Wan Nordin dan Intan Abdullah Wed Mar 21, 07 05:23:14 PM
KUALA LUMPUR, 21 Mac (Hrkh) - Isu ketinggalan dari arus pembangunan bukanlah isu yang baru bagi dua negeri yang terasing dari Semenanjung Malaysia, iaitu Sabah dan Sarawak meskipun dua negeri ini terus dijajah oleh Barisan Nasional (BN) melalui parti komponennya.
Awal penggal Parlimen ke-11, beberapa ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak cukup lantang dalam mengutarakan isu diskriminasi pembangunan yang dihadapi oleh beberapa kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak.
Antaranya isu tiada jalan berturap, bekalan air yang belum disambung, bekalan elektrik yang sering terputus kerana sistem yang teruk selain ketiadaan kemudahan asas seperti hospital dan klinik desa.
Begitupun selepas Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), penduduk di Sabah dan Sarawak sekarang melihat satu sinar baru kepada mereka bila mana mereka dijanjikan dengan pembangunan yang melimpah.
Namun di Dewan Rakyat hari ini janji itu mula dipertikaikan dengan kerajaan pusat dilihat hanya mengutamakan pelan pembangunan Koridor Wilayah Selatan, Timur dan Utara sebaliknya mengetepikan pelan bagi membangunkan Koridor Wilayah Sabah.
Hakikat ini disuarakan oleh Ronlad Kiandee (BN-Beluran) dalam soalan tambahannya berhubung teras pembangunan Koridor Sabah di Dewan Rakyat hari ini dengan menyifatkan RMK-9 tidak mengutamakan pembangunan Koridor Sabah.
Menurut Ronald, meskipun kerajaan telah menyatakan gagasan untuk membentuk pembangunan di Koridor Sabah, namun hingga kini pelan pembangunannya masih tidak dikemukakan berbanding tiga koridor di Semenanjung.
Katanya, dalam RMK-9 pembangunan koridor Sabah turut diberi penekanan seperti juga koridor-koridor yang lain sedangkan tanggapan rakyat di Sabah terhadap pelan koridor ini diberi 'emphasis' yang besar seperti juga koridor-koridor yang lain di Semenanjung.
Bagaimanapun Ronald berkata, beliau tidak mengecilkan usaha tiga agensi yang bekerjasama bagi menjayakannya tetapi jika dibandingkan dengan usaha pembinaan koridor raya tersebut di Semenanjung syarikat berkepentingan kerajaan (GLC) diberikan peranan yang besar untuk menjana pembangunan koridor ini.
Sedangkan Sabah dan Sarawak tidak dimasukkan dalam dokumen penting RMK-9 bagi tujuan yang sama, katanya.
"Kenapa kerajaan terlepas pandang ini, apakah tindakan bagi memulihkan semula keadaan ini sesuai dengan pembangunan yang dirancang di Semenanjung,"katanya lagi.
Turut serta mengutarakan isu tersebut, Dato' Madius Tangau (BN-Tuaran) yang berkata, pengumuman tentang Koridor Sabah ini dibuat oleh Perdana Menteri ketika merasmikan lapangan terbang di Kota Kinabalu, sambil mempertikai apakah Koridor Sabah itu satu perancangan 'after talk'.
Beliau juga berkata, perancangan ekonomi di Semenanjung, GLC-GLC di sana diberi peranan yang besar untuk menjana pembangunan di Semenanjung, namun di Sabah kerajaan katanya seolah terlepas pandang kerana baginya setakat ini tidak dinyatakan jenis pembangunan yang ditetapkan bagi koridor tersebut.
Sementara itu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Joseph Entulu Anak Belaun menafikan dakwaan menyatakan kerajaan tidak mengambil berat pembangunan Koridor Sabah.
Menurut Joseph, masalah utama dalam isu tersebut ialah, setakat ini jenis pembangunan yang ingin ditetapkan belum lagi dibuat kerana ia masih di peringkat kajian oleh tiga agensi yang dilantik untuk membuat kajian.
Bagaimanapun ketika Joseph mengemukakan jawapan, perbahasan beliau dicelah oleh Dato' Seri Tiong Thai King (BN-Bintulu)yang menyatakan jawapan Joseph itu tidak boleh diterima pakai.
"Jawapan ia tidak bolehlah diterima, walaupun dia (Joseph) orang Sarawak," kata Thai King. - mks.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment