Rizal Tahir Wed Mar 07, 07 04:26:47 AM
MACHANG, 7 Mac (Hrkh) - Pemberian sumbangan RM1 juta kepada mangsa banjir di Johor dan skim Takaful Kifaalah yang dilaksanakan kerajaan Kelantan benar-benar telah mengejutkan Umno.
Bekas Setiausaha Badan Perhubungan Umno negeri, Dato’ Ahmad Rosli Ibrahim berkata, pemimpin Umno tidak menjangka Kelantan yang dianggap kurang sumber kewangan mampu menjayakan program tersebut.
“Ini merupakan satu kejutan besar yang berlaku dalam politik negara dicetuskan kerajaan PAS Kelantan," katanya yang juga Penyelia Dun Kok Lanas pada ceramah ahli Umno menyertai PAS di Kampung Chekok, Pulai Chondong, baru-baru ini.
Menurutnya, dua kejutan tersebut berjaya memberi tamparan kepada Umno khususnya di Kelantan apabila mereka sering memperlekehkan kerajaan PAS sebelum ini.
Kata beliau, sebelum ini pemimpin Umno menjaja ke seluruh negara kerajaan negeri tiada wang dan Kelantan tidak membangun, telah benar-benar terpukul dengan perkembangan yang berlaku sekarang.
“Skim Takaful Kifaalah yang mulai dilaksanakan tahun ini telah menyebabkan ahli dan penyokong Umno di kampung-kampung mulai mencemuh pemimpin sendiri kerana tidak cakno terhadap mereka sebelum ini.
“Sedangkan kata mereka, kerajaan PAS yang miskin dapat mewujudkan skim tersebut. Ini menyebabkan rakyat mulai mempamerkan rasa muak dan ada yang mengambil keputusan meninggalkan parti itu,” ujarnya.
Pada program tersebut seramai 20 ahli Umno yang diketuai Mohd Zain Mohd Taib, 67 menyerah borang menyertai PAS kepada Yang Dipertua PAS Machang, Dato’ Hassan Muhamad.
Mohd Zain melahirkan rasa kecewa terhadap Umno biar pun lebih 40 tahun bersama parti itu kerana pemimpinnya tidak cakno terhadap masalah rakyat.
Sementara itu, Pengurus Tabung Amanah Tok Kenali, Saifuddin Nasution Ismail berkata, dalam tempoh tiga minggu selepas pelancaran skim Takaful Kifaalah, seramai 70 keluarga warga emas menerima pampasannya.
Menurutnya sehingga kini lebih 25,000 warga emas telah didaftar di bawah skim tersebut di seluruh Kelantan.
Katanya, biar pun program Takaful Kifaalah dilaksanakan kerajaan PAS Kelantan, namun lambang bermirip bulan tidak dilekatkan, sedangkan kerajaan Pusat sanggup melabelkan gambar dacing pada bantuan baja subsidi.
“Ini membuktikan kerajaan negeri lebih bersikap terbuka dengan menyalurkan bantuan kepada semua rakyat tanpa mengira ideologi politik, bangsa dan agama,” ujarnya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment