Monday, March 5, 2007

Menang pilihan raya secara menipu, Pak Lah kini menerima padah

Mohd Sabri Said Mon Mar 05, 07 08:30:29 AM
KEPALA BATAS, 5 Mac (Hrkh) - Kini, Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi menerima padah bila mengecapi kemenangan pilihan raya ke-11 lalu melalui jalan 'penipuan'.
Begitulah reaksi Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu bila ditanya mengenai isu terbaru yang membabitkan Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), Dato' Seri Zulkipli Mat Noor yang dituduh mengamalkan rasuah dan jenayah seksual.
"Mungkin itu satu balasan dari Allah kerana kemenangan Barisan Nasional (BN) cara menipu. Satu persatu isu mencengkam pentadbiran Pak Lah sedangkan masa terlalu dekat dengan tarikh pilihan raya umum, " ujarnya.
Kerajaan katanya, wajar malu dengan tindak tanduk orang besar BPR yang diharap membendung rasuah rupa-rupanya perasuah yang disegani.
Tindakan seharusnya diambil segera tambah beliau, kerana ia merupakan perilaku yang tidak sihat dan akan menjadi ikutan individu lain di peringkat bawahan.
"Jenayah berprofil tinggi makin menjadi-jadi semasa pengtadbiran Abdullah. Itu menandakan satu kelemahan yang rakyat perlu tahu, " terangnya.
Selain dari itu kata beliau, kes Eric Chia, kematian model Mongolia yang dibom sehingga berkecai, ciuman manja isteri Timbalan Perdana Menteri dan belaian kasih Pak Lah sendiri ketika makan malam Monson Cup di Terengganu dan sebagainya seolah memberitahu ia merupakan 'bom hayat' yang menanti BN bila tiba pilihan raya kelak.
Beliau juga yakin kenaikan harga minyak yang berulang, kenaikan tol yang melampau, harga makanan yang tidak stabil dan kejatuhan ekonomi yang teruk boleh mengundang kemerosotan undi pada BN kali ini.
Satu lagi isu yang mengemparkan masyarakat Malaysia ialah kaji selidik yang dilakukan oleh Univesiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terhadap 887 remaja bermasalah yang mana seorang sahaja dari jumlah itu tidak melakukan seks.
Walaupun ramai menteri bangun menafikannya termasuk Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Khir Toyo namun pihak UKM mempertahankan keputusan tersebut.
"Apa yang akan terjadi selagi BN memerintah. Itu tidak termasuk lagi 1.3 juta penagih dadah terdiri dari bangsa Melayu, " tegasnya.
Sebelum itu, beliau yang berucap dalan majlis 'Dialog Pekerja' yang diadakan di Penang Golf Resort, Bertam, Kepala Batas berharap warga industri bangun prihatin bersama rakyat untuk kembalikan demokrasi yang sudah jahanam.
Menurutnya lagi, penindasan terhadap pekerja masih berlaku di Malaysia akibat ketiadaan beberapa perjanjian mengikut iklim pelaburan yang sepatutnya.
"Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato' Seri Rafidah Aziz bertanggungjawab penuh terhadap apa jua masalah yang membabitkan perjanjian yang diberikan kepada pelabur asing termasuk tidak membenarkan kesatuan di kilang elektronik ditubuhkan dan isu sembahyang Jumaat, " jelasnya.
Program anjuran Kelab Amanah Rakan Industri (KARIB) dan Unit Amal Kawasan Kepala Batas turut dihadiri oleh Pemangku Pengerusi KARIB, Bukhari Ghazali dan Setiausaha Khas urusan persoalan Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir, Saiful Lizan Mohd Yusuf. - mks.

No comments: