Anis Nazri Thu Mar 01, 07 09:55:11 AM
KUALA LUMPUR, 1 Mac (Hrkh) - Tanggapan sesetengah ibu bapa yang mengatakan kesibukan kerja sebagai tanda kasih sayang kepada anak-anak bagi menjamin masa depan mereka, tidak tepat sekiranya kesibukan itu menyekat masa bersama anak-anak.
Walaupun mencari rezeki untuk masa depan anak memang merupakan tanggungjawab ibu bapa, kealpaan ibu bapa meluangkan masa untuk anak-anak akan mengakibatkan anak-anak menjadi semakin jauh daripada mereka.
Pakar motivasi kekeluargaan, Dato' Dr Hasan Ali, berkata ada ketikanya akibat terlalu sibuk dengan kerja, malah membuat kerja sambilan, ibu bapa sering kali lupa beberapa perkara yang perlu dititikberatkan terhadap anak-anak.
Luang masa, pantau pelajaran dan asuh
Beliau yang merupakan Pengarah Akademi Keluarga Bahagia Malaysia (Akrab) sejak 25 tahun lalu, menegaskan ibu bapa perlu memperuntukkan sedikit masa untuk anak, memantau pelajaran, serta terus mengasuh mereka.
"Sekiranya tiga perkara itu tidak dipraktikkan ibu bapa, anak-anak akan semakin jauh dan jauh, hingga akhirnya tiada di jalan yang sama dengan ibu bapa dan keluarga. Kalau kerja kerana sayangkan anak, mengapa tidak panjangkan kesayangan itu dengan memberi perhatian dan berbincang bersama anak-anak tentang masa depan mereka? " soal Hasan.
Tambahnya, dengan adanya perbincangan dan pemantauan berterusan, hubungan kekeluargaan ini dapat dikekalkan, terurus dan lebih memantapkan institusi kekeluargaan itu sendiri.
Meningkatkan ilmu keibubapaan
Menyedari masalah sosial melibatkan anak muda semakin membarah dalam masyarakat hari ini, ibu bapa tidak boleh berharap sepenuhnya kepada guru-guru untuk membimbing anak-anak, tanpa mengambilkira untuk melengkapkan diri mereka dengan ilmu keibubapaan.
Hasan berkata, ibu bapa yang berjaya adalah ibu bapa yang berilmu, kerana apabila asuhan itu bersandarkan ilmu, anak-anak yang diasuh dan dididik dalam suasana itu juga akan mendapat ilmu yang baik.
Sebaliknya jika ibu bapa itu sendiri jahil, maka anak-anak yang dididik itu akan menjadi lebih jahil dan kata-kata ibu bapa akan menjadi seolah-olah 'mencurah air ke daun keladi'.
"Ibu bapa perlu melengkapkan diri mereka dengan ilmu keibubapaan, seimbang ilmu dunia dan akhirat bagi menjamin ilmu yang diterima anak-anak juga seimbang," jelas Hasan yang komited dengan pelbagai program kekeluargaan dan kecemerlangan pelajar melalui syarikat motivasinya, Akrab.
Undang-undang wajib anjur 'Hari Keluarga'
Menyedari kepentingan institusi kekeluargaan, beberapa wilayah di Amerika Syarikat telah membentuk satu undang-undang bahawa setiap keluarga di wilayah terbabit wajib menganjurkan sekurang-kurangnya sekali 'Hari keluarga'.
Menurut Hasan, satu hari itu merupakan hari untuk sesebuah keluarga meluangkan satu masa bersama, sama ada keluar meraikannya dengan makan malam bersama, mengadakan permainan atau aktiviti kekeluargaan.
Dengan cara ini, katanya sesebuah institusi kekeluargaan itu akan lebih mantap dan sentiasa diserikan dengan kebahagiaan dan keceriaan, di samping anak-anak akan sentiasa hampir dengan ibu bapa.
Ramai lelaki kurang peka
Pengalamannya mengendalikan pelbagai program kekeluargaan, termasuk program '24 Jam: Kasih Dirayu, Sayang Dipadu', Hassan berkata tidak ramai lelaki, khususnya suami yang peka berhubung isu kekeluargaan ini, berbanding para isteri.
"Saya menerima banyak aduan, kadangkala isteri dan anak-anak begitu berminat dengan program saya itu, tetapi suami tidak. Sama ada isteri minta izin, suami buat tak endah, atau suami tak tunjuk apa-apa respon bila isteri sebut tentang itu. Ada suami yang peka, tapi tak ramai," jelas beliau.
Hasan berkata isu ini sebenarnya perlu melibatkan kedua-dua belah pihak. Apatah lagi, ramai isteri sekarang sudah keluar bekerja, berbanding menjadi surirumah seperti zaman dahulu.
Kerajaan sebut, tapi tak implimentasi
Beliau yang juga Naib Presiden PAS, berkata kerajaan sering menyebut tentang kepentingan kekeluargaan, namun tiada sebarang implimentasi untuk merealisasikannya.
Pintu kemaksiatan yang terbuka luas memberi ruang kepada anak-anak muda yang tidak mendapat perhatian ibu bapa ke kancah sosial yang menjelekkan merupakan cabaran utama kepada ibu bapa dalam membentuk dan mendidik anak-anak.
Justeru, ibu bapa tidak seharusnya lupa tanggungjawab utama mereka untuk mengasuh anak-anak, serta mengambil tahu segala aktiviti anak sejak kecil agar mereka sentiasa dekat dengan keluarga. - mks.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment