Salmah Mat Husain Thu Mar 01, 07 09:51:49 AM
KOTA BHARU, 1 Mac (Hrkh) – Kejayaan kerajaan negeri mewujudkan skim Takaful Warga Emas (Kifaalah) benar-benar meresahkan Umno apabila rakyat tanpa mengira ideologi politik, agama dan bangsa menerima skim tersebut.
Malah wakil-wakil rakyat Barisan Nasional yang diketuai Dato’ Seri Annuar Musa tidak mampu mempertikaikan skim itu kerana manfaatnya sudah dirasai rakyat.
Timbalan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Yakob berkata, sambutan rakyat termasuk di kalangan penyokong Umno sendiri terhadap program kifaalah telah menyebabkan pemimpin Umno dan BN menjadi kelam kabut.
“Pemimpin Umno begitu rimas kerana rakyat menyambut baik skim yang diperkenalkan. Mereka sekarang sering bercakap mengenai skim kifaalah,” ujarnya ketika ditemui di pejabatnya, semalam.
Skim tersebut yang dilancarkan baru-baru ini mendapat sambutan menggalakkan. Warga emas yang berusia 60 tahun ke atas layak menyertai skim terbabit.
Manfaat yang diperolehi apabila mereka meninggal dunia akan dibayar sebanyak RM2,500 di mana RM500 akan diberi segera sebagai khairat kematian untuk urusan jenazah.
Ahmad berkata, program itu diperkenalkan sebagai usaha kerajaan negeri menjadikan Kelantan sebagai negeri berkebajikan.
“Skim kifaalah ternyata mampu menjaga kebajikan rakyat, di mana pewaris kepada pencarum yang meninggal dunia mendapat manfaat tersebut dalam tempoh yang singkat. Sedangkan mereka tidak pernah mengeluarkan wang sesen pun.
“Sehingga kini lebih 34 warga emas yang telah meninggal dunia termasuk bangsa Cina di Kampung Salor dan seorang lagi berbangsa Siam dari Wakaf Bharu menerima manfaatnya,” ujar beliau.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment