Thursday, May 8, 2008

Saham BSKL jatuh kerana pelabur tidak yakin pada kerajaan - Pemuda PAS

Roy Rasul Thu May 08, 08 4:03:15 pm MYT
KUALA LUMPUR, 8 Mei (Hrkh) - Kejatuhan saham di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL), sejak awal tahun ini dengan kemerosotan melebihi 200 mata berpunca daripada ketidakyakinan para pelabur, dakwa Ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub. -->-->
Beliau mendakwa, ini disebabkan kedudukan kerajaan yang tidak stabil selepas pilihan raya umum ke-12 lalu.
"Faktor kegagalan BN pertahankan majoriti dua pertiga adalah satu isu tetapi isu yang lebih besar ialah ketidakyakinan ahli-ahli umno terhadap kepimpinan Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi," katanya dalam satu kenyataan.
Pada Januari 2008 lalu, BSKL mencatat 1.445 mata dan merosot pula kepada 1,227 mata pada April lalu.
Para penganalisis saham mendakwa nilai satu mata BSKL mewakili kira-kira RM770 juta.
Perkembangan ini menunjukkan dalam tempoh dua bulan negara kerugian sekitar RM140 bilion.
Menurut Salahuddin sejak 9 Mac lalu, ahli-ahli Umno pelbagai peringkat mengkritik secara terbuka kepimpinan Abdullah sehingga ada yang mendesak beliau meletakkan jawatan sebagai perdana menteri.
Pergolakan tersebut katanya, memberi kesan yang teruk kepada keyakinan pelabur ditambah pula dengan dasar kerajaan yang tidak demokratik khasnya ke atas negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat.
"Dalam masa sama pelabur jelek di atas kegagalan Barisan Nasional (BN) mewujudkan integriti dan kebebasan di kalangan rakyat," katanya.
Dakwanya, peningkatan indeka rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan menyamai peningkatan inflasi yang melanda sekarang.
Perkara-perkara tersebut katanya, antara penyebab indeks BSKL menjunam dalam masa yang singkat.
Sehubungan itu katanya, Pemuda PAS bimbang sekiranya kerajaan BN cuba menutup kejatuhan saham dengan mengunakan dana-dana awam yang dipaksa menyuntik semula dana untuk memulihkan BSKL.
Beliau berkata, tidak mustahil jika dana-dana awam seperti KWSP, Tabung Haji, PNB dan sebagainya dipaksa untuk menjaga imej BN bagi menyuntik berbilion wang ke dalam BSKL.
"Pemuda PAS tidak nampak cara yang paling efektif memulihkan BSKL kecuali kerajaan BN mengundur diri kepada Pakatan Rakyat.
"Pak Lah mesti letak jawatan segera bagi membolehkan sebuah kerajaan bersih, telus dan berintegriti dibentuk dan kerugian dapat diatasi semula," katanya. -

No comments: