Monday, May 19, 2008

Kedah dizalimi bila tiada wakil di kabinet

Izwan Abdul Halim Tue May 20, 08 2:46:51 pm MYT
ALOR STAR, 20 Mei (Hrkh) - Pengerusi Dewan Perhimpunan Melayu Kedah, Tan Sri Khalid Abdullah menyifatkan ketiadaan wakil dari Negeri Kedah dalam Kabinet Persekutuan sebagai satu kezaliman.
Beliau berkata demikian dalam ucapan aluannya pada ceramah 'Kedudukan Orang Melayu Pasca Pilihan raya Ke-12' oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad anjuran Dewan Perhimpunan Melayu Kedah yang diadakan di Hotel Star City di sini kelmarin.
"Pada hemat saya yang telah telah berkecimpung dalam politik sejak Dato' Onn Jaafar hingga sekarang, belum ingat satu negeri yang begitu didiskriminasikan," katanya.
Jelas beliau, percantuman negeri-negeri yang membentuk persekutuan memberi tempat kepada setiap negeri untuk menyampaikan kehendak-kehendak rakyat.
"Tapi kali ini Negeri Kedah dizalimi. Tidak ada seorang pun dari Negeri Kedah di dalam kabinet. Ini satu kezaliman,"ujarnya penuh kesal.
Menurutnya, negeri-negeri lain yang Barisan Nasional kalah tetapi masih ada anggota kabinet daripada negeri tersebut.
"Jadi macam mana Kedah boleh tak dak langsung ni? Jadi bagi kita ini adalah satu kezaliman dan suka saya ingatkan Tuhan tidak suka orang yang melakukan kezaliman,"jelasnya.
Beliau turut menyatakan bahawa keadaan negara ini sekarang berada dalam keadaan yang rumit.
"Rumit dari segi ada satu pihak nak jadikan tanah Melayu ini tanah jajahan Singapura, satu pihak lagi nak jadikan tanah ini tanah jajahan Israel,"ujarnya melontarkan kebimbangan.
Jadi menurut beliau, perjumpaan seperti ini perlu diadakan selalu untuk menyatakan fikiran orang Kedah bukan dari sudut politik tapi dari sudut fahaman rakyat. - mks

No comments: