Wednesday, May 21, 2008

128 kanak-kanak masih hilang sejak Januari 2008 - Timbalan Menteri

Anis Nazri
Wed May 21, 08 3:36:25 pm MYT
KUALA LUMPUR, 21 Mei (Hrkh) - Sebanyak 128 daripada 242 kanak-kanak masih hilang sepanjang ia direkodkan sejak Januari hingga Mac 2008 lalu, dan hanya 114 kanak-kanak hilang ditemui semula.

Statistik itu dinyatakan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, kementerian terbabit diminta menyatakan punca sebenar kanak-kanak berumur 14 hingga 17 tahun kerap hilang, selain kajian terperinci mengenainya serta sejauh mana nasihat yang diberikan, memandangkan mereka yang berusia 14 hingga 17 tahun itu ialah pelajar.

Persoalan itu dibangkitkan Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang), di Dewan Rakyat, hari ini.

Menjawab soalan tersebut, Timbalan Menteri Noriah Kasnon berkata, program yang dilaksanakan antaranya pasukan pelindung peringkat daerah iaitu sebanyak 131 kumpulan, yang melibatkan golongan profesional dan pemimpin masyarakat, masuk ke sekolah-sekolah untuk menyampaikan kempen kesedaran di kalangan pelajar.

"Kita juga berharap ibu bapa bekerjasama supaya memantau perkembangan dan aktiviti anak-anak sendiri bagi mmastikan anak-anak tidak terpengaruh dengan anasir luar yang boleh menyebabkan kehilangan mereka," kata beliau.

Dalam soalan asal kepada kementerian terbabit, Nancy Shukri (BN-Batang Sadong) meminta kementerian menyatakan langkah-langkah yang diambil bagi membendung masalah kehilangan kanak-kanak yang semakin hari semakin berleluasa.

Menjawab soalan tersebut, Noriah berkata kementerian melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat melaksanakan pelbagai program untuk membanteras isu ini dengan kerjasama PDM, Jabatan Imigresen, dan NGO.

No comments: