Azamin Amin Mon Mar 12, 07 04:27:03 PM
KUALA LUMPUR, 12 Mac (Hrkh) - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dinasihatkan supaya lebih mesra rakyat dan jangan bersifat angkuh dalam menangani aduan dan permintaan rakyat berhubung dengan tuntutan dan tanggungjawabnya sebagai sebuah badan bebas.
Bendahari PAS, Dr Hatta Ramli berkata pelanggan kepada SPR selama ini adalah rakyat jelata dan pengundi, oleh yang demikian semua tanggungjawab yang dilaksanakan perlulah dimaklumkan dari masa ke semasa supaya rakyat lebih memahami bidang tugas SPR selama ini.
"Janganlah mendabik dada dan bersifat biadab," katanya ketika dihubungi oleh Harakahdaily.
"Biarlah bersifat 'friendly' dalam memahamkan rakyat tentang tugas SPR,malah pada kaca mata rakyat bahawa SPR adalah 'everything' dalam melakukan perubahan" katanya lagi.
Beliau diminta mengulas berhubung Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman yang kesal dan kecewa ramai yang tidak memahami tugas SPR dan dipetik sebagai berkata :"Dapatkan fakta sebenar sebelum mengajar saya melakukan kerja saya," malah beliau turut menggesa supaya pihak-pihak tertentu berbincang terus dengan kerajaan.
Selepas ini kata Dr Hatta menyarankan supaya SPR berterus terang sahaja kepada rakyat bahawa badan itu sudah tidak berfungsi lagi, tidak berkuasa, tidak bebas malah segala tindakannya mesti dirujuk kepada kerajaan Barisan Nasional.
"SPR sebenarnya sudah hilang kredibiliti kerana tiada kuasa apa-apa melainkan mengikut telunjuk BN sahaja.
"sepatutnya SPR berterus teranglah kepada rakyat, di samping mendedahkan segala kelemahan serta kepincangan yang ada," katanya lagi.
Beliau turut menambah bahawa segala tuntutan terhadap SPR oleh beberapa kumpulan di negara ini seperti Malaysia untuk Pilihan Raya Bebas dan Adil (Mafrel) serta Gabungan Untuk Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) termasuk pihak pembangkang seperti PAS berasaskan bahawa,ianya di bawah bidang kuasa SPR dan kapasiti SPR untuk menasihati kerjaan dalam hal yang tertentu demi kebaikan rakyat dan pengundi.
SPR tidak melayan dan penuhi tuntutan Bersih
Katanya walaupun sedia maklum bahawa tuntutan tersebut tidak dipenuhi malah tidak dilayan SPR sama sekali namun usaha untuk membaik pulih dan mereformasikan proses pihan raya tetap menjadi salah satu agenda utama bagi kumpulan-kumpulan terbabit dan rakyat jelata.
"Kita sedia maklum bahawa SPR sudah tiada kuasa untuk berbuat apa sahaja perubahan memandangkan perlu merujuk kepada parti pemerintah, kerajaan Barisan Nasional," katanya.
"Namun sekurang-kurangnya SPR berbincang dengan kerajaan demi menjadikannya sebuah badan yang bebas disamping dapat mengubah segala kelemahan yang ada," katanya lagi.
Sebelum ini SPR dalam suratnya bertarikh 15 Januari lalu kepada Pengerusi Badan Penggerak Demokrasi yang juga Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu, menunjukkan ada kesungguhan untuk meneliti salah satu tuntutan tersebut kecuali membersihkan daftar pemilih dan pengundian secara pos.
Antara lainnya berhubung tuntutan celup cap jari menggunakan dakwat, SPR akan meneliti beberapa alternatif lain seperti penggunaan cap cari atau biometriks sebagai pengesahan bahawa seseorang itu telah pun mengundi.
Namun Rashid dalam laporan akhbar semalam menyanggah dengan menyatakan cadangan untuk menanda jari kepada pengundi yang sudah mengundi dengan menggunakan dakwat khusus, tidak perlu dilakukan kerana rakyat Malaysia sudah mempunyai bukti kukuh untuk mengesahkan identiti mereka. - mks.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment