Rizal Tahir Tue Mar 20, 07 06:46:25 PM
KOTA BHARU, 20 Mac (Hrkh) – Hilang elaun RM500 sebulan atau pindah tempat mengundi. Inilah dilema yang melanda guru-guru Kelas Agama dan Fardhu Ain (Kafa) di Kelantan sekarang.
Mereka dikatakan dipaksa menukar alamat tempat mengundi di tempat yang telah ditetapkan Umno bahagian. Keadaan itu difahamkan berlaku secara berleluasa di bahagian ini.
“Guru-guru Kafa di Kota Bharu dipaksa menukar alamat bagi membolehkan mereka mengundi di tempat yang telah ditetapkan. Sekiranya enggan berbuat demikian jawatan guru Kafa akan dilucut,” kata satu sumber di sini.
Sumber itu juga mendakwa agen khas dilantik bagi mencari seramai mungkin pengundi muda untuk dipindahkan di kawasan tertentu dan setiap pendaftaran dibuat akan dibayar RM5.
Manakala pemuda yang berjaya dipujuk dipindahkan tempat mengundi pula akan dibayar RM10 setiap seorang. Taktik yang sama juga difahamkan dilakukan Umno bahagian lain termasuk Kubang Kerian.
Selain itu, Umno juga difahamkan cuba mempengaruhi pelajar-pelajar sekolah agama dengan menawar mereka menyertai rombongan melawat ke tempat-tempat menarik di seluruh negara.
Dan apabila pelajar terbabit sudah masuk ke dalam perangkap mereka, Umno akan menyuntik perkara-perkara negetif tentang PAS dan kerajaan negeri.
Mengulas perkembangan tersebut Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri, Mohd Zaki Ibrahim berkata, Umno Kelantan sekarang benar-benar terdesak dan mereka mahu mengulangi kejayaan di Terengganu pada pilihan raya umum lalu.
“Umno mengharap melalui taktik tersebut mereka dapat merampas kerajaan negeri yang dikuasai PAS sejak hampir 17 tahun. Bagaimanapun taktik itu berjaya dihidu, di mana seramai 10,000 pengundi akan dipindahkan ke negeri ini,” katanya.
Beliau mendakwa usaha tersebut dilakukan Umno dengan kerjasama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan beberapa agensi lain kerajaan.
Oleh itu katanya, bagi menutup taktik tersebut, Pergerakan Pemuda Umno pula membuka pekung dengan menuduh PAS memindah pengundinya ke kawasan yang mempunyai kekuatan hampir setara.
“Usaha itu ternyata berjaya pada pilihan raya umum yang ke-11 di Terengganu, maka taktik yang sama cuba dipraktikkan di sini,” katanya di sini.
Baru-baru ini, Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin dilaporkan mendakwa PAS Kelantan giat menjalankan gerakan memindahkan pengundi dari kubu kuat ke kawasan agak lemah.
Menurutnya, taktik itu dikesan Biro Penambahan Ahli dan Daftar Pemilih Pemuda Umno berdasar kepada pemantauan yang dilakukan di peringkat akar umbi.
Pada kes petisyen pilihan raya kecil Pengkalan Pasir tahun lepas, PAS berjaya membuktikan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu terdapat kes penyamaran. Begitu juga di Likas mahkamah mendapati wujud kes pengundi hantu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment