Monday, May 19, 2008

Pemimpin perlu sedia maafkan rakyat

Saidah Hairan Foto Wan Zahari Wan Salleh Mon May 19, 08 3:37:20 pm MYT
SHAH ALAM, 19 Mei (Hrkh) - Kemenangan Pakatan Rakyat sehingga mampu memerintah Selangor secara tidak langsung memberi peluang kepada ahli dan pimpinan PAS mengadakan Ijtimak ke-18 di dewan berhawa dingin berbanding ijtimak sebelum ini.
Sedangkan sebelum ini, ahli dan pimpinan PAS terpaksa akur mengadakan Ijtimak di markaz-markaz atau bangunan PAS seperti Kompas di Tanjong Karang yang diibaratkan seperti `avon'.
Bagaimanapun, suasana sambutan Ijtimak kali ini berbeza kerana berada di dewan yang dingin dan ternyata peserta kelihatan lebih selesa dan aman.
Lebih 1700 ahli PAS hadir di ijtimak tersebut yang julung kali diadakan di Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor,Shah Alam.
Program yang dimulakan dengan nyanyian NegaraKu dan Lagu rasmi PAS telah dirasmikan oleh Presiden, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Dalam ucapan perasmian itu, beliau mengingatkan ahli dan pimpinan PAS bahawa mengekalkan kemenangan merupakan satu cabaran yang paling kuat jika dibandingkan mencari kemenangan.
Beliau mengingatkan pimpinan PAS terutama di kalangan ahli Parlimen dan Adun supaya mengamalkan sikap keterbukaan bukan saja kepada ahli PAS bahkan rakyat Selangor tanpa mengira kaum dan agama.
"Kita mesti bersikap terbuka dalam ketegasan. Tidak boleh menghalalkan perkara yang haram dan mengharamkan perkara yang halal," katanya.
Menurut beliau, sebelum pimpinan PAS menguatkuasa peraturan Islam terhadap orang lain, ia terlebih dahulu perlu diamalkan dalam diri setiap pimpinan.
Tuan Guru Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang dan Adun Rhu Redang berkata, PAS memerlukan kepimpinan yang berwibawa dan perlu mencontohi segala sikap atau akhlak yang diamalkan Rasulullah saw.
"Pemimpin mesti sedia dikritik dan jangan berkuasa dalam semua perkara. Kalau ada rakyat yang salah maafkan mereka dan bawa pada perbincangan," tegasnya.
Program itu juga diadakan pembentangan kertas kerja `Strategi dan Gerak Kerja Utama Mengisi dan Melanjutkan Kemenangan' oleh Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa dan diulas AJK PAS Pusat, Mohamed Hanipa Maidin.
Turut terbabit dengan program itu ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof; Timbalan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Dr Mohd Azhar Yaakob serta moderatornya Pengarah JPN Selangor, Mohamad Radzi Yusof.
Ahli Parlimen Shah Alam yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Khalid Abd Samad turut membentangkan resolusi. Ucapan penutup disempurnakan Naib Presiden PAS, Ustaz Ahmad Awang.

No comments: