Anis Nazri Tue Mar 06, 07 11:29:12 AM
KUALA LUMPUR, 6 Mac (Hrkh) - Rakyat tidak selesa dengan komen Perdana Menteri terhadap dua kes rasuah terkini yang membabitkan Ketua Pengarah BPR, Dato' Seri Zulkipli Mohd Noor dan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Dato' Mohamad Johari Baharum.
Sebaliknya, PM sepatutnya menubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan DiRaja perlu ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan rasuah terhadap kedua-duanya yang boleh mencemar maruah kerjaaan jika didapati terbabit.
Langkah tersebut perlu dilakukan kerana ia melibatkan pegawai kanan BPR sendiri, yang sepatutnya membantu membanteras masalah rasuah, serta timbalan menteri yang terbabit dengan penguatkuasaan dan keselamatan.
AJK PAS Pusat, Mahfuz Omar berkata, langkah itu juga bagi menjamin ketelusan dalam setiap siasatan yang dilakukan terhadap kedua-duanya.
"Kita tak yakin dengan institusi polis dan BPR. Macamana mereka nak siasat dengan telus, Zulkipli itu juga polis yang dipinjamkan ke BPR, dan BPR sendiri mahu siasat ketuanya sendiri?" soal Mahfuz yang juga Pengerusi Institut Pengemblengan dan Pembangunan Komuniti (Impak).
Jelasnya, berdasarkan pengalaman siasatan ke atas kes Dato' Seri Anwar Ibrahim, berkaitan 'mata lebam' itu, siasatan polis tidak menemui sebarang suspek.
Namun, tambah Mahfuz apabila Suruhanjaya Di Raja ditubuhkan, barulah orang yang bertanggungjawab mencederakan Anwar itu ditemui. Malangnya, orang yang melakukannya pula ialah Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Rahim Noor.
"Jadi, berdasarkan kes itu, bolehkah kita percaya polis menyiasat kes ini, sedangkan mereka (polis) 'melindungi orang-orang mereka'. Begitu juga dengan soal menteri. Bolehkah mereka siasat dengan penuh jujur orang yang lebih berpangkat dari mereka?" soal Mahfuz lagi.
Justeru, tegasnya langkah terbaik yang perlu dilakukan ialah penubuhan suruhanjaya yang boleh menyiasat secara telus dan diyakini semua pihak. - mr
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment