Tuesday, May 27, 2008

Selangor sedia peruntukkan bantu keluarga mangsa ISA

Saidah Hairan Tue May 27, 08 3:14:13 pm MYT
SHAH ALAM, 27 Mei (Hrkh) - Keprihatinan kerajaan negeri Selangor mengeluarkan peruntukkan membantu isteri-isteri dan keluarga mangsa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) membuktikan satu lagi kesungguhan dan kejayaan kerajaan Pakatan Rakyat yang baru tiga bulan memerintah.
Menteri Besar, Tan Sri Dato' Abdul Khalid Ibrahim menyatakan kesungguhan itu selepas menerima memorandum penyerahan lencana `Malaysia bebas daripada ISA' daripada Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA, Syed Ibrahim Syed Noh di lobi Avenue, SUK.
Beliau berkata, kerajaan di bawah tanggung jawab Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail akan mengeluarkan peruntukkan tersebut secepat mungkin.
Dalam penyerahan memo itu Khalid turut berjanji akan berusaha memansuhkan ISA dan OSA kerana ia merupakan salah satu janji Pakatan Rakyat.
Menurut beliau, kehadiran isteri tahanan dan ahli Gerakan Mansuhkan ISA merupakan kesinambungan usaha kerajaan Pakatan Rakyat mendesak memansuhkan ISA.
"Perjuangan mendesak memansuhkan ISA akan diteruskan bagi menjamin kesejahteraan rakyat," katanya.
Beliau menjelaskan, kerajaan negeri akan membiayai kos perjalanan isteri-isteri dan keluarga untuk melawat tahanan di kem kemunting, Perak.
Selain itu katanya, beberapa usaha akan dilaksanakan seperti memberi biasiswa untuk anak-anak meneruskan pelajaran dan membuat satu perusahan supaya isteri-isteri dan keluarga mangsa dapat bekerja bagi meneruskan kehidupan.
"Saya mempunyai Adun bekas tahanan ISA yang faham dan menghayati kesengsaraan keluarga dan mangsa ISA. Saya yakin mereka akan terus menyokong perjuangan yang paling penting dalam demokrasi sekarang," tegasnya.
Sementara itu, Rodziah ketika ditemui berkata, kerajaan akan memberi bantuan kepada 16 keluarga mangsa ISA yang tinggal di Selangor.
Katanya, bantuan yang diutamakan seperti membayar yuran tertunggak dan perbelanjaan keluarga khusus bagi keluarga yang berada di paras kemiskinan.
Menurut beliau, kerajaan juga akan mengkaji cadangan mewujudkan projek usahawan bagi membantu isteri-isteri tahanan meneruskan kehidupan.
Kandungan memo itu menyatakan enam keluarga mengesahkan suami dan bapa mereka telah dtahan di bawah ISA melebihi enam tahun.
Mereka Mat Sah Mohd Satray suami kepada Norlaila Othman; Abdullah Minyak Silam suami Siti Normah Ismail; Yazid Sufaat suami Chomel Mohamad; Shahrial Sirin suami Fatma Masrum; Suhaimi Mokhtar suami Jurainah Basari dan Shamsuddin Sulaiman suami Fatimah Shamsuddin. - mns

No comments: