Wednesday, May 21, 2008

"PAS perlu beri perhatian kepada pengundi bukan Islam"

Rabu, 21 Mei 2008
KOTA BHARU: Kerajaan Pas Kelantan disarankan memberi perhatian sewajarnya terhadap masalah pengusaha restoran Cina berhubung kesukaran mendapatkan lesen menjual bir kepada pelanggan bukan Islam.
Sebahagian besar pengusaha restoran bukan untuk Islam keliru dengan peraturan Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) yang tidak membenarkan mereka menjual bir sedangkan restoran mereka hanya untuk bukan Islam.
Pengerusi Kelab Penyokong Pas Kebangsaan, Hu Pang Chaw berkata berdasarkan aduan yang beliau terima, ramai pengusaha restoran seperti itu sering dikenakan tindakan merampas stok bir dan dikenakan kompaun oleh MPKB berikutan gagal mendapatkan lesen khas untuk menjual bir.
Menurutnya, peraturan di Kelantan sekarang agak mengelirukan kerana restoran yang menjual makanan tidak halal termasuk babi perlu memohon satu lesen lain jika pengusahanya ingin menjual bir.
“Apa bezanya jual babi dengan bir, kedua-duanya bukan makanan halal untuk Islam. Babi haram bagi Islam, begitu juga bir, jadi kenapa restoran yang dibenarkan jual babi tidak boleh jual bir?
“Maknanya mereka (pengusaha) kena mohon lesen Restoran Cina (Bir) baru boleh jual bir, tapi masalah besar sekarang ialah kerajaan mengehadkan pengeluaran lesen tersebut, ada kuota. Bukan semua permohonan mendapat lesen tersebut.
“Dalam sekian banyak restoran Cina yang jual makanan tidak halal, hanya 25 sahaja yang ada lesen untuk jual bir dan cadangan kerajaan tiga tahun lalu untuk menambah menjadi 35 belum jadi kenyataan,” katanya pada sidang akhbar di sini, kelmarin.
Hu berkata, Pas tidak boleh merasa selesa dengan kejayaan pada pilihan raya umum lepas yang turut menyaksikan Datuk Anuar Tan Abdullah menang di kawasan yang mempunyai 46 peratus pengundi bukan Islam dengan majoriti 5,206.
:Katanya, jika Pas Kelantan mengabaikan keperluan kala-ngan pengundi terbabit, maka tidak hairan sekiranya parti itu akan hilang banyak sokongan bukan Islam pada pilihan raya umum akan datang.
“Melihat kepada kemenangan pakatan pembangkang di lima negeri, ternyata kerajaan Kelantan kurang peka dalam perkara ini. Masalah seperti ini tidak berlaku di negeri-negeri tersebut.”
Beliau berkata, peraturan mengenakan lesen menjual bir terhadap restoran Cina (makanan tidak halal) di Kelantan boleh dipertikaikan kerana mengikut undang-undang di negara ini, penjualan bir di restoran tidak memerlukan lesen.
Sehubungan itu, Hu berkata sekiranya Pas menghargai sokongan bukan Islam, maka adalah perlu ia merealisasikan pengeluaran 10 lesen tambahan sebagaimana yang dicadangkan itu dalam tempoh tiga bulan.

No comments: