Friday, March 30, 2007

Mahathir beri amaran kepada PM jangan gadai negara kepada asing

Wan Nordin dan Intan Abdullah Fri Mar 30, 07 08:59:33 PM
KUALA LUMPUR, 30 Mac (Hrkh) - Pembangunan yang dijalankan oleh kerajaan di Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) dengan membuka peluang 'tanpa syarat' kepada pelaburan asing dilihat satu tindakan yang hanya akan menjadikan WPI satu episod lama ketika 'Singapura' tergadai kepada tangan asing.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semasa berucap dalam Ceramah Agung Tahunan Persekutuan Badan Pendidikan dan Pembangunan Melayu (PBPPM) memberi amaran kepada kerajaan supaya jangan menjadikan dasar membuka peluang kepada pelabur asing bagi membangunkan WPI sebagai langkah yang hanya akan menggadai tanah negara kepada negara asing.
"Semalam saya di Johor membuat ucapan di sana tentang WPI, dan saya seperti Ku Li kata jangan gadai negara kita kepada orang asing kerana kita tidak mahu kita akan dipinggirkan nanti," katanya secara sinis kepada kerajaan yang dipimpin Abdullah hari ini sambil disambut dengan gelak ketawa para tetamu.
Antara yang hadir dalam ceramah perdana itu ialah, bekas Ketua Pengarah DBP, Dato' Hassan Ahmad; Pengerusi PPBPM, Tan Sri Arsyad Ayub; Naib Canselor Universiti Malaya, Dato' Rafiah Salim; Tengku Razaleigh Hamzah sebagai penceramah pertama; Dato' Ibrahim Ali dan bekas Presiden Abim, Dr Mohammad Nur Manutty.
"Kita patut berjaga-jaga sikit sebenarnya Malaysia kurang maju kita boleh maju hingga tahap Korea dan Jepun, caranya mudah kita benarkan orang Jepun dan Korea buat pelaburan dan perusahaan di sini tanpa sekatan, insya-Allah Malaysia akan jadi sama dengan Jepun atau Korea, tetapi nanti bukan lagi jadi negeri kitalah," kata Mahathir sinis ketika menyambung ucapannya.
"Saya yakin jika tujuan Tun Razak dalam dasar pendidikannya untuk membekalkan Melayu dengan pengetahuan untuk bangunkan negara sendiri, kita boleh benarkan penyertaan orang asing tanpa sekatan, tak payah pasport itu ini dah lebih dari pemikiran Tun Razak dah tu," katanya lagi.
Sambil menyifatkan Melayu hari ini mudah lupa, beliau membawa kisah penggadaian Singapura satu ketika dahulu dengan harga RM60,000 ketika itu yang akhirnya walaupun negara itu maju tetapi kini tidak dimiliki oleh Malaysia.
"Kita jual Singapura, hari ini kita tak tapat balik Singapura bukan kerana jualan itu tetapi kerana perbezaaan penduduk yang telah berubah di sana, bukan macam Pulau Pinang kerana adanya Melayu bertani lagi di sana, kita tak akan dapat.Dari segi undang-undang apabila penjajah meninggalkan kawasan yang dijajah yang berhak ambil balik jajahan itu ialah orang asal yang memiliki jajahan itu, tetapi kerana keadaan tertentu kita tak dapat balik Singapura kerana kita tak mampu untuk dapatkan balik," katanya lagi.
Dalam isu WPI katanya, jika tersilap langkah tindakan kerajaan yang ingin membenarkan pelaburan asing melabur dan membangunkan wilayah itu tanpa syarat hanyalah dilihat sebagai usaha yang akan menggadai wilayah itu kepada tangan orang asing.
"Kalaulah kita bagi lagi tanah di Johor dengan syarat yang sama seperti menyerahkan Singapura satu ketika dahulu, kemungkinan kita tak dapat balik lagi Selatan Johor selepas itu," katanya lagi.
Dengan nada yang keras beliau memberi amaran kepada kerajaan hari ini supaya jangan kerana kemajuan dan pembangunan, nasib bangsa pula yang akan tergadai.
Meskipun katanya suatu ketika dahulu sewaktu Tun Abdul Razak memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dengan menarik pelabur asing masuk ke negara kita bagi membangunkan negara, bagaimanapun dasar itu tidakpun menggadai kepentingan negara kepada asing.
Berbeza dengan pemerintahan hari ini yang dilihat lebih terbuka kepada pelaburan asing tetapi memberi 'signal' kepada rakyat bahawa kawasan yang dibangunkan nanti akan jatuh ke tangan orang asing, katanya.
Semasa mengakhiri ucapannya beliau sekali lagi memberi amaran supaya semua pihak hari ini haruslah memperingatkan diri dengan dasar dan prinsip Tun Razak ini supaya negara kekal di tangan sendiri,katanya jelas.
Dr Mahathir dijemput sebagai tetamu kehormat dalam program anjuran PBPBM yang diadakan julung kalinya di Dewan Kuliah Utama Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya hari ini bagi membincangkan pemikiran dan visi bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussin dalam pembinaan negara-negara bangsa Malaysia yang merentas sempadan etnik.
Antara lain perbincangan itu berkisarkan sumbangan Tun Razak dalam membangunkan negara sejak beliau menjadi Perdana Menteri hingga ke akhir hayatnya termasuk dalam soal pendidikan, budaya dan ekonomi. - mks.

No comments: