Salman Hussin Tue Mar 20, 07 09:11:37 AM
KOTA TINGGI, 19 Mac (Hrkh) – Seramai 65 keluarga mangsa banjir di Kampung Batu 25, dekat sini, telah menerima sumbangan dari Kerajaan Kelantan dan Yayasan Amal Malaysia, baru-baru ini.
Sumbangan berupa barang makanan ini telah disampaikan Ketua Penerangan PAS Johor, Mazlan Aliman, pada satu majlis ringkas yang diadakan di kampung berkenaan, Ahad lalu.
Ketika berucap pada majlis ini Mazlan berkata, selain bantuan barang makanan, rumah mangsa banjir yang rosak ketika banjir tempohari juga akan dibaiki.
“Bahkan bukan setakat rumah yang terlibat dengan banjir saja dibantu malah rakyat yang tidak berkemampuan pun akan kita bantu juga, katanya
Sehingga kini Yayasan Amal telah membantu membina beberapa rumah penduduk yang tidak berkemampuan di negeri ini dan usaha ini akan diteruskan lagi jika masih terdapat golongan rakyat yang memerlukan bantuan ini.
Katanya lagi, PAS sentiasa prihatin serta mengambil berat masalah rakyat, apa juga masalah dihadapi rakyat akan cuba dibantu sedaya mungkin, dan inilah komitmen kepada seluruh rakyat tanpa mengira fahaman politik, bangsa mahu pun agama.
"Namun begitu kemampuan kita amat terbatas, sumber kewangan kita terhad tetapi kita akan sentiasa berusaha mencari jalan bagi membantu rakyat yang memerlukan pertolongan.
"Dalam keadaan kita belum berkuasa pun kita sudah mampu memberikan bantuan kepada rakyat, walaupun ianya tidaklah sebesar mana tetapi sekurang-kurangnya ini menunjukkan kesungguhan kita untuk membantu rakyat terutama ketika rakyat sedang dilanda musibah.
“Sudah tentu apabila kita mempunyai kuasa serta kemampuan yang mencukupi bantuan yang akan kita beri jauh lebih besar lagi.dari apa yang ada hari ini,"katanya.
Jelasnya lagi, kerugian yang dialami setiap mangsa banjir lalu begitu besar jumlahnya sedangkan bantuan yang diberi kerajaan terlalu kecil, apakah bantuan RM500 ini sudah cukup memadai berbanding kerugian besar yang dialami mangsa banjir?
“Banyak harta benda musnah dan setiap mangsa banjir dianggarkan mengalami kerugian sehingga RM10,000, jika kerajaan benar-benar prihatin maka sudah tentu bantuan yang diberi jauh lebih besar lagi, bukan setakat RM500.00 sahaja," ujarnya lagi. - mks.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment