Mohd Sabri Said Sun May 11, 08 10:55:32 am MYT
PERMATANG PAUH, 11 Mei (Hrkh) - Pengasas Malaysian Indian United Party (MIUP) yang juga teman rapat Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Nalakurapan mendapat tamparan hebat semalam apabila 13 bahagian seluruh Pulau Pinang mengambil keputusan membubarkan parti itu serentak untuk menyertai KeADILan.
Seramai 2000 orang ahli MIUP bertindak nekad meninggalkan parti itu kerana tidak sanggup lagi melihat 'wayang kulit' Dato' Nalakurapan yang hanya pandai melakar janji sewaktu pilihanraya tetapi hilang haluan bila Barisan Nasional (BN) kalah teruk.
Menurut Pengerusi MIUP Pulau Pinang, L. Balasubramaniyam ketika ditemui menyifatkan, helah Nalakurapan akhirnya terbongkar apabila cuba mempergunakan kaum India untuk meningkatkan kepercayaan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi mendapatkan kedudukan serta mengidam projek peribadi.
Penubuhan MIUP juga katanya, bermatlamat menunjukkan kuasa kepada Dato' Seri Anwar bahawa ramai kaum India menolak kepimpinan KeADILan yang didakwa bercakap tidak serupa bikin.
"Kini baru kami sedar lakunan Dato' Nalakurapan. Dia sanggup menikam kawan dari belakang demi mendapatkan jawatan selepas pilihanraya. Dia kata Anwar seorang yang kuat penipu tapi dia yang sebenarnya berkelakuan begitu, " tegasnya dalam program meraikan kemasukan ahli MIUP di Dewan Orang ramai di Tapak Ekspo Seberang Jaya.
Borang diserahkan kepada Presiden KeADIlan, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail selepas ucapan ringkasnya berkaitan beberapa peristiwa yang berlaku di parliman sepanjang minggu ini.
Menurutnya lagi, Presiden MIUP tidak pernah menunaikan janji sepertimana yang dinyatakan dalam mesyuarat penubuhan di Hotel Sunway pada 17 Februari 2008 lalu untuk menubuhkan pejabat, bilik gerakan dan memperkemaskan jentera dengan peruntukan ribuan ringgit.
Namun sehingga kini MIUP tidak berpejabat dan pentadbiran lintang pukang seolah bukan sebuah organisasi yang bertamadun.
"Dia sendiri berjanji mahu membayar semua perbelanjaan pembukaan rasmi MIUP di Hotel Sunway tetapi semuanya kosong. Kami pula terpaksa bayar dia langsung tidak keluarkan sesen pun, " ujarnya.
Setiausaha MIUP, Joseph pula mengatakan pembubaran 13 bahagian MIUP amat wajar kerana parti itu tidak relevan sebagai parti yang melindungi parti kaum India.
Tiga belas bahagian itu ialah Kepala Batas, Tasek Gelugor, Permatang Pauh, Bukit Mertajam, Batu Kawan, Nibung Tebal, Bayan Baru, Balik Pulau, Jelutong, Bukit Glugor, Bukit Bendera, Tanjung dan Bagan.
"Hari ini kesemua 13 bahagian MIUP Pulau Pinang dibubarkan dan pastinya memberi petanda MIUP akan hancur dan bakal tersimpan dalam lipatan sejarah politik Malaysia, " katanya dalam program anjuran KeADILan Pulau Pinang.
Keahlian MIUP sambungnya, seramai 4500 dan yakin dalam tempoh tidak sampai 3 bulan lagi kesemuanya beralih parti.
Rakannya, M. Kuppusamy juga kecewa dengan serangan BN terhadap Kelantan sedangkan negeri itu tidak pernah melakukan penyelewengan, rasuah atau korupsi dalam pentadbiran.
Kenyataan Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yasin menempelak Kelantan kononnya tidak bijak memerintah tetapi pada hakikatnya rakyat tetap memilih pentadbiran terdahulu berbanding BN yang terlalu angkuh.
"BN termasuk MIUP menuduh Kelantan tidak mahu bayar hutang 1 bilion, penerokaan balak secara haram dan sebagainya. Tetapi rakyat Kelantan bijak memilih yang mana intan dan yang mana kaca, " tambahnya kesal.
Semalam, KeADILan menampilkan beberapa tokoh untuk menyampaikan maklumat kepada umum antaranya, Adun Penanti merangkap Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohamad Fairuz Kahirudin; Ahli Parlimen Jerai, Ustaz Firdaus Jaafar di samping Presiden KeADILan sendiri. - mks.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment