebelum ini yang pernah tidak membayar gaji pegawai MTPN menyukarkan kerjasama tersebut diteruskan dalam situasi sekarang bersama negeri-negeri yang dikuasai Pakatan rakyat yang lain.
beberapa ahli parlimen Pakatan Rakyat bangkit meminta penjelasan daripada Azalina namun beliau tidak mengendahkan permintan tersebut meskipun didesak Speaker Dewan, Dato' Wan Junaidi.
Kemudian Dato' Wan Abdul Rahim Wan Abdullah (Kota Bharu-PAS) bangkit membacakan peraturan mesyuarat 36(4) ke atas Azalina yang berniat mengemukakan tuduhan yang tidak berasas kepada kerajaan Kelantan.
Namun, Azalina gagal menjawab soalan berkenaan dengan hanya menyatakan beliau mendapat maklumat mengenainya daripada seorang pegawai.- tajdid

Monday, May 19, 2008

Kedah dizalimi bila tiada wakil di kabinet

Izwan Abdul Halim Tue May 20, 08 2:46:51 pm MYT
ALOR STAR, 20 Mei (Hrkh) - Pengerusi Dewan Perhimpunan Melayu Kedah, Tan Sri Khalid Abdullah menyifatkan ketiadaan wakil dari Negeri Kedah dalam Kabinet Persekutuan sebagai satu kezaliman.
Beliau berkata demikian dalam ucapan aluannya pada ceramah 'Kedudukan Orang Melayu Pasca Pilihan raya Ke-12' oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad anjuran Dewan Perhimpunan Melayu Kedah yang diadakan di Hotel Star City di sini kelmarin.
"Pada hemat saya yang telah telah berkecimpung dalam politik sejak Dato' Onn Jaafar hingga sekarang, belum ingat satu negeri yang begitu didiskriminasikan," katanya.
Jelas beliau, percantuman negeri-negeri yang membentuk persekutuan memberi tempat kepada setiap negeri untuk menyampaikan kehendak-kehendak rakyat.
"Tapi kali ini Negeri Kedah dizalimi. Tidak ada seorang pun dari Negeri Kedah di dalam kabinet. Ini satu kezaliman,"ujarnya penuh kesal.
Menurutnya, negeri-negeri lain yang Barisan Nasional kalah tetapi masih ada anggota kabinet daripada negeri tersebut.
"Jadi macam mana Kedah boleh tak dak langsung ni? Jadi bagi kita ini adalah satu kezaliman dan suka saya ingatkan Tuhan tidak suka orang yang melakukan kezaliman,"jelasnya.
Beliau turut menyatakan bahawa keadaan negara ini sekarang berada dalam keadaan yang rumit.
"Rumit dari segi ada satu pihak nak jadikan tanah Melayu ini tanah jajahan Singapura, satu pihak lagi nak jadikan tanah ini tanah jajahan Israel,"ujarnya melontarkan kebimbangan.
Jadi menurut beliau, perjumpaan seperti ini perlu diadakan selalu untuk menyatakan fikiran orang Kedah bukan dari sudut politik tapi dari sudut fahaman rakyat. - mks

Dr M Keluar parti, isyarat jelas perlu segerakan peralihan kuasa

Wan Nordin Wan Yaacob Tue May 20, 08 2:46:06 pm MYT
KUALA LUMPUR, 20 Mei (Hrkh) - Kemelut dalaman yang melanda Umno bertukar menjadi taufan akibat keputusan Tun Dr Mahathir Mohamad keluar parti yang akhirnya bakal menenggelamkan parti nasionalis itu dari paksinya di bumi Malaysia ini.
Pelbagai komen negatif dan positif dikemukakan pelbagai lapisan kepimpinan Umno, malah ada yang mahu mengikut jejak Mahathir itu untuk turut serta memberi isyarat jelas kepada kepimpinan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya segera melakukan perubahan.
Seperti kata Ketua Umno Bahagian Batu Pahat, Dr MOhd Puad Zarkashi dalam satu ulasannya berkata, keputusan Tun Dr Mahathir Mohamad keluar daripada Umno memberikan isyarat yang jelas bahawa pelan peralihan kuasa perlu dilaksanakan segera.
Peralihan kuasa itu perlu bagi meredakan keadaan dan memastikan Umno terus mendaoat sokongan, kata Dr Puad dalam satu komentarnya yang tersiar dalam sebuah laman web hari ini.
Sambil melahirkan penghormatan ke atas keputusan itu, Dr Puad yang juga ahli Parlimen Batu Pahat berkata, cadangan peralihan kuasa yang dicadangkan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi itu sediri perlu dilaksanakan segera.
Namun bagi Dr Puad, beliau tidak akan meninggalkan Umno seperti yang dilakukan Mahathir, kerana percaya masih ada jalan untuk memperbaiki Umno secara dalaman.
Namun baginya, peralihan kuasa perlu segera dilaksanakan bagi mengelakkan Umno porak peranda.
Berdasarkan perkembangan sudah ada ahli-ahli di peringkat akar umbi yang menghubunginya mahu mengikuti jejak langkah Dr Mahathir meninggalkan parti, kata Dr Puad.
Ekoran keputusan yang dibuat oleh bekas Presiden Umno beliau memaklumkan menerima banyak panggilan telefon dan mesej melalui sistem pesanan ringkas (SMS) yang melahirkan hasrat untuk mengambil langkah yang sama sebagai tanda protes kepada kepimpinan parti.

Adun PAS ditingkatkan peranan bantu MB dan Exco

Adnan Ibrahim Tue May 20, 08 2:45:07 pm MYT
SHAH ALAM, 20 Mei (Hrkh) - Kerajaan Selangor telah membuat satu perubahan meningkatkan peranan dan amanah semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS menjadi pembantu kepada Menteri Besar serta Exco.
Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato' Dr Hasan Mohd Ali memberitahu perubahan tersebut merupakan perkara besar yang dilakukan kerajaan Selangor selama 66 hari memerintah.
"Tidak berlaku kepada kerajaan lepas (BN)...kerajaan lepas hanya buat pilihan-pilihan (Adun) sahaja. Yang ini semuanya, sama ada ia berkhidmat dengan exco PAS atau ia berkhidmat terus dengan Menteri Besar.
Maknanya mereka terlibat langsung dalam kerajaan. Mereka boleh mempengerusikan mesyuarat. Mereka boleh pergi ke jabatan. Boleh pergi ke jabatan JKR, atau kemana-mana pun," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan peserta di Ijtimak PAS Selangor Kali Ke-18, di Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor, di sini, semalam.
Dalam majlis tersebut ada peserta membangkitkan sejauh mana parti berperanan dalam kerajaan Selangor bagi meningkatkan serta memperkasakan parti tersebut.
Beliau juga memberitahu dalam masa dua minggu ini, soal pemilihan ahli majlis kerajaan tempatan sama ada di peringkat Majlis Bandaraya Shah Alam, Petaling Jaya ataupun Majlis Perbandaran dan juga Majlis Daerah.
"Yang ini seluruh parti dan yang mengkordinasikan ialah Setiausaha Perhubungan Selangor. Cadangan dibuat melalui perhubungan negeri. Paling tidak lima mesyuarat telah dibuat terus dengan kordinatornya Exco Majlis Tempatan, Ronnie Liu.
"Ini diselia Ronnie dan kita dalam PAS telah minta ini dibuat melalui saluran parti. Dan daripada maklum balas yang diberikan nampaknya adil dari segi jumlahnya serta kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
"Ada kouta... NGO ada kouta, PAS, DAP, PKR ada kouta tetapi koutanya kepada PAS bilangannya tidak mengecewakan kita. Macam juga exco dalam keadaan kita ada lapan kerusi kita dapat tiga kerusi exco. Bagi saya ini lebih daripada adil," katanya.
Menyentuh mengenai masjid, beliau berkata perubahan jawatankuasa masjid di bawah kuasa Sultan dan Sultan meminta satu daerah satu masjid dahulu dibuat perubahan.
"Bagaimanapun kita mahu buat perubahan perlantikan baru yang lebih menyeluruh. Masalah kita juga ada tujuh masjid yang digantung termasuklah masjid Mujahidin, Masjid Kelana Jaya... yang ini kita beri perhatian supaya kita dapat ubah.
"Terdapat juga masjid tidak digantung tetapi bermasalah kerana dipegang oleh orang kuat Umno menyekat mengimarahkan masjid seperti di Masjid al-Amaniah di Batu Caves yang dipegang 100 peratus orang Umno. Ini perlu diberi perhatian," ujarnya. - mns

Pemimpin perlu sedia maafkan rakyat

Saidah Hairan Foto Wan Zahari Wan Salleh Mon May 19, 08 3:37:20 pm MYT
SHAH ALAM, 19 Mei (Hrkh) - Kemenangan Pakatan Rakyat sehingga mampu memerintah Selangor secara tidak langsung memberi peluang kepada ahli dan pimpinan PAS mengadakan Ijtimak ke-18 di dewan berhawa dingin berbanding ijtimak sebelum ini.
Sedangkan sebelum ini, ahli dan pimpinan PAS terpaksa akur mengadakan Ijtimak di markaz-markaz atau bangunan PAS seperti Kompas di Tanjong Karang yang diibaratkan seperti `avon'.
Bagaimanapun, suasana sambutan Ijtimak kali ini berbeza kerana berada di dewan yang dingin dan ternyata peserta kelihatan lebih selesa dan aman.
Lebih 1700 ahli PAS hadir di ijtimak tersebut yang julung kali diadakan di Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor,Shah Alam.
Program yang dimulakan dengan nyanyian NegaraKu dan Lagu rasmi PAS telah dirasmikan oleh Presiden, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Dalam ucapan perasmian itu, beliau mengingatkan ahli dan pimpinan PAS bahawa mengekalkan kemenangan merupakan satu cabaran yang paling kuat jika dibandingkan mencari kemenangan.
Beliau mengingatkan pimpinan PAS terutama di kalangan ahli Parlimen dan Adun supaya mengamalkan sikap keterbukaan bukan saja kepada ahli PAS bahkan rakyat Selangor tanpa mengira kaum dan agama.
"Kita mesti bersikap terbuka dalam ketegasan. Tidak boleh menghalalkan perkara yang haram dan mengharamkan perkara yang halal," katanya.
Menurut beliau, sebelum pimpinan PAS menguatkuasa peraturan Islam terhadap orang lain, ia terlebih dahulu perlu diamalkan dalam diri setiap pimpinan.
Tuan Guru Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang dan Adun Rhu Redang berkata, PAS memerlukan kepimpinan yang berwibawa dan perlu mencontohi segala sikap atau akhlak yang diamalkan Rasulullah saw.
"Pemimpin mesti sedia dikritik dan jangan berkuasa dalam semua perkara. Kalau ada rakyat yang salah maafkan mereka dan bawa pada perbincangan," tegasnya.
Program itu juga diadakan pembentangan kertas kerja `Strategi dan Gerak Kerja Utama Mengisi dan Melanjutkan Kemenangan' oleh Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa dan diulas AJK PAS Pusat, Mohamed Hanipa Maidin.
Turut terbabit dengan program itu ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof; Timbalan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Dr Mohd Azhar Yaakob serta moderatornya Pengarah JPN Selangor, Mohamad Radzi Yusof.
Ahli Parlimen Shah Alam yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Khalid Abd Samad turut membentangkan resolusi. Ucapan penutup disempurnakan Naib Presiden PAS, Ustaz Ahmad Awang.

Lim Guan Eng tekad guna pendekatan Umar Abdul Aziz

Wan Nasro Ahmad Mon May 19, 08 3:35:34 pm MYT
BAYAN LEPAS, 19 Mei (Hrkh) ? Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sekali lagi menyatakan kesediaan menggunakan pendekatan sebagaimana diamalkan Khalifah Umar Abdul Aziz dalam pentadbirannya.
"Bagaimanapun saya tidak mahu pemerintahan saya berakhir seperti Khalifah Umar yang hanya sempat memerintah tiga tahun kerana dibunuh musuh yang tamakkan kuasa dan projek," katanya pada perasmian pusat khidmat rakyat KeADILan Parlimen Bayan Baru di sini, kelmarin.
Perasmian pusat khidmat itu disempunakan Presiden KeADILan, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Guan Eng berkata, kerajaan negeri mengamalkan konsep CAT government iaitu (contingency - berpasukan, accountanbility - bertanggungjawab dan transparency - telus dan adil).
Menurutnya tiada diskriminasi dalam menguruskan permasalahan rakyat di mana kerajaan Pulau Pinang akan mencari dana sebanyak mungkin untuk diagihkan bagi menyediakan kemudahan rakyat.
Beliau juga berkata, walaupun kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang masih baru namun telah berjaya menarik pelaburan asing berjumlah RM1 bilion.
?Ini menunjukkan keyakinan pelabur asing terhadap kerajaan baru di bawah Pakatan Rakyat,? ujarnya.
Beliau juga memberitahu kerajaan negeri akan memperkemaskan jentera bagi menarik lebih ramai pelancong asing datang melawat Pulau Pinang.
Sementara itu, Dr Wan Azizah berkata, setiap wakil rakyat terutamanya daripada KeADILan perlu bekerja berorientasikan kehendak rakyat dengan mendengar, melihat dan meninjau keadaan mereka.
Kata beliau adalah diharapkan tidak ada wakil KeADILan di Pulau Pinang yang bersikap seperti diamalkan kerajaan Barisan Nasional sebelum ini yang hanya mementingkan diri sendiri, kroni dan tidak amanah.
Oleh itu beliau berkata, rakyat yang mempunyai maklumat mengenai perlakuan tidak wajar wakil rakyat KeADILan disaran melapor segera kepada Majlis Pimpinan Tertinggi untuk diambil tindakan.
Dr Wan Azizah yang juga anggota parlimen Permatang Pauh menjelaskan pembelian kapal selam Malaysia jauh lebih mahal berbanding dengan dibeli kerajaan India kerana wujud pembayaran komisen kepada pihak ketiga.
Anggota Parlimen Bayan Baru, Datuk Zahrain Mohamed Hashim berkata, Bayan Baru merupakan kubu kuat KeADILan di Pulau Pinang memandangkan memenangi kesemua kerusi di kawasan itu pada pilihan raya umum lalu iaitu Dun Batu Maung, Batu Uban dan Pantai Jerjak.
Beliau juga berharap kerajaan baru Pulau Pinang mentadbir negeri ini dengan cemerlang sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Hadir sama pada majlis itu anggota Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff dan Adun Permatang Pasir, Mohd Hamdan Abdul Rahman. - mj

Dr Mahathir umum keluar Umno

Harakahdaily Mon May 19, 08 3:35:00 pm MYT
ALOR SETAR, 19 Mei (Hrkh) ? Berita terbaru benar-benar mengejutkan apabila mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan keluar dari Umno dan hanya bersedia kembali ke pangkuan parti itu selepas Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meletak jawatan.
Ini seakan-akan membayangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) bakal tumbang dalam masa terdekat ini selepas kehilangan kuasa majoriti pada pilihan raya umum 8 Mac lalu.
Perletakan jawatannya berkuatkuasa serta merta. Bukan sekadar meletak jawatan sebaliknya beliau menyaran ahli-ahli Umno supaya turut berbuat demikian.
Dr Mahathir memberitahu beliau bertindak keluar Umno kerana tidak yakin dengan kepemimpinan Abdullah.
?Saya akan hanya kembali semula ke parti tersebut apabila pucuk pimpinan ditukar,? katanya sebagaimana dipetik Malaysiakini.com.
Beliau mengumumkan perkara itu ketika berucap dalam satu forum di Alor Setar pagi tadi.
Dr Mahathir juga menggesa kesemua menteri Umno, timbalan menteri dan semua peringkat pemimpin, supaya bersama dengannya keluar dari parti.
Beliau bertindak keluar parti yang diterajuinya selama 22 tahun, seakan-akan menurut jejak langkah dibuat Perdana Menteri pertama selepas merdeka, Tuanku Abdul Rahman.
Tuanku Abdul Rahman menyertai Semangat 46 selepas Umno diharamkan ekoran kekalutan pada pemilihan merebut jawatan presiden 1987.
Bagaimanapun, Dr Mahathir meminta mereka (pemimpin Umno) supaya jangan menyertai parti-parti yang lain.
"Tunggulah hingga Abdullah letak jawatan sebagai perdana menteri dan presiden parti, dan kita boleh kembali semula kepada Umno," katanya.
Dr Mahathir merupakan perdana menteri Malaysia keempat dan memegang jawatan tersebut selama 22 sejak 1981. - mj

Wednesday, May 14, 2008

Mufti Perak, Dr Haron Din antara panel forum anjuran Jais malam esok

Roy Rasul Thu May 15, 08 2:40:07 am MYT
KUALA LUMPUR, 15 Mei (Hrkh) - Kerajaan negeri Selangor dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menganjurkan Forum Perdana Islam bertajuk 'Menjana Islam Syumul di Kalangan Ummah' pada 16 Mei ini.
Progam tersebut bertempat di Stadium Kuala Selangor akan menampil ahli panel terkenal, Mufti Perak, Dato' Seri Harussani Zakaria, Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Harun Din dan Dato' Ismail Kamus.
Manakala Moderatornya pula oleh, Dato' Dr Hassan Ali.
Majlis tersebut akan dimulakan dengan solat Isya dan Hajat berjamah.
Dalam pada itu, penganjur berkata, program Nur Iman itu berobjektifkan dakwah sebagai kunci penyebaran dan kefahaman Islam di dalam masyarakat majmuk.
Justeru Jais meneruskan inisiatif untuk menghidupkan semula era kegemilangan Forum Perdana Ehwal Islam yang berjaya dilaksanakan pada awal tahun 1990an.
Katanya, forum terbuka yang menjadi faktor pembuka minda dan pencambahan budaya ilmu di dalam masyarakat Malaysia yang dilaksanakan semula di Shah Alam dan Kelang baru-baru ini mendapat sambuatan luar biasa masyarakat.
"Siri Ke-3 forum ini bertempat di Daerah Kuala Selangor akan dilaksanakan pada minggu ini Jumaat 16 Mei 2008 bertempat di Stadium Kuala Selangor," katanya.
"Kehadiran seluruh masyarakat dari pelbagai latar belakang dan bangsa amat dialukan. Hadirin dingatkan datang dalam keadaan berwudhuk dan membawa sejadah.
"Semoga initiatif mulia mengimarahkan budaya ilmu di hati sanubari rakyat Selangor ini mencapai keredhaan-Nya," kata penganjur. - mr

Parlimen tolak usul pendudukan haram Israel di Palestin

Salmiyah Harun Thu May 15, 08 2:37:29 pm MYT
KUALA LUMPUR, 15 Mei (Hrkh)- Usul Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (PAS-Marang) bagi membincangkan berkaitan bantahan sambutan ulang tahun ke 60 pendudukan haram Israel di bumi Palestine ditolak oleh Dewan Rakyat.
Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandee menolak usul tersebut di bawah peraturan mesyuarat yang mana usul itu tidak perlu disegerakan.
Ustaz Hadi membacakan teks usulnya itu, antara lain menyebut 14 hb Mei 2008 ini adalah genap 60 tahun Hari Naqba yang merupakan sejarah pencerobohan Israel ke atas tanah air Palestin.
Katanya, semenjak 60 tahun yang lalu bermula sejarah kezaliman yang berpanjangan di mana pembersihan etnik pada tahun 1948 itu oleh tentera Zionis yang mengakibatkan 750,000 rakyat Palestin dihalau keluar (tiga per empat populasi Palestin) dari kampung halaman dan rumah mereka.
Menurutnya, kini rakyat Palestine menjadi pelarian di negara-negara jiran mempunyai bilangan seramai 4.5 juta orang.
"Keadaan kehidupan mereka adalah di luar perikemanusiaan seperti kemiskinan tegar, penafian keperluan asas tanpa makanan mencukupi, tempat bertuduh, pekerjaan, pendidikan dan rawatan kesihatan,"katanya.
Tegas beliau, nasib mereka tidak diendahkan oleh kononnya komuniti antarabangsa yang didominasi oleh AS.
Tambahan pula, katanya, polisi pembersihan etnik itu masih diteruskan, Israel secara ganas seperti menceroboh di Tebing Barat dan Jurusalem Timur sejak peperangan 1967 dan kini 400,000 orang rakyat Yahudi telah menduduki tanah Palestin.
"Setiap hari rakyat Palestin dibunuh termasuk kanak-kanak, rumah mereka dihancurkan dan rakyat Palestin dihalang dari bergerak secara bebas dan mereka terus dihina," kata beliau.
Presiden PAS itu juga berkata, kini Israel pula menguatkuasakan sekatan ekonomi kemudian pada musim panans 2006 telah melancarkan serangan bom di Gaza yang memusnahkan jambatan, kemudahan awam, bekalan air bersih dan tenaga elektrik menyebabkan ratusan rakyat awam telah terbunuh.Jelas beliau, kesan sekatan itu telah meningkatkan kadar pengangguran dan kebuluran rakyat Palestin.
" Gaza sedang dihimpit sehingga ekonominya lumpuh. Ini diperakui sendiri oleh Hardad Zarvos dari Bank Dunia.
"Sendi ekonomi Gaza telah musnah dan dengan sekatan yang berterusan akan mengakibatkan keruntuhan ekonomi Gaza tidak boleh dipulih kembali," katanya.
Beliau merayu agar Dewan Rakyat menerima usul khas itu sejajar dengan bantahan Malaysia terhadap apa yang sedang berlaku di Palestin.
"Kami berpendapat usul khas itu akan memberi mesej yang penting kepada Israel dan AS serta seluruh kuasa Barat dan dunia amnya bahawa ahli parlimen Malaysia sangat tegas menentang kezaliman Israel ke atas rakyat Palestin,".
" Kami percaya usul ini dapat memberi mesej yang kuat kepada ahli Parlimen BN dan rakyat Malaysia bahawa pendirian Pakatan Rakyat dalam hal ini adalah jelas,"tegas beliau.
Justeru, beliau turut memberitahu pada 12 Mac 2008 yang lalu Parlimen Australia telah meluluskan usul merayakan kelahiran Israel yang disokong pula oleh ahli pembangkang.
"Ahli Parlimen Malaysia seharusnya mengutuk usul itu dan mengusulkan supaya Malaysia menyatakan bantahan kepada kerajaan Australia," katanya

Monday, May 12, 2008

PAS masih perlukan Ibrahim Ali untuk tentang Umno walaupun dianggap liabiliti1

3-05-2008 02:10:18 PM
KOTA BAHARU: Pas dilihat masih memerlukan pengaruh politik Ahli Parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali untuk dijadikan senjata bagi menentang Umno.
Walaupun Ibrahim, yang dipecat dari UMNO, bertanding atas tiket Bebas, tetapi menggunakan logo Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac lalu.
Malah, dalam kempen pilihan raya itu, Ibrahim tampil memberi ceramah umum dengan membawa pelbagai dakwaan dan salah laku pemimpin Umno.
Kekuatan Ibrahim sebagai bekas Ketua Umno Bahagian Pasir Mas menjadikan beliau satu tenaga yang tidak boleh dipandang sepi untuk mempengaruhi rakyat Kelantan dalam mencari kelemahan Umno dan Barisan Nasional (BN).
Ini diakui sendiri oleh Menteri Besar Kelantan, juga Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Beliau mengesani peranan Ibrahim dalam meyakinkan rakyat Kelantan pada pilihan raya umum lalu.
"Ini kerana saya cuba mengembangkan Islam secara Syumul. Allah bagi beliau (Ibrahim) lidah yang boleh digunakan untuk menyuarakan matlamat dan dasar Islam dan menghalang perkara mungkar.
"Jadi kenapa tidak saya gunakan beliau untuk menghalang benda-benda mungkar," katanya ketika ditemui.
Abdul Aziz menganggap Ibrahim seorang ahli politik yang berilmu dan berpengalaman memandangkan penyertaannya dalam beberapa parti sebelum ini.
Kini sejak kelantangan Ibrahim timbul di Parlimen berhubung pelbagai isu termasuk mengenai Pas, wujud rasa tidak puas hati di kalangan penyokong Pas.
Malahan ada pihak yang mendesak agar kepimpinan Pas menolak Ibrahim. Seorang penyokong parti itu yang hanya mahu dikenali sebagai Rosli, 43, berkata,
"Kalau macam ini boleh menjadi buruk imej Pas. Semua nak dikritiknya termasuk tindakan mengkritik Pengerusi DAP, Karpal Singh, dan DAP juga, parti bersama-sama berjuang dengan Pas selama ini".
Ibrahim menunjukkan belang pada hari pertama sidang Dewan Rakyat apabila bertekak dengan pembangkang dan kerajaan.
Episod itu bermula apabila Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) meminta penjelasan daripada Yang Dipertua dewan, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berhubung kedudukan Ibrahim yang bertanding atas tiket Pas pada pilihan raya umum lalu, sama ada beliau Ahli Parlimen Pas atau Bebas.
Berang dengan tindakan Karpal itu, Ibrahim yang sebelum itu disindir oleh Karpal sebagai 'katak', bangun mempersoalkan tindakan Karpal yang tidak bangkit berdiri ketika mencelah pada sesi soal jawab.
Kenyataan Ibrahim itu dianggap sebagai penghinaan terhadap Pengerusi DAP yang lumpuh itu akibat kemalangan jalan raya pada 2005.
Ibrahim mengakui beliau tidak mampu bertahan lama sebagai anggota Parlimen Bebas dan terpaksa juga bernaung di bawah sebuah parti untuk melaksanakan tugasnya dengan baik.
"Saya sebenarnya serik untuk terus terima masuk manamana parti kerana saya akui saya ini amat lantang apabila menyuarakan sesuatu dan agak terkedepan berbanding dengan pihak lain.
"Amalan negara ini iaitu jika masuk parti maka kita kena sokong, dan undi setiap usul parti itu walaupun kita tidak bersetuju. Perkara ini memang bertentangan dengan jiwa saya," katanya.
Oleh itu, kata Ibrahim, beliau kini sedang meneliti beberapa parti yang dirasakan "serasi" dengan pendirian dan pemikirannya namun tidak mahu gopoh dalam membuat pilihan. BERNAMA

Zailah gesa kerajaan pergiat usaha latih pembantu rumah tempatan

Salmiyah Harun Tue May 13, 08 2:06:46 pm MYT
KUALA LUMPUR, 13 Mei (Hrkh) - Timbalan Yang DiPertua Dewan Rakyat Dato' Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar member laluan mudah kepada ahli parlimen wanita pembangkang untuk mengajukan soalan tambahan kepada Menteri Sumber Manusia Dato' Dr S Subramaniam berhubung isu pembantu warga asing.
"Untuk soalan tambahan ini eloklah saya beri kepada kaum wanita," kata Speaker yang turut menujukan kepada dua wakil wanita yang bangkit iaitu Dr Lo'Lo' Ghazali (PAS-Titiwangsa) dan Siti Zailah Yusof (PAS-Rantau Panjang).
Ketika diberi ruang menanyakan soalan tambahan Siti Zailah sempat mencelah bahawa beliau hampir 40 kali bangun untuk menanyakan soalan tambahan tetapi tidak diberi peluang.
"Terima kasih Tuan Speaker, hampir 40 kali saya bangun inilah kali pertama saya dapat menanyakan soalan," celahnya.
Celahan Zailah itu, dijawab oleh Speaker dan memberitahu perkara itu adalah menjadi kebiasaan dan hendaklah bersabar.
Dalam soalan tambahan, Zailah meminta kerajaan mempergiatkan usaha untuk menggalakkan rakyat negara ini mengambil pembantu rumah di kalangan warga tempatan.
Beliau juga berkata, kerajaan tidak seharusnya memikirkan soal kewangan semata-mata tetapi perlu juga menitiberatkan soal akhlak dan moral anak-anak bangsa pada masa hadapan.
"Jadi apakah penyelesaian jangka panjang pihak kerajaan supaya menggalakkan pembantu rumah warga tempatan diberi peluang dan jangan kita hanya fikirkan soal kewangan tetapi ini penting untuk masa depan anak-anak kita," katanya dalam sesi soal jawab pagi ini.
Zailah turut melahirkan kebimbangan terutama soal pengaliran wang negara ke negara asing jika kerajaan terus menggalakkan pengambilan pembantu warga asing ke negara ini.
Dalam soalan asal, Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan adakah kerajaan menyediakan program-program khusus untuk melatih warga tempatan menjadi pembantu rumah bagi mengurangkan kadar pergantungan kepada pembantu rumah asing di negara ini. - mns

Haji Hadi kemuka soalan sebanyak mana subsidi diberikan untuk pertanian

Nyza Ayob Tue May 13, 08 1:46:52 pm MYT
KUALA LUMPUR, 13 Mei (Hrkh) - Dato' Seri Abdul Hadi Awang (PAS-Marang) dalam soalan tambahannya di Dewan Rakyat hari ini mengemukakan soalan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas tani sama ada kerajaan merancang untuk memberi subsidi pertanian sehingga 90 peratus bagi menghadapi kegawatan makanan yang berlaku di dunia hari ini.
Katanya, di negara-negara maju seperti Jepun, kerajaan Jepun sanggup memberikan subsidi pertanian sehingga 90 peratus untuk bekalan negara dan masih dapat menampung keperluan bagi sektor lain.
Tambahnya pada tahun 1990 beliau pernah mencadangkan kepada Kementerian Pertanian pada waktu itu bagi membuat perancangan ke arah pertanian yang cukup bagi negara, dan jawapan yang diterima menteri berkenaan pada waktu itu ialah import lebih menguntungkan.
Menjawab soalan tersebut, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato' Mustapha Mohamed menyatakan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi telah memperuntukkan RM4 billion untuk mengatasi masalah bekalan makanan yang berlaku dalam negara.
Katanya, daripada jumlah tersebut, RM2.5 billion telah diumumkan agihannya. Daripada jumlah tersebut RM800.3 juta digunakan untuk sektor penanaman padi.
Jelasnya, pada tahun ini kementerian akan membelanjakan RM923 juta untuk subsidi penanaman padi. Katanya, jika dilihat pada jumlah subsidi tersebut, setiap petani yang menanam padi akan mandapat subsidi RM9000 seorang.
Katanya, Malaysia mempunyai 140,000 petani dan bantuan yang diberikan kira-kira RM1.7 billion. Bagi setiap petani yang menanam padi mereka layak mendapat bantuan yang diberikan RM2500 juta untuk subsidi padi, baja, membajak dan racun.
Terdahulu soalan asal dikemukakan oleh Dato' Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) yang meminta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani menyatakan bila kerajaan akan dapat memberikan peruntukan yang secukupnya untuk melaksanakan projek naik taraf pengairan di beberapa tempat di Perak. - mns -->

Perjelas kuasa Raja, apa beza Ghani dengan Karpal?

Azamin Amin Tue May 13, 08 1:44:54 pm MYT
KUALA LUMPUR, 13 Mei (Hrkh) - Kemelut perlantikan Menteri Besar Terengganu yang berpanjangan sehingga mengundang rasa tidak senang beberapa puak dalam Umno menyaksikan Peguam Negara Tan Sri Ghani Patail 'terpaksa' campur tangan sehingga mengeluarkan kenyataan menjelaskan kuasa DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Walaupun Umno dan BN menguasai Terengganu dan Malaysia namun krisis antara istana menyebabkan perlantikan itu tergendala hampir sebulan dan Ghani menjelaskan bahawa Agong tidak boleh mencampuri urusan pelantikan Menteri Besar.
Tindakan Ghani yang dilihat secara terbuka membuat pengumuman kepada rakyat bagi membolehkan kemelut perlantikan itu diselesaikan segera dilihat sebagai 'mendedahkan' kuasa Agong kepada rakyat.
Ramai yang berpendapat bahawa Ghani sewajarnya mengadap dan menasihati Tuanku Sultan Mizan secara lebih harmoni bagi menjelaskan peranan dan kuasa Yang di-Pertuan Agong tanpa 'menyeret' rakyat kepada polemik yang sama.
Dengan cara itu, ia dilihat lebih beradab tanpa ada sebarang prejudis daripada pihak tertentu khususnya rakyat terhadap bidang kuasa Agong.
Begitu juga dengan sikap Pengerusi DAP Karpal Singh yang secara terbuka menjelaskan peruntukan undang-undang bagi kuasa Sultan Perak melantik penjawat awam dan sewajarnya beliau mengadap dan menyuarakan pendapatnya itu secara bersemuka dengan Raja-raja Melayu dan bukannya menghebahkan kepada umum.
Ghani dan Karpal, kedua-duanya pakar dalam bidang perundangan dan bercakap soal peruntukan undang-undang yang sedia ada dan rakyat juga sedar mereka mengeluarkan kenyataan dalam bidang yang mereka fahami.
Sungguhpun begitu, mereka mendedahkan isu perundangan dan kuasa Raja di khalayak umum dan walaupun daripada kemahiran dan hak yang sama, kedua-duanya menghadapi situasi yang berbeza.
Karpal telah siasat di bawah Akta Hasutan, bagaimana pula dengan Ghani yang turut melakukan tindakan yang sama?
Berikut adalah antara kenyataan rasmi Ghani berhubung kuasa Sultan Mizan dalam isu perlamtikan menteri besar yang dikeluarkan pada jam 11.45 malam 18 Mac 2008 yang antara lainnya menyatakan kepada umum bahawa Agong tidak boleh mempunyai calon sendiri bagi jawatan Menteri Besar.
"Baginda menyedari hakikat bahawa urusan pelantikan Menteri Besar terletak sepenuhnya pada Pemangku Raja dan Majlis Penasihat Pemangku Raja, dan baginda tidak mempunyai apa-apa peranan di bawah undang-undang dalam pelantikan tersebut," demikian kenyataan Ghani.
"Menurut perkara 34(1) Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tidak boleh menjalankan fungsi Baginda sebagai Raja Negeri Terengganu kecuali fungsi sebagai Ketua Agama Islam," katanya. - mns

Sunday, May 11, 2008

Setelah 62 tahun, RTM izinkan penyampai berita bertudung

Azamin Amin Mon May 12, 08 12:02:57 pm
KUALA LUMPUR, 12 Mei (Hrkh) - Tahniah! Itulah kalimah yang wajar ditujukan kepada Radio Televisyen Malaysia (RTM) kerana 'terpaksa' mengambil masa 62 tahun untuk memberi kebenaran kepada penyampai berita untuk tampil bertudung.
Ramai yang berpendapat, RTM selama ini telah menafikan secara tidak langsung kebebasan dan hak seseorang mengamalkan ajaran agamanya khususnya bagi penyampai berita wanita yang beragama Islam.
Dalam satu artikel di akhbar tempatan Hamidah Hamzah yang sering kali tampil sebagai pembaca berita Dunia Hari ini jam 11 malam dan Warta 1.30 pagi menyatakan kegembiraannya setelah sekian lama 'berjuang' untuk melaksanakan tuntutan agama dan impiannya selama tiga tahun lalu akhirnya tercapai.
"Sebaik mesyuarat pasca Kabinet Kementerian Penerangan memberi kelulusan penyampai berita di RTM kini boleh bertudung, sayalah individu paling gembira.
"Selepas sekian lama perkara ini disuarakan, baru sekarang ianya dibenarkan dilaksanakan," katanya yang merupakan penyampai wanita bertudung pertama dalam RTM.
Namun katanya dalam wawancara itu, beliau mestilah tampil gaya tudung yang sesuai seperti yang digayakan dan ira-kira 20 gambar gaya ikat tudung pelbagai cara telah dihantar untuk dinilai dalam mesyuarat tersebut.
"Ini kerana mengikut antara syarat yang ditetapkan, cirinya mestilah beridentitikan tudung RTM," katanya.
Sementara itu bekas penyampai beriuta RTM, Wan Chik Hashim atau lebih dikenali sebagai Wan Chik Daud berkata tindakan RTM harus dilakukan sejak dulu lagi.
Beliau mencerita permintaannya untuk tampil bertudung telah disuarakan semenjak tahun 1984 selepas pulang menunaikan haji, namun tidak dibenarkan sama sekali.
Katanya disebabkan keengganannya menyampaikan berita tanpa bertudung, beliau diarah bertukar ke bahagian radio.
Ramai pembaca artikel berkenaan merasa kesal kerana RTM sebagai media rasmi Kerajaan yang sering melaungkan dan menyiarkan isu-isu berkaitan Islam,kebebasan dan hak individu serta senantiasa mempromosikan Islam Hadhari tidak mengizinkan penyampai berita melaksanakan syariat Islam malah dikenakan pula syarat yang ketat untuk dipenuhi.
Bagi hash117 yang menghantar pandangan terhadap artikel tersebut di Tranungkite amat terkejut dengan sikap RTM selama ini.
"Saya amat terkejut bila membaca satu artikel di akhbar di Malaysia hari ini. Mengucap panjang entah nak percaya atau tidak artikel ni..
"Sekian lama Malaysia dikenali dengan Negara Islam dan perkhidmatan RTM selama 62 tahun tetapi... Saya berkata begitu atas kenyataan dua orang pembaca berita Wanita yang RTM tidak membenarkan mereka memakai tudung.
"Malah kelulusan sekarang ini pun menpunyai syarat syarat yang ketat. Tudung mesti berciri RTM, 'colour' tudung mesti .....Hancur hancur ..."
RTM juga pernah mengutuk kerajaan Turki dangan Britain dalam isu kerajaan tersebut yang enggan membenarkan wanita Islam memakai Tudung atau Purdah namun RTM jugalah yang membuat larangan seumpama itu, katanya.

Saturday, May 10, 2008

MIUP di Pulau Pinang lumpuh,13 bahagian sertai KeADILan

Mohd Sabri Said Sun May 11, 08 10:55:32 am MYT
PERMATANG PAUH, 11 Mei (Hrkh) - Pengasas Malaysian Indian United Party (MIUP) yang juga teman rapat Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Nalakurapan mendapat tamparan hebat semalam apabila 13 bahagian seluruh Pulau Pinang mengambil keputusan membubarkan parti itu serentak untuk menyertai KeADILan.
Seramai 2000 orang ahli MIUP bertindak nekad meninggalkan parti itu kerana tidak sanggup lagi melihat 'wayang kulit' Dato' Nalakurapan yang hanya pandai melakar janji sewaktu pilihanraya tetapi hilang haluan bila Barisan Nasional (BN) kalah teruk.
Menurut Pengerusi MIUP Pulau Pinang, L. Balasubramaniyam ketika ditemui menyifatkan, helah Nalakurapan akhirnya terbongkar apabila cuba mempergunakan kaum India untuk meningkatkan kepercayaan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi mendapatkan kedudukan serta mengidam projek peribadi.
Penubuhan MIUP juga katanya, bermatlamat menunjukkan kuasa kepada Dato' Seri Anwar bahawa ramai kaum India menolak kepimpinan KeADILan yang didakwa bercakap tidak serupa bikin.
"Kini baru kami sedar lakunan Dato' Nalakurapan. Dia sanggup menikam kawan dari belakang demi mendapatkan jawatan selepas pilihanraya. Dia kata Anwar seorang yang kuat penipu tapi dia yang sebenarnya berkelakuan begitu, " tegasnya dalam program meraikan kemasukan ahli MIUP di Dewan Orang ramai di Tapak Ekspo Seberang Jaya.
Borang diserahkan kepada Presiden KeADIlan, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail selepas ucapan ringkasnya berkaitan beberapa peristiwa yang berlaku di parliman sepanjang minggu ini.
Menurutnya lagi, Presiden MIUP tidak pernah menunaikan janji sepertimana yang dinyatakan dalam mesyuarat penubuhan di Hotel Sunway pada 17 Februari 2008 lalu untuk menubuhkan pejabat, bilik gerakan dan memperkemaskan jentera dengan peruntukan ribuan ringgit.
Namun sehingga kini MIUP tidak berpejabat dan pentadbiran lintang pukang seolah bukan sebuah organisasi yang bertamadun.
"Dia sendiri berjanji mahu membayar semua perbelanjaan pembukaan rasmi MIUP di Hotel Sunway tetapi semuanya kosong. Kami pula terpaksa bayar dia langsung tidak keluarkan sesen pun, " ujarnya.
Setiausaha MIUP, Joseph pula mengatakan pembubaran 13 bahagian MIUP amat wajar kerana parti itu tidak relevan sebagai parti yang melindungi parti kaum India.
Tiga belas bahagian itu ialah Kepala Batas, Tasek Gelugor, Permatang Pauh, Bukit Mertajam, Batu Kawan, Nibung Tebal, Bayan Baru, Balik Pulau, Jelutong, Bukit Glugor, Bukit Bendera, Tanjung dan Bagan.
"Hari ini kesemua 13 bahagian MIUP Pulau Pinang dibubarkan dan pastinya memberi petanda MIUP akan hancur dan bakal tersimpan dalam lipatan sejarah politik Malaysia, " katanya dalam program anjuran KeADILan Pulau Pinang.
Keahlian MIUP sambungnya, seramai 4500 dan yakin dalam tempoh tidak sampai 3 bulan lagi kesemuanya beralih parti.
Rakannya, M. Kuppusamy juga kecewa dengan serangan BN terhadap Kelantan sedangkan negeri itu tidak pernah melakukan penyelewengan, rasuah atau korupsi dalam pentadbiran.
Kenyataan Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yasin menempelak Kelantan kononnya tidak bijak memerintah tetapi pada hakikatnya rakyat tetap memilih pentadbiran terdahulu berbanding BN yang terlalu angkuh.
"BN termasuk MIUP menuduh Kelantan tidak mahu bayar hutang 1 bilion, penerokaan balak secara haram dan sebagainya. Tetapi rakyat Kelantan bijak memilih yang mana intan dan yang mana kaca, " tambahnya kesal.
Semalam, KeADILan menampilkan beberapa tokoh untuk menyampaikan maklumat kepada umum antaranya, Adun Penanti merangkap Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohamad Fairuz Kahirudin; Ahli Parlimen Jerai, Ustaz Firdaus Jaafar di samping Presiden KeADILan sendiri. - mks.

Dasar luar yang lemah perlu dikaji semula

Salman Hussin Sun May 11, 08 9:53:53 am MYT
BATU PAHAT, 11 Mei (Hrkh) - PAS Johor mendesak kerajaan mengkaji semula dasar luar negara yang dilihat sangat lemah dan tidak konsisten menyebabkan negara ini begitu mudah menyerah kalah dengan tuntutan negara asing.
"Kita mendesak kajian semula dasar luar ini dilakukan segera bagi melindungi kepentingan negara ini pada masa depan," kata Ketua Penerangan PAS Johor, Mazlan Aliman, di sini.
Katanya, kesan dari kelemahan dasar luar ini boleh menyebabkan negara ini akan kehilangan lebih banyak lagi hak dan kepentingan kepada kuasa asing pada masa depan sekiranya dasar luar ini terus lemah dan pemimpinnya pula tidak tegas.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kegagalan kerajaan bertegas mempertahankan hak ke atas Pulau Batu Putih (PBP) yang menjadi pertikaian antara Malaysia dan Singapura sehingga terpaksa diadili Mahkamah Antarabangsa (ICJ).
Katanya, PAS Johor menaruh kebimbangan terhadap keputusan yang bakal dibuat ICJ dalam isu PBP yang dijangka akan diumumkan pada 20 Mei ini.
"Kita sangat bimbang seandainya keputusan ICJ ini tidak memihak kepada Malaysia, jika ini berlaku maka bukan sahaja kita akan kehilangan wilayah yang strategik, bahkan maruah negara juga akan tercemar dengan begitu teruk berikutan kegagalan kita mempertahankan hak negara.
"Isi perjanjian awal antara Malaysia dan Singapura berkaitan PBP ini jelas memihak kepada kita, tetapi disebabkan pemimpin negara ini tidak tegas dan kononnya untuk menjaga keharmonian hubungan antara kedua negara, menyebabkan isu PBP ini diheret ke ICJ,"jelasnya.
Katanya, kenyataan Menteri Luar Malaysia, Dato' Seri Syed Hamid Albar, baru-baru ini, yang menyatakan pendirian Malaysia akan akur dengan keputusan ICJ, membuktikan betapa lemahnya pemimpin negara ini yang awal-awal lagi sudah menyerah kalah serta tidak menunjukkan komitmen yang tinggi untuk berusaha dan mencari jalan bagi mempertahankan hak dan kedaulatan negara ini daripada terlepas ke tangan kuasa asing.
"Implikasi dari kegagalan Malaysia mempertahankan PBP ini dikhuatiri akan turut mempengaruhi pakej rundingan selepas ini yang membabitkan isu ruang udara, perjanjian air, tanah Singapura yang diwartakan di Johor, projek Iskandar Malaysia serta lain-lain isu lagi.
"Selain itu kesan dari kegagalan mempertahankan PBP ini juga akan membuka ruang seluas-luasnya kepada Republik ini untuk menuntut lebih banyak lagi hak untuk kepentingan negara mereka,"tambahnya lagi.
Mazlan yang juga AJK PAS Pusat, seterusnya berkata, sikap lembut dan mengalah pemimpin negara ini memungkinkan republik ini menuntut satu lagi pulau yang juga menempatkan rumah api milik republik itu di negara ini seperti di PBP, iaitu Pulau Pisang di Pontian.
"Sebelum insiden sama berulang lagi maka awal-awal lagi kita mendesak Kerajaan Malaysia bertegas bagi memastikan Pulau Pisang ini tidak diheret sama ke ICJ oleh Singapura.
"Kita tidak mahu rakyat negara ini khususnya rakyat Johor tertanya-tanya apabila Kerajaan Johor mengarahkan umat Islam di negeri ini mendirikan solat hajat selepas solat Jumaat bagi menyelamatkan PBP ini dalam keadaan rakyat tidak tahu apa-apa pun tentang PBP ini, akhirnya apa yang berlaku solat hajat yang dibuat ini hanya sekadar melepaskan batuk ditangga sahaja,"tegasnya.
Katanya, PAS Johor mahu kerajaan mencontohi sikap dan pendirian negara luar yang bertegas mempertahankan hak mereka, mereka mengambil masa yang begitu lama untuk berunding sekiranya berlaku sebarang tuntutan pihak luar terhadap kepentingan negara mereka.
"Tetapi malangnya Kerajaan Malaysia begitu lemah dan mudah mengalah terhadap tuntutan kuasa asing, ini sesuatu yang sangat mengaibkan maruah rakyat dan negara ini.
"Justeru kerana itu sekali lagi kita mendesak Kerajaan Malaysia mengkaji semula dasar luar negara supaya kepentingan negara lebih terjamin pada masa depan, ini kerana kita melihat dasar luar yang diamalkan hari ini terlalu longgar dan sangat lemah sehingga dengan sewenang-wenangnya diambil kesempatan oleh pihak-pihak lain, khususnya kuasa asing," ujarnya lagi.

Thursday, May 8, 2008

Saham BSKL jatuh kerana pelabur tidak yakin pada kerajaan - Pemuda PAS

Roy Rasul Thu May 08, 08 4:03:15 pm MYT
KUALA LUMPUR, 8 Mei (Hrkh) - Kejatuhan saham di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL), sejak awal tahun ini dengan kemerosotan melebihi 200 mata berpunca daripada ketidakyakinan para pelabur, dakwa Ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub. -->-->
Beliau mendakwa, ini disebabkan kedudukan kerajaan yang tidak stabil selepas pilihan raya umum ke-12 lalu.
"Faktor kegagalan BN pertahankan majoriti dua pertiga adalah satu isu tetapi isu yang lebih besar ialah ketidakyakinan ahli-ahli umno terhadap kepimpinan Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi," katanya dalam satu kenyataan.
Pada Januari 2008 lalu, BSKL mencatat 1.445 mata dan merosot pula kepada 1,227 mata pada April lalu.
Para penganalisis saham mendakwa nilai satu mata BSKL mewakili kira-kira RM770 juta.
Perkembangan ini menunjukkan dalam tempoh dua bulan negara kerugian sekitar RM140 bilion.
Menurut Salahuddin sejak 9 Mac lalu, ahli-ahli Umno pelbagai peringkat mengkritik secara terbuka kepimpinan Abdullah sehingga ada yang mendesak beliau meletakkan jawatan sebagai perdana menteri.
Pergolakan tersebut katanya, memberi kesan yang teruk kepada keyakinan pelabur ditambah pula dengan dasar kerajaan yang tidak demokratik khasnya ke atas negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat.
"Dalam masa sama pelabur jelek di atas kegagalan Barisan Nasional (BN) mewujudkan integriti dan kebebasan di kalangan rakyat," katanya.
Dakwanya, peningkatan indeka rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan menyamai peningkatan inflasi yang melanda sekarang.
Perkara-perkara tersebut katanya, antara penyebab indeks BSKL menjunam dalam masa yang singkat.
Sehubungan itu katanya, Pemuda PAS bimbang sekiranya kerajaan BN cuba menutup kejatuhan saham dengan mengunakan dana-dana awam yang dipaksa menyuntik semula dana untuk memulihkan BSKL.
Beliau berkata, tidak mustahil jika dana-dana awam seperti KWSP, Tabung Haji, PNB dan sebagainya dipaksa untuk menjaga imej BN bagi menyuntik berbilion wang ke dalam BSKL.
"Pemuda PAS tidak nampak cara yang paling efektif memulihkan BSKL kecuali kerajaan BN mengundur diri kepada Pakatan Rakyat.
"Pak Lah mesti letak jawatan segera bagi membolehkan sebuah kerajaan bersih, telus dan berintegriti dibentuk dan kerugian dapat diatasi semula," katanya. -

Ibrahim Ali cadang Presiden PAS jadi Perdana Menteri?

Wan Nordin dan Azamin Amin Thu May 08, 08 4:01:48 pm MYT
KUALA LUMPUR, 8 Mei (Hrkh) - Dato' Paduka Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) dalam ucapan menjunjung Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat mencadangkan agar kerajaan yang mengalami krisis kepimpinan hari ini menukar kepimpinan negara. -->-->
"Saya nak cadangkan jika rakyat sokong Yang Amat Berhormat Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang sebagai Perdana Menteri Malaysia," katanya bersungguh.
"Mana tahu berkat doa-doa orang-orang seperti tok guru yang berjuang dan bersih manalah tahu doa mereka ini diterima Allah,"
'Atau dalam masa dua tiga bulan ini pinjamkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat ke Putrajaya untuk membersihkan 'tingkat empat' yang menjadi persoalan dalam negara, manalah tahu dengan solat hajat Tok Guru ini boleh membersihkannya," tegasnya.
Beliau berkata, krisis kepimpinan dalam kerajaan dan Umno telah berlaku dan kini rakyat perlu kepada kepimpinan yang berwibawa.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan Dato' Seri Anwar Ibrahim atau sesiapa sahaja untuk menjadi Perdana Menteri, tetapi asasnya mereka perlu diterima rakyat, berwibawa dan bersih.
Beliau juga mempersoalkan pelbagai isu yang membabitkan penyelewengan dalam urusan pengagihan kontrak kerajaan, selain rasuah yang berlaku.
Katanya kerajaan sendiri tidak bersungguh dalam membasmi rasuah, katanya.
Sebelum itu Azmin Ali (KeADILan Gombak) dalam ucapannya pula mendakwa pemimpin elit Umno menjadikan Dasar Ekonomi Baru (DEB) sebagai 'lubuk rasuah' di kalangan kempimpinan Umno.
Seketika beliau bercakap mengenai isu kronisme dan kerajaan 'anak menantu' seorang ahli Parlimen bangun mencelah bertanyakan samada perkataan menantu itu ditujukan kepada salah seorang ahli Parlimen yang ada dalam Dewan Rakyat.
Azmin yang bingkas menjawab soalan itu berkata, semasa perkataan menantu itu disebutkan ramai yang tertumpu kepada satu sudut di Dewan Rakyat yang mana ke arah Khairy Jamaluddin (BN Rembau) yang dikaitkan dengan isu-isu 'menantu' kepada Perdana Menteri.
Menurut Azmin, pandangan DEB bagi kelompk elit pemimpin Umno sangat sempit yang mana mereka hanya memikirkan soal hak mereka sahaja dalam DEB dalam usaha mengaut keuntungan kepada mereka.
Sementara hak bumiputera yang lain (rakyat miskin) termasuk di Sabah dan Sarawak tidak pernah difikirkan oleh kepimpinan Umno.
Ia berbeza dengan kepimpinan PAS, KeADILan dan DAP yang mana kini semakin diterima rakyat berhubung dasar-dasar membela rakyat termasuk dalam forum membincangkan DEB ini.

Baru dua bulan memerintah Pakatan Rakyat Selangor tunai janji

Saidah Hairan Thu May 08, 08 3:07:49 pm
KUALA LUMPUR, 8 Mei (Hrkh) - Kepimpinan BN negeri dan Pusat perlu mengambil ikhtibar terhadap kejayaan Kerajaan Pakatan Rakyat yang berjaya menunaikan janji memberi bekalan air kegunaan domestik secara percuma bagi 20 meter padu pertama setiap bulan walaupun baru dua bulan memerintah.
Bekalan air secara percuma itu akan dilaksanakan pada 1 Jun sebagaimana diumumkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Bagaimanapun usaha kerajaan Pakatan Rakyat bagi merealisasikan konsep negara berkebajikan ini cuba dipolitikkan parti pembangkang yang mendakwa kononnya kerajaan negeri gagal merealisasikan janji-janji manifesto pilihan raya lalu, walaupun pada hakikatnya Pakatan Rakyat baru memerintah Selangor selama dua bulan.
Dakwaan itu dibuat berikutan keputusan kerajaan negeri menangguhkan pelaksanaan pengurangan bayaran cukai pintu rumah kediaman sebanyak 20 peratus dan premis komersial 10 peratus.
Ketua Pemuda PAS negeri, Ustaz Sallehen Mokhyi berkata, pemberian air percuma 20 meter padu pertama itu membuktikan tindakan segera dan serius kerajaan Pakatan Rakyat untuk melaksanakan tawaran yang dijanjikan dalam manifesto.
Beliau yakin kerajaan Pakatan Rakyat akan melaksanakan janji-janji pilihan raya secara berperingkat.
Katanya, adalah mustahil untuk kerajaan baru melakukan perubahan secara drastik kerana setiap keputusan yang diambil perlu melalui kajian dan mematuhi peraturan sedia ada.
"Jika rakyat Selangor boleh bertahan dan bersabar berada di bawah pemerintahan BN selama 50 tahun mengapa tidak boleh menunggu sedikit masa untuk menanti perubahan yang bakal dilaksanakan kerajaan Pakatan Rakyat," katanya.
Menurut beliau, adalah mustahil untuk janji-janji manifesto pilihan raya dapat dilaksanakan dalam tempoh 100 hari sedangkan sidang DUN masih belum berlangsung.
"Baru 60 hari Pakatan Rakyat memerintah, sebahagian janji pilihan raya telah pun dipenuhi, saya yakin BN sendiri tidak mampu melaksanakannya," tegas Sallehen.
Sallehen yang juga bekas calon PAS DUN Sabak berkata, Presiden Umno, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika hari pertama dilantik PM berjanji untuk menghapuskan rasuah, tetapi setelah dua penggal menerajui kerajaan janji itu belum terlaksana.