Monday, March 5, 2007

Rakyat digesa hukum pemimpin rasuah, rosakkan demokrasi melalui pilihan raya

Mohd Sabri Said Tue Mar 06, 07 12:31:57 AM
KEPALA BATAS, 6 Mac (Hrkh) - Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang menyeru rakyat agar menghukum kepimpinan negara yang banyak melakukan 'rompakan terhormat' sehingga merosakkan sistem serta mengoyak perundangan yang selama ini dihormati.
Menurutnya lagi, rakyat tidak wajar menjadikan pemimpin yang rakus dan terlibat dengan berbagai kesalahan sebagai idola untuk mengekalkan mereka memegang tampuk pemerintahan.
Beliau ketika berucap di hadapan puluhan ribu hadirin di Kota Aur, Penaga menambah, sikap hormat kepada pemimpin yang berakhlak kotor tidak seharusnya berlaku malahan mesti menjatuhkan mereka dalam pilihan raya umum kelak.
"Kepimpinan yang perlu dicontohi ialah kepimpinan yang jauh dari skandal atau rasuah malahan mengamalkan prinsip Islam yang tinggi, " jelasnya dalam ceramah anjuran Lajnah Penerangan PAS Negeri dan PAS Kawasan Kepala Batas.
Rakyat tegas beliau, kena menjadi hakim sebagaimana yang dilakukan oleh rakyat England pada tahun 1960an di mana kerana skandal membabitkan salah seorang menteri kanan dengan seorang pelacur yang menjadi agen Soviet Union akhirnya parti yang memerintah jatuh dan hilang kuasa memerintah.
Begitu juga di Jepun, seorang pegawai kanan di Jabatan Perdana Menteri yang terlibat dengan rasuah dihukum rakyat bila mana parti yang memerintah tersungkur.
"Bukan Perdana Menteri Jepun yang lakukan rasuah tetapi anak buahnya. Rakyat terpaksa hukum kerana Perdana Menteri tidak pandai jaga kepimpinan negara, " ujarnya yang juga bekas Menteri Besar Terengganu pada penggal lalu.
Selain itu, menurutnya negara Jerman juga berlaku begitu apabila pegawai kanan yang terlibat dengan risikan sehingga memporakperandakan masyarakat menyebabkan rakyat terus menghukum pemerintah.
Sementara, di India zaman Parti Kongres pimpinan Indra Ghandhi juga menerima nasib sama ketika berlaku penyelewengan pembelian senjata dari Sweden apabila setelah akhbar mendedahkan penipuan pembelian tersebut Parti Kongres jatuh dalam pilihan raya umum.
"Semua negara mengamalkan demokrasi, rakyat boleh hukum pemerintah yang zalim dan menyeleweng tetapi di Malaysia banyak mana pendedahan penipuan dan skandal seks sekalipun mereka terus menang dan mendapat mandat memerintah,"katanya.
Inilah yang dikatakan Melayu mudah lupa bila sampai tarikh pilihan raya mereka disogok dengan kain pelikat dan wang RM10.00 semua hilang.
Sedangkan, mereka terpaksa merengkok dengan penderitaan selama lima tahun lagi jika mahu mengubah pemerintah.
"Di Malaysia banyak kes seperti Perwaja Steel yang mengalami kerugian berbilion ringgit tidak dikenakan apa-apa tindakan cuma bila dekat dengan tarikh pilihan raya barulah Eric Chia diheret ke mahkamah dan kemudiannya tinggal di hospital yang dianggap macam hotel, " katanya.
Kelengkapan pertahanan juga mengalami kerugian apabila Malaysia gagal membawa balik kapal terbang Sky Hawk yang dianggap termoden di penghujung 1960an tetapi di mana kapal terbang tersebut tersadai di padang pasir Arizona.
Selain dari Dato' Seri Abdul Hadi Awang turut berceramah sama ialah Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu.
Sebelum mengadakan ucapan pada sebelah malamnya beliau telah menyampaikan amanat pada ahli di Iftimak Tarbawwi di Markas Tarbiyah PAS Negeri di Pongsu Seribu dan berjumpa kepimpinan PAS sempena pelancaran 'Bulan Penerangan' di tempat yang sama pada sebelah petang.
Hadir dalam program tersebut ialah Ketua Penerangan PAS Negeri, Omar Hasan, Setiausaha Perhubungan, Zulkifli Mohd Akhir dan Yang DiPertua PAS Kawasan Kepala Batas, Bokhari Ghazali. - mks.

1 comment:

Aku,Pasbuih Dan Siamang said...

PIN pas DI kEDAH SENDIRI BERBOHONG DAN PUTAQ ALAM!! CERMIN2 LAH DIRI WAHAI ULAMA THAGHUT pas HOI!!