Bashir Ishak Wed Mar 21, 07 01:36:02 PM
SIMPANG EMPAT, 21 Mac (Hrkh) - Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan Amerika Syarikat (AS) bukan sahaja dilihat sebagai satu bentuk baru penjajahan ekonomi tetapi juga penjajahan ke atas akidah dan kedaulatan Islam.
"FTA yang mahu dilaksanakan antara Malaysia dengan AS bakal menyaksikan kemasukan pelbagai unsur. Selain barangan, AS juga akan mengeksport masuk budaya dan cara hidup mereka ke negara ini yang boleh mengugat moral dan akidah rakyat di negara ini khususnya umat Islam," demikian jelas Exco Dewan Pemuda PAS PUsat, Ustaz Zolkharnain Abidin.
Katanya, banyak perkara yang perlu dikaji oleh kerajaan seperti makanan halal, gaya hidup dan budaya yang bakal dibawa masuk ke negara ini sebelum menandatangani FTA .
Menurutnya lagi, selain pelbagai unsur yang dibawa masuk ke negara ini, FTA juga mampu menggugat kedaulatan negara sehinggakan perlembagaan negara boleh diubah sekiranya ada percanggahan dengan FTA.
Justeru beliau meminta pihak berkuasa agama khususnya para mufti untuk mengeluarkan fatwa berkaitan FTA yang mampu mengancam akidah umat Islam.
"Fatwa ini akan dijadikan garis panduan kepada kerajaan sebelum perjanjian ini dibuat," katanya.
Dalam pada itu, Ustaz Zolkaharnain menyeru agar kerajaan negeri Perlis supaya serius dalam melaksanakan As-Sunnah sejajar dengan apa yang dibawa oleh Nabi s.a.w.
Katanya, Mingu As-Sunnah Kebangsaan yang berlangsung baru-baru ini di Perlis perlu diadakan dengan tujuan untuk meninggikan syiar Islam berdasarkan Al-Qurandan As-Sunnah dan bukannya dengan tujuan lain seperti mencari kepentingan ekonomi.
"Jika mahu buat Sunnah buat sungguh-sungguh, kalau mahu lawan bidaah lawan sungguh-sunguh. Antara bidaah yang besar ialah Islam Hadhari," tegasnya.
Beliau melihat Islam Hadhari yang dipelopori Umno itu gagal untuk merubah masyarakat menjadi lebih baik dan gagal pula meruntuhkan jahiliyah.
Sebagai contoh katanya, kes Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah dan Timbalan Menteri Keselamatan dalam Negeri baru-baru ini jelas membuktikan bahawa kerajaan Islam Hadhari gagal membendung masalah rasuah dan penyelewengan di dalam negara ini.
"Berbeza dengan Islam yang dibawa Rasulullah yang mampu merubah masyarakat. Jahiliyah zaman itu adalah satu masyarakat yang cukup teruk tetapi mampu diubah menjadi umat yang terbaik.
"Contoh yang lain ialah di Kelantan. Tok Guru yang memimpin kerajaan telah berjaya membawa banyak perubahan kepada rakyat di sana," jelasnya.
Justeru katanya, pihak berkaitan seperti Mufti Perlis diminta juga membuat fatwa berkaitan Islam Hadhari bagi memperjelaskan kekeliruan di dalam masyarakat.
"Kita lihat munkar, jenayah dan penyelewengan terus berleluasa. Umno/BN gagal daulatkan Islam dan tidak mampu memberikan kebajikan kepada rakyat, inikah yang dinamakan Islam Hadhari?" soalnya. - mks.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment