Azamin Amin Fri Mar 02, 07 08:22:10 AM
KUALA LUMPUR, 2 Mac (Hrkh) - Bagi menghentikan spekulasi pilhan raya akan datang demi memberi tumpuan kepada pembangunan negara, Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi disarankan mengumumkannya lebih awal.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Haji Mahfuz Omar berkata dengan cara ini selain menghentikan spekulasi tersebut dapat menunjukkan bahawa negara dan kerajaan melaksanakan sistem demokrasi yang baik namun adalah sesuatu yang mustahil untuk menghentikan spekulasi tarikh tersebut selagi Abdullah masih mendiamkan diri.
"Sebaiknya Abdullah umumkan bila bulan dan tahunnya pilihan raya akan diadakan tanpa menyebut tarikh tepat," katanya ketika menghubungi Harakahdaliy sebentar tadi.
"Dengan cara ini,wakil-wakil rakyat Barisan Nasional (BN) tidaklah sibuk dengan agenda kepentingan diri dalam mencari sokongan dan boleh menumpukan kepada isu-isu pembangunan dan membela nasib rakyat," katanya yang merujuk kepada kenyataan Abdullah yang juga Presiden Umno supaya semua pihak tidak terlalu membuat spekulasi mengenai tarikh pilihan raya umum akan datang.
Tanpa tarikh tersebut, wakil-wakil BN dan Umno tidak boleh menumpukan tugas terhadap pembangunan negara, khususnya RMK9 dan agenda membela rakyat kerana lebih risau dan mementingkan kerusi masing-masing yang sudah hampir tamat hayat dan tempohnya, malah melambangkan sikap penakut Abdullah sendiri.
Sikap ini jugalah yang merosakkan negara, kerana selama ini Umno dan BN sering mengerahkan jentera kerajaan untuk menghadapi pilihan raya sedangkan urusan persediaan tersebut adalah di bawah tanggungjawab jentera parti.
Akibat Umno dan BN mencampur-adukkan urusan jentera kerajaan dengan jentera parti selama ini yang menyebabkan Abdullah terpaksa menegur supaya dihentikan spekulasi tersebut kerana boleh menganggu pengurusan negara.
"Menteri yang menguruskan projek kerajaan adalah menteri yang sama dikerahkan untuk memastikan kemenangan pilihan raya dengan jentera kerajaan," katanya lagi sambil menambah mengumumkan tarikh lebih awal menunjukkan Malaysia demokratik dan banyak negara di dunia telah mempraktikkan.
Malah negara-negara tersebut katanya, demokrasi dan suasana politiknya semakin terpelihara dan tidak tergugat kestabilannya.
"Inilah kelemahan kerajaan yang tidak bijak mengagihkan tanggungjawab yang mana selama ini bercampur aduk urusan hingga mengakibatkan banyak projek kerajaan terbengkalai dan nasib rakyat terabai," katanya lagi. - mks.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment