Monday, May 19, 2008

Dr M Keluar parti, isyarat jelas perlu segerakan peralihan kuasa

Wan Nordin Wan Yaacob Tue May 20, 08 2:46:06 pm MYT
KUALA LUMPUR, 20 Mei (Hrkh) - Kemelut dalaman yang melanda Umno bertukar menjadi taufan akibat keputusan Tun Dr Mahathir Mohamad keluar parti yang akhirnya bakal menenggelamkan parti nasionalis itu dari paksinya di bumi Malaysia ini.
Pelbagai komen negatif dan positif dikemukakan pelbagai lapisan kepimpinan Umno, malah ada yang mahu mengikut jejak Mahathir itu untuk turut serta memberi isyarat jelas kepada kepimpinan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya segera melakukan perubahan.
Seperti kata Ketua Umno Bahagian Batu Pahat, Dr MOhd Puad Zarkashi dalam satu ulasannya berkata, keputusan Tun Dr Mahathir Mohamad keluar daripada Umno memberikan isyarat yang jelas bahawa pelan peralihan kuasa perlu dilaksanakan segera.
Peralihan kuasa itu perlu bagi meredakan keadaan dan memastikan Umno terus mendaoat sokongan, kata Dr Puad dalam satu komentarnya yang tersiar dalam sebuah laman web hari ini.
Sambil melahirkan penghormatan ke atas keputusan itu, Dr Puad yang juga ahli Parlimen Batu Pahat berkata, cadangan peralihan kuasa yang dicadangkan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi itu sediri perlu dilaksanakan segera.
Namun bagi Dr Puad, beliau tidak akan meninggalkan Umno seperti yang dilakukan Mahathir, kerana percaya masih ada jalan untuk memperbaiki Umno secara dalaman.
Namun baginya, peralihan kuasa perlu segera dilaksanakan bagi mengelakkan Umno porak peranda.
Berdasarkan perkembangan sudah ada ahli-ahli di peringkat akar umbi yang menghubunginya mahu mengikuti jejak langkah Dr Mahathir meninggalkan parti, kata Dr Puad.
Ekoran keputusan yang dibuat oleh bekas Presiden Umno beliau memaklumkan menerima banyak panggilan telefon dan mesej melalui sistem pesanan ringkas (SMS) yang melahirkan hasrat untuk mengambil langkah yang sama sebagai tanda protes kepada kepimpinan parti.

No comments: