Monday, May 12, 2008

PAS masih perlukan Ibrahim Ali untuk tentang Umno walaupun dianggap liabiliti1

3-05-2008 02:10:18 PM
KOTA BAHARU: Pas dilihat masih memerlukan pengaruh politik Ahli Parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali untuk dijadikan senjata bagi menentang Umno.
Walaupun Ibrahim, yang dipecat dari UMNO, bertanding atas tiket Bebas, tetapi menggunakan logo Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac lalu.
Malah, dalam kempen pilihan raya itu, Ibrahim tampil memberi ceramah umum dengan membawa pelbagai dakwaan dan salah laku pemimpin Umno.
Kekuatan Ibrahim sebagai bekas Ketua Umno Bahagian Pasir Mas menjadikan beliau satu tenaga yang tidak boleh dipandang sepi untuk mempengaruhi rakyat Kelantan dalam mencari kelemahan Umno dan Barisan Nasional (BN).
Ini diakui sendiri oleh Menteri Besar Kelantan, juga Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Beliau mengesani peranan Ibrahim dalam meyakinkan rakyat Kelantan pada pilihan raya umum lalu.
"Ini kerana saya cuba mengembangkan Islam secara Syumul. Allah bagi beliau (Ibrahim) lidah yang boleh digunakan untuk menyuarakan matlamat dan dasar Islam dan menghalang perkara mungkar.
"Jadi kenapa tidak saya gunakan beliau untuk menghalang benda-benda mungkar," katanya ketika ditemui.
Abdul Aziz menganggap Ibrahim seorang ahli politik yang berilmu dan berpengalaman memandangkan penyertaannya dalam beberapa parti sebelum ini.
Kini sejak kelantangan Ibrahim timbul di Parlimen berhubung pelbagai isu termasuk mengenai Pas, wujud rasa tidak puas hati di kalangan penyokong Pas.
Malahan ada pihak yang mendesak agar kepimpinan Pas menolak Ibrahim. Seorang penyokong parti itu yang hanya mahu dikenali sebagai Rosli, 43, berkata,
"Kalau macam ini boleh menjadi buruk imej Pas. Semua nak dikritiknya termasuk tindakan mengkritik Pengerusi DAP, Karpal Singh, dan DAP juga, parti bersama-sama berjuang dengan Pas selama ini".
Ibrahim menunjukkan belang pada hari pertama sidang Dewan Rakyat apabila bertekak dengan pembangkang dan kerajaan.
Episod itu bermula apabila Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) meminta penjelasan daripada Yang Dipertua dewan, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berhubung kedudukan Ibrahim yang bertanding atas tiket Pas pada pilihan raya umum lalu, sama ada beliau Ahli Parlimen Pas atau Bebas.
Berang dengan tindakan Karpal itu, Ibrahim yang sebelum itu disindir oleh Karpal sebagai 'katak', bangun mempersoalkan tindakan Karpal yang tidak bangkit berdiri ketika mencelah pada sesi soal jawab.
Kenyataan Ibrahim itu dianggap sebagai penghinaan terhadap Pengerusi DAP yang lumpuh itu akibat kemalangan jalan raya pada 2005.
Ibrahim mengakui beliau tidak mampu bertahan lama sebagai anggota Parlimen Bebas dan terpaksa juga bernaung di bawah sebuah parti untuk melaksanakan tugasnya dengan baik.
"Saya sebenarnya serik untuk terus terima masuk manamana parti kerana saya akui saya ini amat lantang apabila menyuarakan sesuatu dan agak terkedepan berbanding dengan pihak lain.
"Amalan negara ini iaitu jika masuk parti maka kita kena sokong, dan undi setiap usul parti itu walaupun kita tidak bersetuju. Perkara ini memang bertentangan dengan jiwa saya," katanya.
Oleh itu, kata Ibrahim, beliau kini sedang meneliti beberapa parti yang dirasakan "serasi" dengan pendirian dan pemikirannya namun tidak mahu gopoh dalam membuat pilihan. BERNAMA

No comments: