Wednesday, May 21, 2008

MP Tumpat gesa mutu perkhidmatan kereta api diperingkatkan

Roy Rasul Wed May 21, 08 3:37:08 pm MYT
KUALA LUMPUR, 21 Mei (Hrkh) - Sesi soal jawab dalam Persidangan Dewan Rakyat hari ini dimulakan dengan soalan oleh Dato' Kamarudin Jaffar (PAS-Tumpat) kepada Menteri Pengangkutan berhubung rancangan terkini Kementerian untuk menaikkan taraf perkhidmatan kereta api ke negeri-negeri pantai timur Semenanjung Malaysia.
Dalam ucapan beliau terhadap soalan tambahannya, Kamarudin berkata, kereta api adalah pengangkutan yang amat penting dari dulu hingga sekarang dan ahli-ahli parlimen diberikan pas percuma untuk menaikinya.
Katanya, pada hari ini pengangkutan kereta api di seluruh dunia dianggap cukup penting tetapi pengakutan kereta api di Malaysia tarafnya menurun.
"Dari statistik yang saya ada menunjukkan penumpang bagi perkhidmatan Ekspres Rakyat pada tahun 1990 ialah 833,000 tapi pada tahun 2004 hanya 270,000 yang menggunakan perkhidmatan Ekspres Rakyat.
"Masa dari Tumpat ke Kuala Lumpur ialah di antara 13-14 jam sedangkan pada hari ini hanya memerlukan lima hingga enam jam.
"Ini membuktikan perkhidmatan keretapi amat rendah nilai dan mutunya, tol tinggi dan sebaginya amt menyusahkan rakyat," katanya.
Begitu juga katanya di Terengganu, walaupun wang royalti Petronas RM7 juta tetapi tidak ada satu pun stesen kereta api di sana.
Sehubungan itu katanya, bilakah perubahan besar-besaran akan berlaku dalam sistem pengangkutan Kereta api Tanah Melayu di negara ini.
Dalam pada itu, Timbalan Menteri Pengangkutan, Dato' Seri Panglima Lajim Ukin semasa menjawab soalan berkenaan berkata, perkhidmatan kereta api rugi disebabkan jalan raya cukup baik dan kerana itu penumpang tidak menggunakan kereta api lagi.
Katanya, kerugian perkhidmatan kereta api dari tahun 2001 ialah RM188 juta setahun, 2002 meningkat RM140 juta. Pada tahun 2003 RM131 juta dan 2004 turun RM87 juta. Tahun 2005 balik kepada RM131 juta dan tahun 2006 turun RM104 juta serta tahun 2007 RM116 juta.
Dengan itu katanya kementerian bercadang untuk memperbaiki perkhidmatan terutamanya untuk menggantikan coach-coach atau kereta api lama.
"Namun demikian permohonan untuk mendapat dana bagi membeli coach baru, kementerian belum menerima jawapan sama ada lulus atau tidak," katanya.
Sementara itu menjawab soalan asal, Lajim berkata, kementerian pengangkutan sedang melaksanakan projek bagi meningkatkan tafar kemudahan penumpang di dua buah stesen sedia ada iaitu di stesen Tanah Merah dan Kuala Krai.
Katanya, kementerian membina tiga buah stesen baru di Kelantan iaitu di Wakaf Bharu, Pasir Mas dan Gua Musang dan ia dijangka siap pada suku keempat 2008 ini. - mns

No comments: