Roy Rasul Tue Mar 13, 07 04:59:33 PM
KUALA LUMPUR, 13 Mac (Hrkh) – Secara umum tindakan Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Presiden Parti KeADILan Rakyat (PKR), adalah satu langkah mengukuhkan parti PKR dan seluruh parti pembangkang menjelang pilihan raya umum ke-12 nanti.
Ahli Majlis Tertinggi PKR, Mustafa Kamil Ayub berkata, langkah tersebut akan memberi satu natijah yang baik dan amat positif termasuk usaha di pihak pembangkang mendesak kerajaan mewujud satu sistem pilihan raya yang lebih adil termasuk proses kemurnian Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu sendiri.
“Ini satu keputusan yang cukup penting dan strategik bagi Anwar dan parti PKR dan juga barisan pembangkang kerana hari ini terdapat juga pandangan bahawa Anwar tidak begitu serius bersama pembangkang cuma sekadar Penasihat PKR.
“Oleh yang demikian kesediaan dicalonkan sebagai Presiden PKR akan melambang satu kesungguhan dan keseriusan beliau bersama dengan KeADILan, barisan pembangkang dan gerakan reformasi keseluruhannya,” katanya semasa dihubungi Harakahdaily hari ini.
Baru-baru ini, Ketua Penerangan PKR, Tian Chua berkata mantan Timbalan Perdana Menteri itu, akan bertanding jawatan presiden PKR walaupun beliau dilarang memegang sebarang jawatan awam.
Katanya, parti mencalonkan beliau untuk bertanding jawatan Presiden dan Anwar bersetuju untuk bertanding.
Dalam pada itu Mustafa berkata, apabila Anwar dibebaskan mahkamah dan sewajarnya hak politik beliau segera diberikan kepadanya.
“Oleh yang demikian kesediaan dan kesungguhannya untuk menjadi Presiden PKR sebagai satu lambang bahawa kami menyatakan protes terhadap penganiayaan politik yang dikenakan kepada beliau,” katanya.
Oleh yang demikian katanya, tindakan menerima pencalonan serta kesungguhan partinya mencalonnya melambang bahawa ahli parti tidak mengiktiraf Anwar terlibat dengan jenayah sebaliknya beliau dizalimi hak politiknya selama ini,” katanya sambil menegaskan pengembalian Anwar ke arena politik nasional perlu diberikan segera.
Sementara itu, Ketua Biro NGO DAP Pusat, Ronnei Leu berkata masanya sudah tiba bagi Anwar untuk memegang jawatan penting dalam partinya.
Ini katanya yang dihubungi Harakahdaily hari ini, supaya merealisasikan kebaikan di segi perpaduan.
Malah katanya, selain memperkasakan PKR ia sekaligus akan menafi semua spekulasi bahawa Anwar akan kembali kepada Umno.
“Jika dia menjadi Presiden dengan sendiri akan melenyapkan spekulasi dan apa yang diharapkan lagi agar beliau dapat mencapaikan satu persefahaman di antara parti pembangkang yang lain,” katanya.
Tambahnya, kewibawaan dan fahaman politik ada padanya diharapkan dapat mencapai satu kesefahaman.
Malah katanya walaupun beliau meletakkan sepenuhnya Anwar untuk menubuhkan satu pakatan, sekurang-kurangnya boleh mencapai persefahaman ke arah itu.
“Maksudnya saya Anwar boleh menjadi satu jambatan kepada semua parti pembangkang,” katanya lagi.
Sementara iru, Presiden Jemaah Islah Malaysia (Jim), Zaid Kamaruddin yang dihubungi hari ini berkata, sepatutnya PKR sudah lama diterajui bekas Timbalan Perdana Menteri itu.
Walau bagaimanapun katanya, mungkin disebabkan sekatan undang-undang ke atasnya dan kerana itu Anwar hanya diletakkan sebagai penasihat.
Namun katanya, beliau melihat kehadiran Anwar tidak akan berlaku banyak perubahan dan hala tuju barisan pembangkang.
“Kemungkinan hanya berubah dalam parti PKR,” katanya lagi. - mks.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment