Salmiyah Harun Tue Mar 13, 07 04:34:25 PM
KUALA LUMPUR, 13 Mac (Hrkh) - Sebelum kerajaan berhasrat untuk melanjutkan Program Latihan Khidmat negara (PLKN) dari tiga bulan sehingga satu atau dua tahun mereka harus menyelesaikan perkara asas yang sering ditimbulkan terlebih dahulu.
Banyak masalah yang terus timbul sepanjang berlangsungnya PLKN, bagaimanapun pelbagai pandangan daripada sesetengah pihak bagi memperbaiki kelemahan itu langsung tidak diambil kira oleh kerajaan.
Naib Ketua Dewan Pemuda PAS, Mazlan Aliman berkata, pandangan yang dikemukakan PAS dan parti pembangkang yang lain serta Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) perlu diambil kira demi memperbaiki kelemahan program itu sendiri.
Beliau berkata, mereka bukannya mengkritik sebaliknya memberi pandangan perjalanan program itu supaya lebih kemas dan teratur memandangkan banyak masalah timbul sejak kebelakangan ini.
"Pelajar yang mengikuti siri pertama yang baru sahaja habis baru-baru ini masih menceritakan ketidakpuasan hati mereka sepanjang mengikuti latihan selama tiga bulan," katanya ketika dihubungi Harakahdaily sebentar tadi.
Di antara perkara asas yang harus diperbaiki, katanya termasuklah pengendalian dan penyediaan makanan, rawatan perubatan pelatih, masalah jurulatih dan penekanan menunaikan solat berjemaah.
Tegasnya, pemilihan jurulatih hendaklah ditapis dan berdisiplin terlebih dahulu sebelum melatih para peserta supaya tidak timbul lagi kes-kes seperti jurulatih merogol pelatih.
Tambahnya, pemeriksaan kesihatan harus ditekankan kerana banyak kes pelatih mati mengejut akibat kesesakan nafas ataupun kekejangan otot.
"Kita tidak mahu anak-anak yang pada awalnya ke program sihat walafiat tetapi akhirnya tiba-tiba diberitahu meninggal dunia kerana sesak nafas, perkara ini adakalanya tidak dapat diterima oleh ibu bapa walaupun mengetahui itu memang ajalnya," katanya.
Selain itu katanya, kesediaan melanjutkan tempoh PLKN juga dibimbangi akan menjadi gelanggang politik pihak tertentu untuk mencapai cita-cita mereka.
"Perkara ini tidak mustahil kerana peruntukan RM500 juta setahun untuk PLKN bagi menyediakan segala kemudahan pelajar-pelajar diagihkan kepada kroni-kroni pihak tertentu termasuklah tender makanan, dobi, dan pakaian," katanya.
Dilaporkan, Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak mengakui tempoh PLKN tiga bulan yang dilaksanakan sekarang tidak memadai untuk membentuk pembangunan insan secara lebih berkesan seperti yang dilakukan di negara lain, tetapi untuk memanjangkan sehingga dua tahun seperti di Korea Selatan mungkin sukar diterima oleh ibu bapa pelajar.
"Jika bukan dua tahun saya rasakan kita memerlukan sekurang-kurangnya setahun untuk membentuk mereka. Namun jika dilaksanakan kita perlu melewatkan masa mereka jadi graduan, ini masalah besar sama ada rakyat sanggup berkorban," katanya.
Sepanjang tertubuhnya PLKN yang wajib diikuti oleh pelajar lepasan SPM, beberapa kes telah ditemui termasuklah kes kematian yang disebabkan pergaduhan dan kesihatan antaranya, Teng Siau Shen, 18, yang mengikuti program di Kem PDS Pasir Panjang, Port Dickson meninggal dunia selepas mengalami sesak nafas pada Januari lalu dan dalam bulan yang sama Ili Ameera Azlan dari Taman Tuanku Jaafar, Seremban meninggal dunia secara mengejut ketika mengikuti kem latihan PLKN di Melaka.
Pada 22 Mei tahun lalu, Theresa Pauline Sarimuthu, yang menyertai acara kembara halangan di Kem Khidmat Negara Kuala Pilah, Negeri Sembilan kejang dan rebah secara tiba-tiba dan meninggal dunia.
Sebelum ini pada tahun 2005, sekurang-kurangnya lima kes kematian berlaku dalam kem PLKN iaitu dua kes kematian lemas berlaku di Sarawak dan Kelantan, dan dua kes kematian sakit tenat di Johor dan Sabah manakala pada tahun 2006, didapati seorang peserta dipukul mati di Kem Padang Hijau, Johor. - mks
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment