Wednesday, May 28, 2008

Peruntukan RM16 billion 'nyaris' dibatalkan, ahli parlimen BN kelam kabut

Azamin Amin Wed May 28, 08 3:23:59 pm MYT
KUALA LUMPUR, 28 Mei (Hrkh) - Akibat tidak cukup 'korum' dan tidak ramai ahli parlimen Barisan Nasional (BN), peruntukkan tambahan Kementerian Kewangan sejumlah RM16 billion 'nyaris' dan kemungkinan dibatalkan kerana tidak cukup undi berbanding ahli parlimen Pakatan Rakyat.
Sebelum ini Speaker hanya membuat keputusan berdasarkan suara yang lebih kuat daripada ahli dewan sama ada bersetuju atau tidak bersetuju atas satu-satu usul yang dibangkitkan malah dilihat sentiasa 'percaya' ahli parlimen BN yang dilhat lebih ramai berbanding ahli parlimen pembangkang.
Namun kali ini Mohamed Azmin Ali (KeADILan-Gombak ) bangun mencadangkan agar tindakan �Belah Bahagian� dibuat yang turut disokong lebih dari 15 ahli dewan dan akhirnya Speaker, Dato' Wan Junaidi Tuanku Jaafar membenarkan proses �Belah Bahagian� iaitu undi sulit untuk menentukan bersetuju atau tidak bagi meluluskan peruntukkan tambahan Kementerian Kewangan itu.
Situasi tersebut menimbulkan kebimbangan ahli parlimen BN yang kurang bilangannya di dalam dewan ketika itu jika dibandingkan dengan ahli parlimen Pakatan Rakyat, malah sejak pagi tadi kelihatan begitu banyak kerusi-kerusi ahli parlimen BN yang kosong.
Akibat daripada itu, loceng dibunyikan kira-kira lima minit bagi memastikan bilangan ahli parlimen cukup untuk membuat undi dan ketika itu kelihatan ahli Parlimen BN kelam kabut bergegas masuk ke dalam dewan.
Dalam suasana kelam kabut itu, beberapa ahli parlimen Pakatan Rakyat meminta Speaker menetap tempoh tamat untuk mengira undi.
"Sampai bila nak tunggu masuk. Sudah cukup tempohkah?" kata ahli parlimen Ipoh Barat dan tiada tindak balas daripada Speaker
Mahfuz (PAS-Pokok Sena) mencelah menyatakan siapa yang masuk untuk mengundi bermakna mereka mengundi untuk pembaziran manakala Azmin secara bersahaja meminta supaya undian dikira betul dan tepat supaya tidak ada 'undi hantu' berlaku dalam dewan yang mulia.
Nazri dilihat berdiri membilang ahli-ahli parlimen dan antara mereka yang keluar semula dari Dewan Rakyat bagi 'mencari' rakan-rakan mereka yang hilang.
Kejadian ini merupakan kali pertama berlaku pada sidang dewan kali ini dan tepat jam 11.50 pagi undian dibuat untuk menunggu kedatangan wakil BN ke dewan menyebabkan undian tersebut berpihak kepada BN yang bersetuju sebanyak 92 undi berbanding 60 undi tidak setuju dan 1 berkecuali.
Mengulas kejadian itu Khalid Samad (PAS-Shah Alam) menyatakan bahawa ahli-ahli parlimen BN kali ini terkejut dan tidak menyangka insiden ini akan berlaku memandangkan sebelum ini ahli pembangkang sangat sedikit berbanding sekarang.
"Kali ini mereka tak boleh ambil sikap lewa lagi. Kita mempunyai kemampuan menggagalkan sebarang usul atau peruntukan yang disifatkan membazir kerana jumlah kita sudah ramai.
"Jadi kali ini mereka kena berhati-hati dan memberi perhatian serius kepada isu yang dibahas dan dibangkitkan dalam dewan. Tidak sewenang-wenangnya boleh tinggalkan dewan begitu sahaja," katanya ketika ditemui Harakahdaily.

No comments: