Wan Nordin Wan Yaacob Thu May 22, 08 2:29:48 pm MYT
KUALA LUMPUR, 22 Mei (Hrkh) - Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih) telah membuat laporan polis ke atas Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan tiga lagi individu berikutan isu pembatalan penggunaan dakwat kekal pada pilihan raya umum yang lalu.
Setiausaha Sekretariat Bersih, Faisal Mustaffa yang membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi (Tun H.S. Lee) dekat Jalan Stadium hari ini menegaskan, empat individu tersebut harus bertanggungjawab di atas pembatalan penggunaan dakwat itu.
Tiga lagi yang disenaraikan dalam laporan polis yang dibuat itu ialah, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail; Ketua Polis Negara, Musa Hassan dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman.
Turut serta semasa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Dang wangi pagi tadi ialah, calon KeADILan bagi Parlimen Rembau, Badrul Hisham Shaharin dan Jurucakap National Institute For Electroral Integrity (NIEI), Amin Iskandar.
Empat hari sebelum pilihan raya umum pada 8 Mac lalu, SPR telah mengumumkan pembatalan penggunaan dakwat dengan alasan keselamatan dan ada pihak yang telah membeli dakwat itu bagi tujuan penyelewengan, ujar Faisal.
SPR dikatakan telah menggunakan RM2.4 juta wang rakyat untuk membeli dakwat kekal dari India untuk digunakan pada pilihan raya lalu, katanya.
Bagaimanapun kata Faisal, SPR baru-baru ini memberitahu media bahawa kabinet Abdullah Ahmad Badawi yang sebenarnya membantah penggunaan dakwat kekal pada pilihan raya umum yang lalu.
Sementara katanya, Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Syed Hamid Albar pula mendedahkan di Parlimen yang laporan polis berasakan kepada khabar angin mengenai pembelian dakwat kekal oleh parti-parti politik untuk tujuan penyelewengan pilihan raya.
Baginya, jelas sebenarnya pengumuman pembatalan penggunaan dakwat itu hanyalah helah untuk menyelamatkan kerajaan BN tumbang pada pilihan raya umum lalu.
Jelaslah di sini bahawa kebinet Abdullah Badawi tahu yang mereka akan kalah dalam pilihan raya ke 12 yang lalu jika dakwat kekal digunakan, katanya.
"Jelas juga yang SPR hanyalah alat Barisan Nasional untuk menipu rakyat dalam pilihan raya umum," ujarnya.
Dengan laporan polis yang dibaut itu, Bersih mendesak kesemua terbabit meletakkan jawatan sebagai tanggungjawab terhadap rakyat Malaysia oleh kerana bersekongkol
Bagi Bersih, Polis dan Peguam Negara hanya dijadikan alat untuk membantu BN memanipulasi pilihan raya yang lalu, ujarnya.
Sementara itu Jurucakap National Institute For Electroral Integrity (NIEI), Amin Iskandar yang turut serta bersama Bersih membuat laporan itu mengecam tindakan berupa penipuan yang dilakukan SPR, Perdana Menteri, Musa dan Peguam Negara.
"Selepas membazirkan wang rakyat sejumlah RM2.4 juta, mereka akhirnya menipu rakyat terang-terang selepas mereka mendapat maklumat akan kalah pada pilihan raya umum lalu," kata Amin yang juga pernah membuat pemantauan pilihan raya dibeberapa buah negara termasuk Afghanistan dan Nepal.
Beliau menyatakan bahawa penggunaan dakwat kekal di negara ini tidak akan mendatangkan ancaman kepada kerajaan atau keselamatan negara.
Alasan yang diberikan SPR dan pihak berkuasa sebelum pilihan raya lalu amat dangkal, dan ia mengesahkan bahawa polis sebenarnya yang gagal mengawal keselamatan negara.
Justeru beliau mendesak siasatan dibuat ke atas Perdana Menteri, Peguam Negara, Ketua Polis Negara dan Pengerusi SPR berikutan pembohongan tersebut.
"Kita mahu mereka bertanggungjawab dan meletak jawatan segera," tegasnya
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment