Abdul Halim Mohd Rashid Mon Mar 26, 07 03:19:06 AM
KUALA LUMPUR, 26 Mac (Hrkh) - Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub dijangka akan membangkitkan tuduhan rasuah yang semakin panas ke atas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, dalam ucapannya di Parlimen hari ini.
Dalam laporan polisnya terhadap Musa, Timbalan Ketua Perhubungan PKR Sabah Datuk Dr Jeffrey Kitingan menuduh Ketua Menteri Sabah itu terlibat dengan kegiatan jenayah, pecah amanah, salah laku, salah guna kuasa dan rasuah.
"Di dalam laporan itu terdapat 25 tuduhan yang sangat serius dan Ahli-Ahli Parlimen perlu bertanggungjawab kepada rakyat dengan mendesak polis menyegerakan penyiasatan ke atas tuduhan-tuduhan itu," katanya.
Sementara itu, dalam usahanya untuk mengelak dari memberi sebarang jawapan dan ulasan, Musa memilih untuk mengambil sikap tidak melayan atau menjawab sebarang tuduhan yang dilemparkan terhadapnya dan kerajaan negeri dalam Internet.
Beliau memberikan alasan mahu memberikan tumpuan kepada tugasnya sebagai Ketua Menteri yang dipertanggungjawab mengurus dan menentukan pembangunan Sabah dan adalah lebih baik masanya ditumpukan untuk bekerja demi kebaikan rakyat.
‘‘Kita amalkan budaya lebih bekerja dan kurang bercakap untuk kepentingan rakyat. Saya tidak ada masa untuk melayan semua perkara ini (laporan laman web).
‘‘Kita mempunyai peruntukan besar untuk tujuan pembangunan, oleh itu adalah tanggungjawab kita melaksanakannya,” katanya.
Salahuddin membidas sikap Musa yang seolah-olah memperlecehkan laporan dalam Internet.
"Laporan Malaysia Today itu disokong oleh salinan laporan polis Jeffrey, bukan tuduhan surat layang.
"Musa boleh memperlecehkan laman web tetapi tumpuan kita ialah kepada laporan polis tersebut dan kita akan menguatkan lagi desakan kepada pihak polis supaya menyegerakan penyiasatan tanpa takut dan tanpa memihak," kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu yang juga Ketua Whip PAS.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment