Wednesday, May 21, 2008

Kelantan tingkatkan kesedaran masyarakat tentang IT

Muhammad Yusri Amin Wed May 21, 08 3:40:30 pm MYT
KOTA BHARU, 21 Mei (Hrkh) Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri akan bekerjasama Darul Digital Multimedia Solution Sdn Bhd (Darul Digital) bagi mempertingkatkan kesedaran masyarakat terhadap bidang teknologi maklumat (IT).
Darul Digital merupakan pusat latihan animasi pertama di negeri ini. Ia ditubuhkan pada 29 Januari 2007 bagi memberi kemahiran teknik penghasilan animasi dan perfileman.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi, Dr Mohd Fadzli Hassan berkata, bagi mencapai hasrat tersebut Urusetia Penerangan dan Darul Digital perlu bergerak bersama.
?Pelbagai program boleh dilaksanakan bagi tujuan itu termasuk juga semasa persidangan Dewan Undangan Negeri boleh disiarkan secara langsung melalui kemudahan teknologi yang sedia ada.
?Kita juga boleh menghasilkan VCD untuk diedarkan kepada orang ramai,? katanya ketika melawat Darul Digital di KB Bazar di sini, baru-baru ini.
Beliau juga berkata, golongan belia, pelajar sekolah dan graduan lepasan universiti yang berminat dalam bidang animasi boleh mendalami ilmu melalui program latihan yang disediakan.
?Mereka yang mempunyai bakat dan kebolehan dalam teknologi perkomputeran dan multimedia boleh mengasah bakat menghasilkan produk bermutu yang boleh menjadi sumber pendapatan mereka,? katanya.
Darul Digital mensasarkan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia dan institusi pengajian tinggi bagi menimba kemahiran di pusat latihan tersebut.
Antara kursus yang ditawarkan termasuk pengenalan animasi 2D dan 3D, asas perfileman, asas senilukis, penulisan cerita, rekaan kartun dan penyediaan jalan cerita.
Sementara itu, sempena musim cuti sekolah ini Darul Digital mengadakan hari terbuka yang memuatkan pelbagai aktiviti antaranya pertandingan melukis kartun, dialog animasi dan ceramah peluang-peluang kerjaya dalam bidang animasi membabitkan pengiklanan dan rekabentuk bangunan.
Kartunis tersohor dari luar negeri dijangka diundang pada program tersebut. - mj

No comments: