Monday, May 19, 2008

Adun PAS ditingkatkan peranan bantu MB dan Exco

Adnan Ibrahim Tue May 20, 08 2:45:07 pm MYT
SHAH ALAM, 20 Mei (Hrkh) - Kerajaan Selangor telah membuat satu perubahan meningkatkan peranan dan amanah semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS menjadi pembantu kepada Menteri Besar serta Exco.
Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato' Dr Hasan Mohd Ali memberitahu perubahan tersebut merupakan perkara besar yang dilakukan kerajaan Selangor selama 66 hari memerintah.
"Tidak berlaku kepada kerajaan lepas (BN)...kerajaan lepas hanya buat pilihan-pilihan (Adun) sahaja. Yang ini semuanya, sama ada ia berkhidmat dengan exco PAS atau ia berkhidmat terus dengan Menteri Besar.
Maknanya mereka terlibat langsung dalam kerajaan. Mereka boleh mempengerusikan mesyuarat. Mereka boleh pergi ke jabatan. Boleh pergi ke jabatan JKR, atau kemana-mana pun," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan peserta di Ijtimak PAS Selangor Kali Ke-18, di Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor, di sini, semalam.
Dalam majlis tersebut ada peserta membangkitkan sejauh mana parti berperanan dalam kerajaan Selangor bagi meningkatkan serta memperkasakan parti tersebut.
Beliau juga memberitahu dalam masa dua minggu ini, soal pemilihan ahli majlis kerajaan tempatan sama ada di peringkat Majlis Bandaraya Shah Alam, Petaling Jaya ataupun Majlis Perbandaran dan juga Majlis Daerah.
"Yang ini seluruh parti dan yang mengkordinasikan ialah Setiausaha Perhubungan Selangor. Cadangan dibuat melalui perhubungan negeri. Paling tidak lima mesyuarat telah dibuat terus dengan kordinatornya Exco Majlis Tempatan, Ronnie Liu.
"Ini diselia Ronnie dan kita dalam PAS telah minta ini dibuat melalui saluran parti. Dan daripada maklum balas yang diberikan nampaknya adil dari segi jumlahnya serta kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
"Ada kouta... NGO ada kouta, PAS, DAP, PKR ada kouta tetapi koutanya kepada PAS bilangannya tidak mengecewakan kita. Macam juga exco dalam keadaan kita ada lapan kerusi kita dapat tiga kerusi exco. Bagi saya ini lebih daripada adil," katanya.
Menyentuh mengenai masjid, beliau berkata perubahan jawatankuasa masjid di bawah kuasa Sultan dan Sultan meminta satu daerah satu masjid dahulu dibuat perubahan.
"Bagaimanapun kita mahu buat perubahan perlantikan baru yang lebih menyeluruh. Masalah kita juga ada tujuh masjid yang digantung termasuklah masjid Mujahidin, Masjid Kelana Jaya... yang ini kita beri perhatian supaya kita dapat ubah.
"Terdapat juga masjid tidak digantung tetapi bermasalah kerana dipegang oleh orang kuat Umno menyekat mengimarahkan masjid seperti di Masjid al-Amaniah di Batu Caves yang dipegang 100 peratus orang Umno. Ini perlu diberi perhatian," ujarnya. - mns

No comments: