Intan Abdullah Fri Mar 30, 07 10:32:00 AM
KUALA LUMPUR, 30 Mac (Hrkh) - Kenyataan kerajaan tidak tahu-menahu mengenai pengagihan komisen dalam urusan pembelian pesawat MIG seperti dalam jawapan Timbalan Menteri Keselamatan, Dato' Zainal Abidin Zin disifatkan sebagai satu penafian yang tidak berasas oleh pihak kerajaan, kata Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu.
Beliau berkata kenyataan kerajaan tentang pemberian komisen untuk pembelian pesawat MIG tersebut merupakan satu usaha untuk melindungi kegiatan rasuah dan penyelewengan yang berleluasa dalam kerajaan
Mohamad Sabu juga menyarankan agar dibentuk satu suruhanjaya bagi menyiasat gejala rasuah yang berlaku dalam kementerian-kementerian di Malaysia agar perkara ini dibuka agar rakyat tahu perkara yang sebenarnya
"Apa yang berlaku jelas menunjukkan kerajaan Abdullah Ahmad Badawi ini tidak serius dalam memerangi gejala rasuah, sepertimana yang dikatakan beliau akan berusaha menghapuskannya. Tetapi segalanya hanyalah cakap politik semata-mata," ujarnya
Tambah beliau, pemberian komisen berjumlah 114 juta euro (RM 530 juta) kepada Altantuya dalam pembelian kapal selam Scorpion dan Agosta dari Perancis oleh Malaysia dalam perjanjian bernilai hampir 1 bilion euro (RM4.6 bilion), pada peringkat permulaan kerajaan menafikannya.
Walau bagaimanapun, kerajaan kemudian mengakui berlaku urusan pembelian tersebut dengan ada 'mark-up price' lagi, katanya tegas.
Terdahulu, dalam Sidang Dewan Rakyat, Zainal Abidin menyatakan, kerajaan tidak memempunyai maklumat mengenai komisen pembelian jet-jet pejuang M.I.G dari Rusia dan sehingga ini tidak mengetahui siapakah agen yangg telah dibayar untuk memperolehi jet pejuang MIG tersebut.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan yang dikemukakan oleh M. Kulasegaran (DAP - Ipoh Barat) yang mempersoalkan adakah Kerajaan terlibat dalam pembayaran RM100 juta sebagai komisen untuk memperolehi kapal selam, sama seperti kes pembelian pesawat MIG di mana difahamkan berjuta-juta ringgit telah dibayar melalui agen-agen.
Kulasegaran turut mempertikaikan keperluan perlantikan agen-agen tersebut memandangkan kerajaan sendiri boleh mengadakan perbincangan rasmi menerusi kerajaan untuk memperolehi jet tersebut.
Persoalan tersebut timbul ketika Zainal Abidin menjawab soalan yang dikemukakan oleh Tengku Razaleigh Hamzah (BN - Gua Musang) yang meminta penjelasan sama ada kerajaan berpuas hati dengan prestasi jet pejuang miliknya, termasuk M.I.G. yang dibeli dari Russia.
Sebelum ini, berhubung perkara yang sama, bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim pernah membangkitkan persoalan mengenai peranan Altantuya dalam pembelian kapal selam Scorpion dan Agosta dari Perancis oleh Malaysia dalam perjanjian bernilai hampir 1 bilion euro (RM4.6 bilion).
Dakwanya, pembayaran komisyen berjumlah 114 juta euro (RM 530 juta) nyata amat mahal dan rakyat perlu mengetahui siapa yang menerimanya, apatah lagi pendedahan Far Eastern Economic Review pada 2002 mengatakan Perimekar Sdn Bhd akan menerima lapan peratus dari jumlah kontrak dalam masa enam tahun akan datang.
Menurut penerbitan itu lagi, Perimekar dimiliki 100 peratus oleh Ombak Laut, syarikat milik Abdul Razak Baginda dan rakan-rakannya./wann
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment