Oleh SALHAN K. AHMAD
HULU KELANG: Pertubuhan Jemaah Islah Malaysia (JIM) menggesa ahli-ahli politik agar tidak menafikan hasil kajian Universiti Kebangsaan Malaysia yang mendapati majoriti pelajar remaja perempuan bermasalah disiplin pernah mengadakan hubungan seks.
Ketua wanitanya Dr Harlina Halizah Siraj menyarankan agar kementerian-kementerian terbabit menjalankan kajian sendiri di seluruh negara sebelum mempertikaikan kajian itu yang menunjukkan aktiviti seks di kalangan remaja semakin "membimbangkan".
Pemimpin politik tidak wajar menafikan hasil "Kajian Profil Remaja Perempuan Risiko Tinggi" dengan mempertikai kaedah yang dijalankan penyelidik Dr Khaidzir Ismail semata-mata tanpa mengambil kira trend yang cuba ditunjukkan daripada dapatan itu.
"(Penafian) ini menunjukkan sikap yang berat sebelah. Kita tahu ada ahli politik kita yang bersikap lebih liberal dan terbuka dalam hal-hal seperti hubungan seks," katanya.
"Tapi kita tidak mahu sikap menafikan ini menghalang ahli akademik daripada membuka pekung di dada kita ini."
Gesaan itu timbul ekoran kritikan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil terhadap kajian itu hari ini.
Shahrizat dilaporkan berkata tanggapan negatif daripada kajian itu tidak adil kerana membabitkan sejumlah kecil pelajar bermasalah di sebuah negeri sahaja dan tidak menggambarkan keadaan sebenar.
“Berhenti salahkan remaja. Ia tidak adil untuk mereka kerana ia tidak menggambarkan kajian secara menyeluruh. Kita kalau buat kajian membabitkan kumpulan kecil yang bermasalah saya fikir ini tidak betul," beliau dipetik sebagai berkata.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo pula menyifatkan kajian tersebut sebagai "sampah" setelah menilai sendiri laporan kajian tersebut dan kakitangannya menghubungi responden kajian tersebut secara rambang.
“Kami telah periksa hasil kajian ini dan mendapati 68 peratus daripada kandungannya adalah penipuan. Ia adalah sampah.
“Khaidzir juga telah mengakui bahawa hasil kajiannya tidak tepat dan mengandungi kesalahan. Saya telah bercakap dengannya dan memberitahunya untuk membetulkannya,” kata Dr Mohd Khir seperti dilaporkan hari ini.
Dr Harlina bagaimanapun mengakui data yang dikumpul melalui kajian itu tidak menunjukkan trend pelakuan seks bebas remaja seluruh Malaysia.
"Kalau di kalangan remaja yang berisiko tinggi, saya rasa mungkin hasilnya sama di seluruh Malaysia, sebab itulah saya sanggup menerima hasil kajian ini pada face-value," katanya.
Beliau mencadangkan kajian seumpama itu mengambil responden remaja lelaki kerana data golongan itu harus dimasukkan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment